BAB 26

13 2 0
                                                  

Izhanie menaiki bas yang akan membawanya ke Pudu Raya. Dari Pudu Raya, dia akan ke Johor. Dia berharap agar tiket bas ke Johor masih ada. Sofea menantinya dengan tangan terbuka. Dia sudah tidak sabar meluahkan apa yang terbuku di hati kepada Sofea.

Dia menjadi orang yang paling sibuk semalam. Sebaik sahaja balik dari tempat kerja, dia terus merayau-rayau di sekitar kampus untuk mencari iklan rumah sewa. Tiga empat buah rumah sewa dikunjungnya. Akhirnya dia berjaya menemui sebuah rumah sewa yang kedudukannya strategik, berhampiran kampus. Kebetulan penghuni rumah sewa tersebut memerlukan dua orang muslimah bagi melengkapkan sebuah rumah sewa. Tanpa membuang masa, Izhanie segera memberi persetujuan setelah melihat sendiri keadaan di rumah sewa tersebut. Rumah teres tersebut berhampiran kampus. Mereka tidak memerlukan kenderaan untuk ke kuliah. Sebuah bilik paling kecil akan dihuninya bersama Sofea. Seminggu lagi mereka akam mula menetap di situ.

Sewanya agak mahal. RM120 sebulan untuk satu kepala. Izhanie terpaksa. Nak sewa rumah yang murah, lokasinya pula jauh dari kampus. Kalau ada kenderaan sendiri bolehlah cari rumah sewa yang murah-murah. Izhanie membuat keputusan sendiri. Dia berharap Sofea pun turut akan bersetuju dengan keputusannya menyewa rumah tersebut.

Telefon bimbit dalam genggamannya bergetar lagi. Tertera nama Hafid di skrin. Sudah berpuluh kali Hafid menghubunginya. Peti mesejnya juga telah penuh. Hafid tidak jemu-jemu menghubunginya walaupun tiada balasan. Dia telah mematikan nada deringan telefon bimbitnya, hanya isyarat getar sahaja yang digunakan. Hafid, kenapa kau buat aku macam ni? Izhanie merintih.

Izhanie membiarkan telefon bimbitnya terus bergetar....

Bas berhenti di hadapan Kota Raya. Dia melangkah turun dari bas. Hanya sebuah beg pakaian sahaja yang dibawanya. Di dalamnya terdapat beberapa helai t-shirt dan seluar trek untuk dipakai di rumah Sofea. Beg yang dipakai silang dijaga kemas. Bimbang diragut. Dompet, telefon bimbit, lip glose, bedak sapu, pewangi dan tisu terdapat di dalamnya.

Izhanie memandang ke kanan untuk melintas jalan. Kereta kelihatan masih jauh. Lampu isyarat juga masih belum bertukar. Dia mula mengatur melangkah.

Dia hanya sempat menikmati kasih sayang dari seorang abang seketika cuma. Langsung dia tidak menyangka Hafid masih menyimpan perasaan padanya. Dia juga merasa hairan pada mulanya dengan sikap Hafid yang terlalu mengambil berat terhadapnya. Dia lenyapkan segala keraguan dan menganggap Hafid memang ikhlas terhadapnya. Tak mungkin Hafid masih ada hati pada adik sendiri. Sehinggalah Sarah memberitahunya perkara yang sebenar, barulah dia mula ragu-ragu. Namun dia tetap menaruh kepercayaan sepenuhnya terhadap Hafid. Dia buang ke tepi cakap Sarah.

Tiba-tiba matanya terbeliak melihat sebuah kereta meluncur laju ke arahnya. Dia gementar, tidak mampu bergerak lagi. Lututnya menggeletar. Saat itu juga terasa badannya melayang dirempuh sebuah kereta!

* * * * * *

Izhanie membuka mata perlahan-lahan. Pandangannya terasa silau seketika. Dia memejamkan matanya kembali. Beberapa saat kemudian, dia membuka matanya sekali lagi. Putih. Hanya warna itu yang kelihatan. Matanya merawang sekeliling. Di manakah aku berada sekarang? Dia kebingungan.

Izhanie berusaha untuk bangun dari pembaringan tetapi gagal berbuat demikian. Tenaganya lemah. Ada wayar yang dicucuk ke tangannya. Dia mengangkat tangan kiri lalu meraba mukanya. Dahinya dibalut. Dia cuba mengingati apa yang telah berlaku. Dahinya berkerut-kerut, cuba meraih ingatan semula.

Kemalangan! Dia telah kemalangan berhampiran Pudu Raya. Ya Allah, kenapa aku cuai sampai boleh terlibat dalam kemalangan?

Izhanie gagahi untuk bangun, tapi gagal. Badannya terasa sengal-sengal. Sakit. Kepalanya berdenyut-denyut. Dia terpandang punat loceng di situ lantas segera menekannya.

Hanya PadamuWhere stories live. Discover now