7. ANAK SULUNGKU MASUK DARJAH SATU

33 1 0
                                    


Anak sulungku mula bersekolah darjah satu pada tahun 1975. Pada hari pertama sesi pesekolahannya, aku menemani dia mendaftar dan memulakan dunia baharunya. Dengan iringan doa penuh mengharap ke hadrat Allah, aku bangun pagi-pagi lagi menyediakan sarapan sebelum pergi ke sekolah dan sebagai bekalan anakku.

Masakan kegemarannya ialah ikan haruan goreng kunyit garing. Pada hari-hari berikutnya, aku dan suami meminta bantuan seorang anak jiran sekampung yang sudah berada dalam darjah lima sebagai peneman.

Budak perempuan itu juga merupakan anak sahabat rapat aku semenjak kecil lagi. Selain sebagai teman, aku juga berpesan supaya memastikan anak sulungku itu masuk ke dalam kelas yang betul.

Bekalan makan waktu rehat masih tetap sama, iaitu nasi yang dimasukkan ke dalam bekas plastik bersama ikan haruan goreng kunyit. Sekali-sekala berlaukkan dua ekor ikan puyu goreng kunyit. Sekiranya ikan puyu itu besar, hanya seekor sahaja. Aku berbangga dan tersenyum apabila anakku itu selalu berkata sebaik pulang dari sekolah bahawa dia amat menggemari lauk ikan haruan dan puyu goreng tersebut.

Perjalanan ke Sekolah Rendah Pusat Jerteh anak-anak kampung juga seperti aku bersekolah dahulu. Pagi-pagi lagi, di saat kabus masih menyelubungi sawah padi, berderetan anak-anak berjalan hanya berkaki ayam meredah batas-batas sawah. Kasut sama ada dimasukkan ke dalam beg atau dibimbit di tangan sahaja. Kalau tidak berbuat demikian, alamat basah dan kotorlah kasut mereka. Mereka membawa harapan setiap orang tua. Harapan menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Sejak awal pesekolahan sehingga ke akhir darjah tiga, aku tidak pernah memberikan duit kepada anakku itu. Duit merupakan suatu perkara yang sukar untuk dibayangkan.

Namun begitu, keperluan makan anak sulungku tidak pernah aku dan suami abaikan. Makan cukup, cuma duit sahaja tidak dapat dibekalkan memandangkan banyak keperluan lain lagi yang memerlukan perbelanjaan.

Beg yang digunakan oleh anak sulungku diperbuat dari guni. Aku menjahitnya menjadi sebuah beg galas. Manakala dua pasang baju dan seluar pendek sebagai uniform sekolah disediakan.

Kasut yang dipakai ke sekolah pula merupakan sepasang kasut getah yang mudah dicuci. Setokin tiada. Memang itu sahaja yang dapat aku dan suami sediakan. Walaupun begitu, anak aku tidak pernah merungut.   

TAKDIR DAN TADBIR ILAHIWhere stories live. Discover now