BAB 2~ Melastik Ke HatiMu

Start from the beginning
                                    

Afna tarik muka. Tumpuannya kembali pada telefon pintar di tangan. Tak nak bagi tahu, sudah! Aku pun tak nak ambil tahu pun pasal kau orang berdua.

“Bukan pasal tulah,” jawab Faida perlahan. Sesekali dia mengeluh kasar.

“Fuhh! Selamat...” Haura menarik nafas lega. Nasib baik rahsia aku belum terbongkar.

“Kalau angah nak tahu, ada orang masuk meminang along,” sampuk Afna tanpa sedikit pun mengangkat muka. Geram bila melihat kakak sulungnya teragak-agak untuk berkata-kata. 

“Jadi orang yang dekat ruang tamu tu datang meminang along lah?” Duga Haura. Itu sahaja yang terlintas di fikirannya ketika ini.

Bila Faida mengangguk, terus membulat matanya. Malam-malam buta datang meminang anak dara orang, gila ke? Dahlah datang mengejut.

“Jadi, along terima?” Soal Haura ingin kepastian. Memang dia tahu yang kakaknya itu tidak mempunyai teman lelaki, tetapi wanita itu berhak diberi peluang untuk memilih teman hidupnya.

“ Apa pilihan yang along ada? Along tak berani nak melawan cakap mak,” keluh Faida.
Dunianya seakan terhenti bila pinangan dari keluarga yang langsung tidak dikenalinya itu diterima. Hanya kerana mereka dari keluarga berada, mak langsung tidak memikirkan soal hati dan perasaannya. Kata mak, lelaki itu mampu menjamin masa depannya kelak tapi bahagiakan aku?

“Ayah?” Soal Haura. Tak kan ayah tak membantah langsung keputusan mak?

“Ayah nak bantah cakap mak? Kirim salam ajelah,” sampuk Afna sambil ketawa.

Macamlah kau orang semua tak kenal perangai ayah tu macam mana. Selama ini mana pernah ayah melawan apa yang mak buat ataupun mak putuskan. Ketua keluarga sekarang ini adalah mak semenjak ayah jatuh sakit dan tidak mampu untuk berjalan lagi.

Haura mengeluh panjang. Ditenung cawan yang berada di atas meja.

“Baru nak balik?”

Tersentak semua orang yang berada di dapur dengan kemunculan mak yang tiba-tiba itu. Dia yang baru sahaja ingin menghirup teh terus menghentikan niatnya. Kalau dah teguk tadi, mahu tersembur keluar. Lemah semangat!

“Angah OT lah, mak.” Selamba Haura menjawab.

Dia dah boleh agak yang soalan itu dituju terus kepadanya. Siapa lagi yang balik lambat selain aku. OT lah sangat! OT dengan Naim. Dia tergelak dalam hati. Kalau mak tahulah apa yang aku buat, memang kena makilah jawabnya. Mak memang betul-betul anti dengan Naim.

“Afna nak tengok ayah.” Afna segera bangun dan berlari meninggalkan ruang dapur. Dia yakin akan berlaku perang mulut di situ nanti. Sebelum dia terbabit sama, lebih baik dia tak usah masuk campur. Kalau dah jodoh, kahwin ajelah. Apa susah?

“Mak dah tetapkan tarikh. Bulan depan along nikah dengan budak Azzam tu,” beritahu Mak Limah sebaik sahaja mengambil alih tempat duduk anak perempuan ketiganya. Sebentuk cincin yang terletak cantik di dalam bekas berwarna merah dihulur pada yang lebih berhak.
Semuanya sudah dibincangkan tadi. Pihak lelaki bersetuju dengan keputusannya. Hantaran RM20 ribu ringgit dikenakan berserta tujuh dulang hantaran serba satu. Itu semua tidak termasuk kos kenduri lagi. Untung betul ada anak perempuan cantik-cantik ni. Semua permintaannya dituruti bila ibu bapa dari pihak lelaki beria ingin menjadi besannya.

“Mak tak boleh paksa along kahwin dengan budak yang entah dari mana tu.” Haura membantah bila kakaknya hanya berdiam diri. Nada suaranya meninggi sedikit dari biasa.
Cincin emas tanda pengikat tali pertunangan itu hanya dipandang sepi. Memang cantik tapi tak secantik perasaan kakaknya ketika ini. Dia tahu Faida tidak suka,tetapi wanita itu langsung tidak membantah.

“Along tak bantah, kau pula yang beria nak bantah keputusan mak. Mak bukan nak kahwinkan kau dengan budak Azzam tu, tapi dengan along,” marah Mak Limah. Dia merasakan yang anak keduanya itu bersikap kurang ajar dengannya.

“Mak kenal keluarga Azzam tu. Mak bapak dia ada banyak harta. Tanah dekat kampung sebelah tu boleh dikatakan separuh harta keluarga Azzam. Orang dekat luar sana tu berlumba-lumba nak jadikan Azzam tu menantu tapi keluarga dia pilih along. Sebab apa? Sebab kita ni dari keluarga yang baik-baik. Biar tak kaya, janji dijadikan pilihan orang kaya,” bebel Mak Limah lagi. Kali ini rancangannya harus berhasil. Sekurang-kurangnya dia boleh tumpang senang.

Nak tergelak Haura dengar penjelasan dari maknya itu. Dari keluarga baik-baik? Baik ke bila paksa anak berkahwin dengan lelaki yang tidak disukai? Mak, mak… tak habis-habis lagi nak menantu orang kaya. Kalau macam inilah gayanya, memang tak ada harapanlah aku nak kahwin dengan Naim.

“Tapi…” belum sempat Haura menghabiskan ayat, tiba-tiba pahanya ditepuk dari bawah meja. Terus pandangan beralih pada kakaknya. Sayu betul dia tatap wajah itu. Nampak sangat yang along tak suka dengan apa yang sedang berlaku.

“Buatlah apa yang patut mak, along ikut.” Faida bangun dari duduk. Cincin pertunangannya itu dicapai sebelum melangkah meninggalkan dapur.

Walaupun hatinya merana dengan keputusannya itu namun, tidak sesekali dia melawan manusia yang melahirkannya itu. Tidak akan ada keberkatan hidup tanpa reda seorang ibu. Jika ini takdirku, aku terima.

Haura tidak betah berlama di situ. Dia turut bangun dari duduk. Belum sempat dia meninggalkan dapur…

“Jangan ingat mak tak tahu pasal Naim.”

Serta-merta langkah Haura terhenti. Air liur ditelan. Terasa kesat dalam rongga tekaknya.

Macam mana mak tahu pasal aku dengan Naim? Tak kan along yang beritahu kut?

“Ada orang kampung nampak kau bonceng motosikal dengan Naim dekat bandar. Kau masih berhubung dengan dia ya?” Soal Mak Limah ingin kepastian.
Dia tahu pun ketika bertembung dengan salah seorang penduduk kampung semasa membeli barang keperluan dapur di pasar petang tadi. Bukan main rancak lagi wanita itu bercerita tentang anaknya. Rasa macam nak tampar mulut dia pun ada.
Anak aku bukan main lagi, tapi bila kena dekat anak dia, terus diam.

“Mana ada mak. Memandai aje orang kampung buat cerita,” dalih Haura. Pandangan dialihkan ke arah lain agar maknya tidak perasan yang dia sedang menipu.
Kalau aku dapat orang yang bercerita pasal aku tu, memang aku cucuk punggung dia guna batang keladi. Biar tak boleh duduk seminggu.  Suka-suka hati dia pecahkan rahsia aku!

“Tak apalah kalau tak tapi kalau mak nampak kau berjumpa dengan Naim, siap kau! Si Naim tu tak boleh bagi kebahagiaan pada kau. Dia tu nak cari makan untuk mulut sendiri pun susah, inikan nak bagi kau makan. Mak ni tak nak kau merana di kemudian hari sebab itulah mak tak nak kau kahwin dengan budak tu,” nasihat Mak Limah panjang lebar.
Susah sangat ke nak faham kenapa aku buat semua ni? Aku tak nak anak-anak aku hidup seperti aku. Sebab apa, sebab dulu aku pilih cinta. Tengoklah sekarang ni, sampai ke sudah hidup dalam kemiskinan. Aku dah serik!

“ Angah nak mandi.” Haura meminta diri.
Malas nak bertikam lidah dengan maknya itu. Lagi banyak dia menjawab, silap hari bulan tak dapat tidur sampai ke pagi. Lebih baik dia segera beredar.
Soal Naim tu, nanti-nantilah aku fikir macam mana buat supaya mak terima.

Melastik Ke HatiMuWhere stories live. Discover now