BAB 10

2.5K 49 2
                                    

PRANG!

Zuhayra yang berada di ruang tamu bergegas ke bilik sebaik terdengar bunyi itu. Sampai di muka pintu, dia terpaku. Serpihan kaca gelas di lantai dipandang sekilas sebelum dia menghampiri Ash.

Sambil memeluk tubuh, lelaki itu menyandar tubuh di kepala katil. Rautnya jelas kelihatan tegang.

"Kenapa ni encik? Encik nak minum air ke? Saya ambilkan ya," kata Zuhayra.

Baru dia hendak mencapai termos di meja kecil tepi katil, Ash mengangkat tinggi tangan kanannya.

"Tak payah. Aku tak dahaga."

Nada suaranya jelas kedengaran tegang.

Zuhayra mengeluh perlahan. Pasti ada kesalahan yang dilakukannya hari ini hingga lelaki itu boleh jadi sekeras itu. Lalu, muka tiada senyuman Ash kembali dicari. Dia melabuhkan punggung di sisi lelaki itu.

"Encik, saya minta maaf kalau-kalau ada kelakuan saya yang buatkan encik marah. Tapi..."

"Aku tak marahkan kau pun."

Ash memintas cepat, dengan mata masih terarah ke depan. Dalam kepala, akalnya masih berfikir-fikir tentang perkara yang baru saja sampai ke pengetahuannya.

"Habis tu, kenapa encik pecahkan gelas tu? Bukan sebab encik marahkan saya ke?"

Zuhayra sudah mencekak pinggang. Bukan niatnya nak menunjuk lagak. Hanya geram dengan sikap Ash yang sesuka hati melepas geram tanpa memikirkan akibatnya di masa depan.

Tahulah awak tu kaya, tapi tak payahlah nak leraikan semua benda semata-mata kerana marah!

"Bukan." Ash menjawab sepatah.

Spontan dia kalih pandangan bila rengusan Zuhayra kembali kedengaran.

"Aku geram tengok cerita ni. Dari tadi tayang adegan tembak-menembak aje tak habis-habis."

Mata Zuhayra ikut serta berkalih ke muka televisyen yang berada selari dengan pandangan Ash. Dia melepas nafas.

"Kalau ya pun marahkan cerita dalam TV, janganlah hempas gelas ke lantai. Kalau gelas plastik, tak apalah nak hempas sepuluh kali pun. Ini, gelas kaca yang encik hempas. Nasib baik encik tak boleh berjalan lagi. Kalau tak, mesti kaki encik dah terkena serpihan kaca gelas tau," bebel Zuhayra sambil bangun.

Lalu dia duduk mencangkung. Serpihan kaca yang ada dikutipnya satu per satu. Langsung tak dapat menangkap sebab musabab Ash bertingkah begitu saat ini.

Ash tak menyahut. Matanya masih tajam menatap muka televisyen yang terletak bertentangan dengan katilnya. Manakala kepala sedang ligat memikirkan sesuatu yang langsung tiada kaitan dengan apa yang dilihat retinanya waktu ini.

Malah, sejak tadi tumpuannya langsung tiada di situ. Televisyen dipasang hanya untuk menghilangkan kesunyian yang dirasakannya. Itu saja.

"Saya rasa lebih baik encik tukar siaran. Tak payahlah tengok cerita macam tu lagi. Banyak lagi rancangan televisyen menarik yang boleh encik tengok. Buat apa nak tengok cerita perang begitu kalau hanya nak menyakitkan hati encik saja?"

Zuhayra kembali berdiri. Raut serius Ash dipandang sekejap.

"Saya keluar ambil penyapu dan penyodok sekejap ya. Lantai ni nak kena sapu juga. Manalah tahu kalau-kalau masih ada serpihan kaca kat atas lantai ni."

Zuhayra terus berlalu keluar usai bersuara.

Ash hanya memandang sekilas. Matanya kembali diletak ke muka televisyen. Giginya diketap kuat.

"Kau memang tak guna, Muaz. Kau memang sengaja cari pasal dengan aku. Tak cukup dengan apa yang telah kau lakukan kepada aku, kau rampas pula dia daripada aku. Tapi tak apa. Aku tak kisah sebab aku sendiri sudah tak ada apa-apa perasaan terhadap dia."

Nada suara Ash kedengaran sinis.

"Selama ini, aku diamkan diri dan terima saja apa yang kau lakukan kepada aku. Tapi selepas ni, aku takkan berdiam lagi, Muaz. Aku akan balas semua perbuatan kau, tak kiralah dengan cara apa pun. Aku bersumpah!" tegas Ash sambil mengetap bibir.

Sekilas, gambar yang dihantar ke telefon pintarnya ditatap lagi. Kali ini dengan rasa marah yang membuak-buak. Apatah lagi bila melihat gambar-gambar lain yang dihantar oleh orang kanannya itu.

Gambar yang menjadi bukti kepada berita yang disampaikan oleh orang-orangnya.

"La... Encik masih tengok cerita tu ke? Tukarlah ke siaran lain."

Ash tersentak. Raut yang tadinya tegang kembali dijernihkan saat terpandang kelibat Zuhayra masuk ke ruang bilik itu.

"Encik nak makan apa tengah hari nanti? Saya siapkan."

Sambil menyapu lantai, Zuhayra bertanya dengan tumpuan lebih diberikan ke lantai luas bilik itu. Walau Ash masih tidak mampu berjalan, namun sekali-sekala lelaki itu tetap akan memijak permukaan lantai terutama jika mahu duduk di kerusi roda.

Kerana itu Zuhayra melakukan tugasannya dengan cukup baik bagi memastikan lelaki itu tidak tercedera atau terluka gara-gara kecuaiannya.

"Apa-apa pun aku tak kisah. Tapi, jangan masak sedap-sedap sangat. Boleh gemuk aku nanti."

Zuhayra terus berpaling. Dia mencebik.

"Sedap ke bendanya saya masak kalau masakan saya tu biasa-biasa aje? Lainlah kalau saya masak masakan ala-ala hotel lima bintang ke, hidangan istana ke. Bolehlah encik nak kata sedap," balas Zuhayra.

Namun, jauh dalam hati, dia tetap berasa bangga dan gembira kerana Ash memuji masakannnya.

"Kau yang makan masakan sendiri hari-hari memanglah tak dapat rasa masakan kau tu sedap ke tak. Lainlah aku dengan dia orang lain yang makan masakan kau tu. Hanya kami yang tahu masakan kau tu sedap ke tak. Faham?"

Ash menekan butang alat kawalan televisyen. Tiada rasa nak terus menonton televisyen saat hatinya tidak tenang.

Zuhayra tayang sengih panjang.

Ash hanya menjeling sekilas raut polos itu. Dasar orang perempuan, begitulah. Puji sikit dah kembang. Huh!

"Tak apalah encik. Saya keluar dulu ya. Dah nak tengah hari ni. Saya belum masak apa-apa lagi. Nanti lambat pula encik makan tengah hari."

Zuhayra meminta diri usai kerjanya selesai.

Ash hanya mengangguk tanpa kata. Elok saja kelibat Zuhayra hilang, alat kawalan televisyen dicampak ke tepi tilam. Ash kembali merengus.

Nampaknya, dia kena buat rancangan untuk jatuhkan Muaz. Kalau tidak, Muaz akan bertindak dengan lebih dahsyat lagi. Kalaupun bukan terhadapnya, pasti orang lain juga akan terima akibatnya.

Jadi, dia kena rancang sesuatu untuk menghentikan perbuatan Muaz.

Lama akalnya berfikir sebelum telefon pintarnya dicapai. Nombor salah seorang daripada orang kepercayaannya didail.

"Ya bos."

Suara di sebelah sana segera menyahut sebaik panggilan bersambung.

"Aku nak kau beri semua maklumat berkaitan Muaz kepada aku. Secepat yang mungkin."

"Maklumat tentang Encik Muaz? Maklumat yang mana satu bos?"

"Semua, termasuklah segala perniagaan dan kegiatan yang dilakukannya hingga ke hari ini."

"Boleh saja bos. Saya akan cuba dapatkannya sekarang juga."

"Bagus. Jangan lupa inform aku bila dah ada semuanya."

Ash terus mematikan talian.

"Jagalah kau Muaz. Aku akan hancurkan hidup kau pula selepas ni."

Dia tersenyum lagi. Dalam kepala sudah mula merangka perancangan. 

KONTRAK CINTA KEKALWhere stories live. Discover now