Bab 21

17 1 0
                                                  

Sudah hampir dua bulan Izhanie bekerja di kedai cenderamata. Waktu kerjanya dari pukul 10.00 pagi sehingga 6.00 petang. Tugasnya tidaklah sukar namun sedikit menjemukan. Hari-hari melakukan kerja yang sama. Layan pembeli, bungkus hadiah dan susun barang agar sentiasa kemas. Selain dirinya, terdapat tiga orang lagi pekerja di situ. Suria sama waktu kerja dengannya. Manakala Maya dan Radha bekerja part time sebelah malam. Maya dan Radha adalah pelajar sebuah kolej swasta. Mereka bekerja untuk menampung perbelanjaan di kolej.

Izhanie bekerja dengan harapan dapat melupakan seseorang selain daripada mengumpul sedikit wang perbelanjaan. Namun hasrat untuk melupai lelaki tersebut gagal. Ketika sedang bekerja sesaat pun dia masih tidak dapat melupakan Izhan. Terbayang-bayang wajah lelaki itu di segenap ruang. Sesekali terlintas rasa menyesal kerana tidak sempat meluahkan perasaannya pada Izhan. Namun kadang-kadang, dirasakan tindakannya itu betul.

Penantian satu penyeksaan. Saban hari Izhanie tidak jemu-jemu menanti panggilan dari Izhan. Namun penantiannya ternyata sia-sia. Panggilan yang ditunggu tidak kunjung tiba. Dia juga sentiasa memeriksa peti mesej. Namun hampa. Rindunya dia pada lelaki itu sudah tidak mampu ditanggung lagi. Hendak dihubungi lelaki itu, dia terasa segan. Nanti dituduh perigi mencari timba. Bermacam-macam lagi fikiran negatif yang bermain-main di minda jika dia yang dahulu menghubungi Izhan.

Izhanie masih termangu. Dia ingin menjadi gadis yang berani. Berani memperjuangkan cinta. Tapi dia takut. Dia sebenarnya takut untuk menghadapi risiko. Dia bimbang jika Izhan tidak mempedulikannya lagi. Dia bimbang jika Izhan sudah membuangnya jauh-jauh. Hakikat itulah yang paling ditakutinya. Jadi, dia lebih rela berdiam diri dan terus menanam harapan daripada mengetahui perkara yang sebenar.

"Hanie, mengelamun ke?" tegur Suria.

"Eh, tak adalah." Izhanie tersipu-sipu malu. Wajah Izhan terus hilang. "Kak Suria dah makan ke?" dia mengalih topik supaya dapat mengawal perasaan malu.

"Aa... ramai pelanggan yang datang waktu Kak Suria keluar rehat?" soal Suria yang telah bekerja di situ hampir dua tahun. Suria banyak membantu Izhanie cara-cara melayan pelanggan.

"Boleh tahan tapi saya masih boleh kawal."

Kedai cenderamata tersebut milik seorang lelaki Cina. Lelaki itu hanya ke kedai sebelah malam. Suria yang banyak menguruskan kedai tersebut. Izhanie dapat menghidu perhubungan Suria dengan lelaki Cina itu apabila melihat kemesraan mereka bila bersama. Kemesraan Suria dan Gilbert mengundang iri hati di hatinya. Terasa dirinya seorang sahaja yang sering dirundung malang dalam percintaan sedangkan orang lain tidak.

"Dah lama Kak Suria nak tanya satu soalan, sejak Hanie kerja di sini. Tapi Kak Suria segan. Takut Hanie marah."

Dadanya berdebar-debar. "Er...tanyalah apa-apa, saya tak marah." Dia berharap soalan yang bakal diajukan Suria tidak akan mengguriskan perasaannya.

"Hanie ni kacukan Inggeris ke?"

Izhanie tergelak kecil. "Ingatkan apalah yang Kak Suria nak tanya tadi. Takut saya. Er... sebenarnya saya campuran Kadazan dan Melayu." Balasnya. Arwah ibunya dari suku kaum Kadazan manakala ayahnya pula orang Melayu dari semenanjung. Mungkin arwah ibunya ada darah Inggeris. Izhanie sendiri tidak dapat mengesahkannya kerana ibunya tidak pernah bercerita mengenainya.

"Kak Suria ingatkan ada darah Inggeris mengalir dalam diri Hanie."

Izhanie tersenyum. Ramai juga yang menyangka dia berdarah kacukan Inggeris-Melayu. Padahal apabila memandang dirinya di cermin, dia langsung tak nampak rupa orang putih dalam dirinya. Berkemungkinan bola matanya yang berwarna coklat, menyebabkan orang menyangka dia berdarah kacukan. Rambutnya juga sedikit perang.

Hanya PadamuWhere stories live. Discover now