“Ini airnya,” ujar Mak Munah.

“Letakkan di sini,” balas Pak Udin.

Mak Munah meletakkan air itu di hadapan suaminya. Pak Udin menghadap air itu dan mengeluarkan satu botol kecil dari poket bajunya. Botol itu adalah air rawatan yang akan diberikan kepada Nia.

Pak Udin memandang Nia sekali lagi. “Nia, boleh aki minta kalung yang Nia pakai tu?”

Berkerut dahi Nia. “Untuk apa?”

“Ini sebagai rawatan untuk kesembuhan Nia. Nanti Nia boleh balik rumah, jumpa bapa dan mama Nia,” jelas Pak Udin.

Lama Nia membisu. Dia menyentuh kalung yang dipakainya. Akhirnya, kalung itu dibuka dan diserahkan kepada Pak Udin.

Setelah kalung itu bertukar tangan, Pak Udin memasukkannya ke dalam air yang berada di depannya. Terkumat-kamit mulutnya membacakan sesuatu. Ayat-ayat yang dipelajarinya cuba diterjemahkan. Dia menutup kelopak matanya perlahan dan jiwanya seperti cuba merasai sesuatu.

Terasa berat beban di dadanya. Kemudian di hujung rawatan, dia menyebut nama seseorang.

‘Melati?’

“Kenapa, bang?” tanya Mak Munah setelah suaminya menyudahkan rawatan.

“Err... aku sudah menyudahkan rawatan untuk Nia. Nia okey. Esok aku cari akar hutan untuk Nia lagi. Bawa besen ni ke dapur,” ujar Pak Udin, lambat-lambat.

Kalung itu diserahkan pada Nia kembali. Mak Munah membawa besen itu ke dapur. Dia menarik kerusi dan duduk di situ sambil memikirkan tentang suaminya. Pak Udin seperti menyembunyikan sesuatu, naluri hatinya kuat merasai semua itu.

****

“Aku pergi dulu, Mun. Banyak ubat yang aku perlukan untuk Nia. Tengok-tengokkan Nia,” ujar Pak Udin sebelum melangkah pergi.

Usai bersalaman dengan isterinya, Pak Udin memulakan perjalanan. Langkah diatur dengan pantas. Keringat mulai membasahi dahi tuanya. Dia sudah melepasi hutan tebal, kini dia merentasi laluan menuju ke perkampungan besar.

Keadaan Nia yang memaksanya untuk menemui keluarga Nia. Dia akan membawa salah seorang daripada mereka untuk melihat keadaan Nia. Lafaz syukur terpatri di hujung bibir ketika dia berjaya sampai di pekarangan rumah keluarga Nia, salam diberi.

Pintu dibuka dan terpacul seorang lelaki di muka pintu dengan rona wajah tersentak. “Cikgu Din?”

“Jemput masuk, cikgu..”

Pak Udin memandang ekspresi terkejut Nasir. Sesungguhnya, pasti dia terkejut menerima kedatangan gurunya. Pak Udin melangkah masuk dan berdiri di ruangan rumah Nasir sambil melihat setiap sudut. Gelap, rumah itu dipenuhi dengan cahaya kegelapan.

“Cikgu, ini isteri saya, Nita. Yang ini pula Naqiu, anak saya yang pertama.” Nasir memperkenalkan ahli keluarganya kepada guru silatnya suatu masa dulu.

Pak Udin melangkah setapak lagi ke depan. “Nia anak kamu yang kedua kan, Nasir?”

Terkejut Nasir, Nita dan Naqiu.

“Apa maksud, cikgu?” soal Nasir.

“Nia ada di rumah saya. Saya selamatkan dia selepas dia terjatuh dari puncak bukit,” jelas Pak Udin.

Nasir meraup mukanya perlahan, mengucap rasa syukur.

“Syukur, tenang saya mendengarnya, cikgu. Saya mau jumpa Nia,” balas Nasir.

“Boleh... Tapi, sebelum tu, saya mau tengok patung Nia dulu,” ujar Pak Udin.

“Untuk apa?” soal Nasir dengan dahi berkerut.

Patung bernyawa (Completed)Where stories live. Discover now