BAB 4~ Melastik Ke HatiMu

1.8K 11 2
                                    

“AKU nak pergi tandas kejap.” Haura minta diri sebelum melangkah meninggalkan kantin kilang. Sedap-sedap tengah melantak ayam goreng berempah, boleh pula rasa nak terkucil. Kacau daun betul!

Usai menggunakan tandas, dia berjalan ke kantin. Ketika melalui kawasan tempat letak kereta, matanya terhenti pada sebuah kereta mewah bercermin gelap yang diparkir di bawah garaj bersama deretan kereta yang lain.

Dahinya berkerut. Kenapa dia rasa macam pernah nampak kereta mewah tu? Tapi dekat mana ek?

Kaki diayun lebih dekat dengan kereta itu. Entah mengapa, seperti ada satu tarikan untuknya melihat lebih dekat. Jarinya mengusap dagu sambil meneliti plat kereta yang mempunyai lambang yang dia sendiri tidak tahu maksudnya. Dia yakin yang nombor plat kereta itu lebih mahal daripada harga rumahnya.

Sah! Ini memang kereta orang-orang kaya.

Anak matanya terhenti pada sesuatu yang melekat pada cermin kereta. Aksesori kereta baru ke ni?

Didekatkan muka pada cermin kereta dalam keadaan menonggeng. Jarinya menguis ‘aksesori’ itu. Tengok pada bentuk macam gula-gula getah. Tak kanlah tuan kereta ni tak nampak gula-gula getah melekat pada cermin kereta. Buta ke apa dia ni?

“Itu awak punya.”

Terkejut Haura dengan teguran yang tiba-tiba itu. Serta-merta tubuhnya dipusingkan ke belakang. Air liur diteguk bila melihat lelaki yang pernah menyebabkan sambal ayam goreng melekat pada pipinya sedang berdiri beberapa tapak sahaja darinya tapi hari ini lain pula perwatakan lelaki itu. Nampak lebih segak dan bergaya bila baju kemeja berwarna biru muda dipadankan dengan seluar berwarna hitam.

“Elok betul perangai awak ni kan. Suka-suka aje awak ludah gula-gula getah awak tu pada cermin kereta saya.”

Haura kerutkan dahi. Rasanya aku tak makan gula-gula getah lagi hari ni. Bila masa pula aku ludah cermin kereta dia? Ke dia ingat aku yang buat ‘aksesori’ ni?

“Encik jangan nak main tuduh-tuduh erk! Ini bukan gula-gula getah saya. Buat pengetahuan encik, saya tak kunyah gula-gula getah lagi hari ni. Jangan nak macam-macam ek!” Marah Haura.

Suka-suka dia nak tuduh aku. Tahu tak yang hari ini aku lupa nak beli gula-gula getah!

“Saya tak cakap pun itu gula-gula getah yang hari ini punya. Dah berminggu-minggu gula-gula getah tu melekat kat cermin kereta saya. Saya saja tak nak buang sebab nak cari si pemilik gula-gula getah tu. Macam dalam cerita Cinderella. Putera tu cari pemilik kasut kaca, saya pula cari pemilik gula-gula getah. Sweet kan.” Lawak bunyinya tapi kedengaran sinis juga.

Nak termuntah Haura dengar apa yang baru diperkatakan. Sweetlah sangat! Naik loya tekak aku adalah. Gaya macam nak ayat aku aje ni. Kalau betul gula-gula getah tu aku yang ludah, isshh… buruk benar perangai dia ni. Sanggup dia biarkan benda tu melekat kat cermin kereta dia sampai sekarang.

“Ingat tak yang awak pernah ludah gula-gula getah awak masa dekat traffic light? Sampai sekarang gula-gula getah tu melekat kat cermin kereta saya,” sambung lelaki itu lagi.
Haura jongket kening sebelah. Sehabis usaha dia cuba ingat balik peristiwa itu. Matanya sekali lagi mengerling pada kereta mewah di sebelahnya. Serta-merta matanya membulat.

Jadi, dialah pemilik kereta mewah bercermin gelap yang berhenti di sebelah motosikal Naim hari tu.

Alamak! Dia nampak ke yang aku terjenguk-jenguk intai dalam kereta dia hari tu?

“Saya…”

“Mengikut akta jalan raya, awak dah dikira mencemarkan alam sekitar. Kalau saya report, awak boleh kena denda dan berkemungkinan dipenjarakan. Saya ada rakam video perbuatan awak tu,” ugut Ziyyad Nazhan sambil tersengih. Akta yang dia cakapkan tu, dia main reka sahaja. Geli hati pula bila melihat wajah gadis di hadapannya berubah serta-merta.

Melastik Ke HatiMuWhere stories live. Discover now