Bab 3

1.4K 92 9
                                    

Penat! Lambat-lambat aku hela nafas yang panjang. Usai memasukkan segala peralatan yang aku gunakan semasa jualan tadi, aku merebahkan tubuh atas kerusi sofa. Aku pejamkan mata sesaat. Sunyinya rumah teres kos rendah yang aku diami sejak hampir dua tahun yang lalu.

Inilah antara harta yang aku ada selain dari kereta Kelisa comel itu. Rumah yang dilelong oleh bank ini, aku beli dengan menggunakan duit simpanan bulanan yang Luqman berikan pada aku sepanjang aku bergelar isterinya.

"Maaf ya anak-anak, rumah Mama kecil saja."

Anak-anak senyum sahaja. Tidak pula mereka berkeluh kesah dengan keadaan rumahku yang jauh berbeza dengan rumah Luqman. Perabot yang ada juga minima sahaja. Televisyen itupun hanya akan berbunyi ketika anak-anak ada di rumah ini. Kalau harapkan aku, memang takkan berbunyilah televisyen itu.

Untuk apa rumah sebesar alam kalau hati tidak gembira. Rumah sekecil ini cukup membahagiakan aku. Sungguh!

Skrin telefonku menyala terang dan bergegar. Aduh, malasnya ak mahu menggerakkan tubuh ini. Tetapi, aku tahu ini mesti ada hal penting. Nombor telefonku ini tidak ramai yang ada dalam simpanan.

Hanya anak-anak dan Dr Afif sahaja.

Along ~ Mama...

Sudah kuagak, Along rupanya. Seminit dan Along masih lagi menaip. Macam panjang sahaja. Baiklah, aku tunggu dengan mata yang terpejam.

Along ~ Mama...

Laa... punyalah lama dia menaip, alih-alih itu yang dia taip. Serupa dia tiru ayat tadi. Hati rasa tidak sedap. Takkan Along mahu nakal-nakal di kala maghrib mahu menjengah alam.

Mama ~ Along, ada apa? Adik-adik okey ke?

Along mendiamkan diri. Dua minit dan tubuhku sudah tegak sambil mata focus pada skrin telefon. Kalau Along mahu main-main, memang dia nak kena dengan aku. Ya, sifat garang tu masih lagi ada. Kata anak-anak, mama sekarang marah pun manja-manja. Aduh.

Tiba-tiba naik symbol panggilan video. Terpampang wajah anak-anak aku yang berempat itu. Pakat berebut mahu bercakap denganku sebaik sahaja mereka Nampak wajahku pada skrin. Tersenyum seketika aku dengan gelagat anak-anak ini. Hilang rasa penat yang bergayut pada tubuh tadi.

"Diam, bagi Along cakap!" Terdengar suara Along yang sedikit tegas. Kemudian anak-anak yang lain mencebik muram. Aduh, kasihannya.

"Along, jangan marah adik-adik." Tegurku dengan lembut. Tak sampai hati melihat wajah anak-anak yang bersedih itu. Kalaulah mereka dekat, mahu aku memeluk mereka erat-erat. Rindunya aku pada mereka.

"Ada apa ni Along? Kejap lagi nak azan Maghrib dah."

Aku nampak wajah Along serba salah. Nah, ini mesti ada sesuatu.

"Mama, Papa demam."

Otak aku macam kena switch off!

Terkerdip-kerdip mata aku memandang skrin telefon. Along dan anak-anak yang lain sudah mendiamkan diri. Menantikan balasan dari aku.

Angah tiba-tiba merampas telefon dan wajahnya penuh pada skrin. "Papa muntah-muntah sampai lembik. Papa tak makan sejak semalam. Papa tak nak pergi klinik." Aduan si angah buat aku kelu lidah mahu menjawab. Dup dap dup dap jantungku tidak tentu hala ritmanya. Jadi aku pilih untuk menjadi pendengar sahaja.

Jarang Luqman tidak sihat. Dia seorang lelaki yang sangat menjaga kesihatan. Seorang lelaki yang mengamalkan segala jenis vitamin dan aktif bersukan. Sepanjang menjadi isterinya, beberapa kali sahaja Luqman jatuh sakit. Itupun sakit-sakit manja sahaja. Berbeza sangat Luqman semasa zaman sekolah yang selalu sakit dan menjadi penghuni tetap Bilik Rawatan!

"Kesian Papa, Mama." Kali ini suara si acik pula menyampai cerita.

Aku tarik nafas panjang. Mengerling jam pada dinding. Sudah pukul 7.30 malam. Dalam aku sedang berkira-kira itu, anak-anak aku kalut di talian sana. Disebabkan paparan panggilan secara video jadi aku seolah-olah menjadi penonton sebuah cerita.

Anak-anak berlari-lari mendaki tangga. Jantungku berdebar hebat. Terasa ada sesuatu yang tidak elok sedang berlaku.

Riuh suara yang kedengaran dari telefon. Aduh, boleh luruh jantung aku!

"Papa!" Suara anak-anak menjerit kuat.

Dari skrin telefon aku nampak Luqman terlentang!

Jantungku luruh dan terasa seperti separuh nyawaku terbang ke rumah sana!

~~~

UNTUK ZINE INI SAYA CUMA LETAKKAN SEHINGGA BAB 3 SAHAJA. INSHAALLAH AKAN ADA VERSI CETAK COMING SOON. 

TERIMA KASIH

Tak Pernah Tak SayangWhere stories live. Discover now