BAB 5~Melastik Ke Hatimu

1.6K 9 1
                                    

SATU persatu butang papan kekunci ditekan. Sepasang mata masih tekun meneliti setiap butiran yang terpapar di skrin komputer riba. Sesekali mulutnya menghirup air Milo di dalam muk.

Sejuk! Nampak sangat yang dia dah terlalu lama berada di dalam mini pejabatnya itu sampaikan air Milo yang panas pun boleh sejuk.

Tubuhnya mula menggeliat beberapa kali menghilangkan rasa lenguh. Mata beralih pada jam berbentuk strawberi di hujung mejanya.

Tepat jam 3 pagi. Senyuman terukir bila melihat jam comel itu. Dicapai lalu diteliti setiap inci. Kenangan yang berkait dengan jam itu mengimbau di minda. Bibirnya tersenyum sendiri.

Tubuh disandarkan pada kerusi. Sesekali keluhan panjang dihela. Ada juga sesuatu yang pahit terselit di dalam kenangan itu.

Tuk! Tuk!

"Abah tak tidur lagi?" Soal Ziyyad pada lelaki yang mula melangkah dekat dengannya. Jam di tangan diletak semula ke posisi asal.

"Tiba-tiba dahaga pula," balas Encik Kadir ringkas.

Ketika dia melintasi bilik kerja anaknya itu, dia nampak cahaya lampu di bawah pintu. Nampaknya lelaki itu masih belum tidur walaupun malam semakin menghujung.

Ziyyad kembali tumpukan perhatian pada skrin komputernya. Konon-konon sibuk dengan kerja. Padahal fikiran sudah melayang jauh. Gara-gara jam berbentuk strawberi itu, hatinya bercelaru. Apa yang dia taip pun dah jadi tak betul.

"Yad, kamu dah jumpa Hanis?"

Jari Ziyyad berhenti dari menaip namun tidak sesekali dia mengangkat muka.

"Kamu dah jumpa dia ke belum?" Ulang Encik Kadir sekali lagi bila anaknya langsung tidak menjawab soalannya. Dah lama dia nak tahu perkembangan wanita itu.

"Belum, bah..." ringkas jawapan Ziyyad. Sekali lagi dia sandarkan belakang badan pada kepala kerusi. Bila bercakap pasal Hanis, hatinya kembali sakit.

"Sekarang Inaya dah masuk 3 tahun, kan?"

Kali ini Ziyyad angguk. Setiap bulan dia kira usia satu-satunya anak hasil pernikahannya dengan Hanis empat tahun lalu tapi sayang, dia tidak sempat mencurahkan kasih sayang pada anak kecil itu.

Sebaik sahaja Inaya dilahirkan, dia lepaskan isterinya dengan talak satu atas permintaan wanita itu sendiri. Hanis berkeras ingin bercerai atas sebab hati yang sudah tidak mencintai. Tidak ada gunanya untuk terus bertahan bila sebelah pihak sudah bergoyang.

Lagipun dia tahu yang Hanis curang di belakangnya.

Bingkai gambar di hadapannya dicapai lalu diusap perlahan. Ini sahaja kenangan yang dia ada. Ketika gambar ini diambil, usia Inaya baru sebulan. Selepas itu Hanis terus menghilangkan diri dengan anaknya tanpa khabar berita hinggalah ke hari ini.

Ada juga dia cuba mencari namun, sampai sekarang satu jejak pun dia tidak berjaya temui. Biarlah...

Mungkin ini yang Hanis inginkan. Aku akan doakan dia bahagia dengan orang yang dah menggantikan tempat aku di hatinya.

"Kamu tak kerja ke esok?" Encik Kadir menukar topik bila melihat air muka anaknya berubah.

"Mestilah kerja. Esok pagi-pagi lagi Yad ada meeting dekat kilang," balas Ziyyad. Bila mulut menguap, cepat-cepat dia tutup.

Sejak mengambil alih salah satu kilang abahnya, dia mula menjadi seorang yang begitu sibuk sekali.

Kilang satu pun dah kalut, entah macam manalah abahnya boleh menguruskan tiga kilang sekali gus. Hebat betul orang tua ni!

"Dah tu, pergilah tidur. Kan tak terbangun pula pagi esok," nasihat Encik Kadir.

Dia nampak muka anaknya begitu kepenatan namun, terselit juga rasa bangga di hatinya. Anak sulungnya itu berjaya menguruskan kilang pakaian itu dengan baik.

Melastik Ke HatiMuWhere stories live. Discover now