BAB 2~ Melastik Ke HatiMu

2K 11 0
                                    

“OKAY stop!” Belakang badan Naim ditepuk-tepuk supaya lelaki itu menghentikan motosikal di bahu jalan.

Sengaja dia minta Naim menghentikan motosikal jauh sedikit dari rumahnya agar tidak terkantoi dengan maknya.
Kalau mak nampak aku naik motosikal dengan Naim, memang bernanahlah telinga aku nanti. Mak mesti akan marah. Silap hari bulan, mak tak bagi dah aku kerja dekat kilang tu.

“Jumpa esok.” Haura meminta diri. Esok pagi, dekat sini jugalah Naim akan menjemputnya.

“Macam itu aje?”

Haura menghentikan langkah dan berpusing ke belakang semula.

“Habis nak yang macam mana?” Berkerut dahinya ketika ini.

Naim muncungkan mulutnya minta kucupan dari sang kekasih. Ianya hanya sekadar gurauan tapi kalau dapat betul-betul, itu kira satu bonus.

“Jangan nak mengada-ada. Pergi balik!” Halau Haura sambil menjelirkan lidah. Laju kakinya menyusuri bahu jalan bertemankan lampu picit.

Lepas tengok wayang tadi, Naim ajak dia melepak di kedai mamak bersama rakan-rakan satu tempat kerja dengan lelaki itu. Tengok-tengok aje, dah nak masuk pukul 10 malam. Cepat-cepat dia minta Naim menghantarnya balik.

Dia sedikit tergamam bila melihat dua buah kereta yang tidak dikenali berada di halaman rumahnya. Dari luar rumah lagi telinganya menangkap suara-suara orang berbual di ruang tamu rumah papan milik keluarganya itu. Bukan main rancak lagi mereka berbual. Siap ketawa lagi. Dah macam orang menang loteri.

Niatnya untuk masuk melalui pintu depan dilupakan. Laju kakinya di atur menuju ke pintu belakang.

“Assalamualaikum…” Salam diberi sebelum kaki melangkah masuk. Nasib baik tak berkunci. Kalau tak, terpaksalah dia masuk melalui pintu hadapan dan berhadapan dengan manusia-manusia yang tidak dikenali itu.

“Waalaikumusalam…” Salam dijawab serentak oleh dua orang gadis yang sedang berbual di meja makan. Nak kata tengah makan malam, tak ada pula makanan di atas meja. Yang ada hanya dua cawan teh panas.

“Bila Afna balik?” Soal Haura pada adiknya perempuannya.
Gadis bernama Afna Naila itu anak ketiga dalam keluarga yang masih lagi menuntut di Institusi Pendidikan Perguruan Sultan Mizan di Terengganu. Haura mempunyai dua orang lagi adik, seorang lelaki dan seorang perempuan yang masing-masing masih belajar di salah sebuah universiti di ibu kota. Bangga sungguh dia dengan pencapaian mereka semua. Semuanya bakal pendidik.

Kadang-kadang timbul juga perasaan cemburu di hatinya bila melihat mereka semua berjaya tapi apakan daya, ketika dia ditawarkan pengajian yang lebih tinggi, tiba-tiba ayahnya jatuh sakit. Terpaksalah dia dan juga kakak sulungnya berkorban demi masa depan adik-beradik yang lain.

Hasil pendapatan mak yang hanya menjual nasi lemak tidak mampu menampung perbelanjaan persekolahan adik-adiknya. Jadi dia lupakan niat untuk sambung belajar dan terus mencari pendapatan tetap.

“Petang tadi,” ringkas jawapan Afna sambil menghirup teh panas di dalam cawan.

“Along ni dah kenapa?” Soal Haura pelik bila melihat muka Faida dah macam buah mangga kena jeruk. Masam gila. Macam kena tinggal dengan suami pun ada tapi Faida tak kahwin lagi.

“Ke mak dah tahu…” sambung Haura lantas mengambil tempat di sebelah kakaknya.

Tak kan mak dah tahu yang aku menipu selama ini? Mati aku kalau macam ni.

“Tahu apa?” Soal Afna ingin tahu bila melihat seperti ada sesuatu di antara mereka berdua.

“Sibuklah kau. Ini hal orang-orang tua,” tegas Haura disertai dengan isyarat supaya gadis itu tidak menyampuk.

Melastik Ke HatiMuWhere stories live. Discover now