3. SEBUAH SKETSA KEHIDUPAN

38 1 0
                                    

Teringat akan satu sketsa kehidupan bersama mak di kampung kelahiranku yang sudah lebih 15 tahun ditinggalkan. Waktu itu umurku enam tahun. Aku teringin sangat mahu melihat-lihat pekan Jerteh.

"Mak, saya mahu ke bandar Jerteh juga ikut mak," aku meminta dengan mata bersinar, bersungguh-sungguh.

"Tak usah ikut mak. Duduk sahaja di rumah," ibuku memberi jawapan.

"Duhai mak, saya mahu kenal suasana bandar. Bagaimana rupanya bandar Jerteh itu," jawabku sambil merayu simpati mak.

Kerap kali ibuku ke bandar Jerteh hanya berjalan kaki sahaja. Dia jarang menaiki beca. Jarak dari rumah ibuku ke bandar Jerteh hanya dua batu sahaja. Bagi ibuku berjalan kaki ke bandar sejauh itu hanyalah mainan seharian dia. Dia tidak kisah berjalan kaki sambil menjunjung barang-barang jualan.

Pada suatu hari ibuku membenarkan aku mengikutinya ke bandar. Aku suka sangat. Ketika berjalan, lalu sebuah teksi (kereta sewa) dari jauh meluncur laju. Aku pandang teksi tersebut sambil berasa kecut perut. Akibat tidak biasa melihat sebuah kereta dipandu laju, alih-alih aku terjatuh ke dalam longkang di tepi bahu jalan.

"Hah! Bukankah mak sudah cakap jangan ikut. Hei, budak ini. Sakit?" leter mak sambil mengangkat aku ke atas rumput.

"Sikit sahaja, mak. Tak luka pun, Cuma kain kotor sikit sahaja," aku menjawab sambil berhelah. Aku turut tersenyum kepada ibuku.

Apabila aku mengingati peristiwa itu, aku tersenyum sendirian. Justeru sudah ada pengalaman memerhati keadaan bandar Jerteh, aku meminta kebenaran untuk ikut ibu lagi. Kali ini aku memujuk ibu menaiki beca.

"Kita naik beca bila balik, ya Yah?" ibuku memberi keputusan begitu. Maka berjalanlah aku dan ibu sejauh dua batu.

Dalam perjalaan pulang dari bandar, sekali lagi perutku bagai kena tumbuk. Beca meluncur laju menuruni bukit. Pada ketika itu aku berasa bagaikan mahu pengsan sahaja. Maklumlah aku tidak pernah menaiki beca, apa lagi teksi. Justeru macam-macam perasaan bertingkah; gerun, takut dan seram.

Pengalaman masa kecil itu memberikan aku sedikit pelajaran hidup. Dalam masa yang sama aku dapat memahami jerih payah ibuku dalam usaha membesarkan aku supaya menjadi seorang orang.

Ada orang menceritakan kepada aku mengenai kisah seorang tua yang menaiki teksi bersama anak-cucunya. Orang tua itu memang pertama kali menaiki teksi. Dia menutup telinga di sepanjang perjalanan. Justeru itu orang tua itu tidak mendengar bunyi enjin teksi tersebut. Sampai begitu sekali orang kampung. Aduhai!

Semasa aku sedang melipat kain dan baju anak-anak, aku juga terimbau beberapa pengalaman bersama rakan-rakan semasa remaja di kampung asalku. Aku terbayangkan pemandangan pokok-pokok padi yang sedang membesar. Selaut pandangan sawah-sawah padi kepunyaan semua penduduk kampung. Setiap petak sawah dipisahkan dengan batas-batas kecil dan besar. Kawasan perbendangan padi itu menjadi besar bersambung-sambung. Pemandangan sungguh mendamaikan dengan kehijauan pokok-pokok padi sehingga ke tepi hutan.

Ketika itulah aku dan rakan-rakan cuba menangkap pepatung bagi dijadikan umpan memancing ikan puyu dalam sawah padi. Sebaik selesai menyangkutkan pepatung ke mata kail, aku campakkan tali kail ke dalam sawah di celah-celah pokok padi. Tali tangsi pancing diletakkan di atas dedaunan padi bagi memudahkan pemerhatian tatkala umpan disambar ikan puyu.

Tidak lama aku dan rakan-rakan menunggu. Apabila melihat dedaunan pokok padi ditarik ke bawah, aku angkat tali pancing ke atas. Dapat ikan puyu. Aku ulang lagi dengan umpan baru. Dapat lagi. Memang mudah dan sungguh seronok memancing ikan puyu.

Di samping bergembira dengan aktiviti memancing, ikan-ikan puyu tadi akan dibuat lauk. Makan ikan puyu yang digoreng bersama kunyit memang sangat membuka selera. Kalau tiada minyak masak, aku dan ibu akan memanggang sahaja ikan puyu itu tanpa sebarang perisa. Ikan itu akan dicicah dengan budu. Fuh! Memang sedap.

TAKDIR DAN TADBIR ILAHIWhere stories live. Discover now