BAB 1~Melastik Ke Hatimu

2.6K 29 1
                                                  

BERLARI-lari Haura ke arah pintu pagar kilang pakaian di mana tempat dia bekerja bila melihat seorang lelaki bermotosikal melambai-lambai ke arahnya. Tersenyum lebar dia bila lelaki itu menepati janji. Selalunya dia yang terpaksa menunggu lama.

Kadang-kadang tu tak muncul terus. Bila ditanya, macam-macam alasan dia dapat tapi sayang punya pasal, dia maafkan walaupun dalam hati ni dah macam gunung berapi nak meletup.

“Awal hari ni? Buang tabiat ke?” Usik Haura.

Dibiarkan lelaki muda itu sarungkan topi keledar di kepalanya. Siap tolong ketatkan talinya lagi. Habis serabut tudung Haura bila pakai topi keledar. Gula-gula getah disumbat ke dalam mulut. Itu dah jadi tabiat dia. Haura dan gula-gula getah memang tidak boleh dipisahkan.

“Lambat salah, cepat pun salah. Kalau tak datang, lagilah salah,” bebel Naim perlahan. Saja nak sindir wanita bernama Haura Annisa itu.
Aku dah datang ni pun dah kira baik.

“Saya dengar tu.” Haura menjeling.

Tersengih-sengih Naim seperti kerang busuk. Saja nak naikkan darah akulah tu. Kalau aku merajuk, sebulan kau merana nanti.

“Cepatlah, panas ni.” Cepat-cepat Naim menukar topik. Sebelum berlaku pergaduhan, lebih baik dia segera membaiki keadaan. Tengah-tengah panas ni, tak kuasa nak melayan.

“Kejap.” Mata Haura memerhatikan sekeliling. Mencari kelibat seorang wanita yang tua dua tahun darinya.

Ketika waktu rehat tadi lagi dia mencari wanita itu sebenarnya namun, tidak ketemu. Telefon pun tidak berjawab. Ke manalah dia pergi agaknya?

“ Cari siapa?” Soal Naim pada teman wanitanya. Sesekali matanya melilau walaupun dia sendiri tidak tahu siapa yang dicari.

“Along,” ringkas jawapan Haura. Ada sesuatu yang ingin disampaikan pada kakak sulungnya itu.

“Kerja tempat yang sama, tinggal dekat rumah yang sama, mak ayah pun yang sama. Tak kan tak jumpa?” Soal Naim pelik. Enjin motosikal EX-5 dihidupkan. Tak betah dia berlama di situ. Dahlah tengah-tengah panas.

“Memanglah kerja tempat yang sama tapi lain-lain department. Saya ni operator aje, along tu duduk bahagian admin. Mana sempat nak jumpa,” jelas Haura. Bila nampak kelibat orang yang dicari keluar dari pintu utama kilang dan menuju ke perhentian bas, terus dia minta Naim menunggu seketika.

“Along!” Haura melambai tangan.
Nasib baik dia perasan kemunculan kakaknya itu dalam sekumpulan pekerja-pekerja kilang yang lain. Waktu-waktu macam sekarang ni, memang sibuklah keadaan depan kilang. Semua nak balik ke rumah masing-masing. Tak kurang juga yang sedang menunggu bas kilang menjemput mereka. Dulu dia juga menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan tapi sejak ada Naim, dia tak perlu berasak di dalam bas lagi. Pergi dan balik, ada yang menjemput.

“Nak balik dengan along ke?” Soal Faida. Bila adiknya menggeleng, matanya terus terpacu ke arah lelaki yang bermotosikal tidak jauh darinya. Okey, faham.

“Along balik dengan bas?” Soal Haura walaupun dia tahu memang setiap hari dengan cara itulah kakak sulungnya pulang ke rumah.

“Dah memang setiap hari along balik dengan bas kilang. Kenapa? Pakwe angah nak tolong hantarkan ke? Along boleh aje itu pun kalau angah tak kisahlah,” usik Faida diselangi dengan tawa. Bila tengok air muka adiknya berubah, terus dicubit pipi itu.

Amboi, dengan kakak sendiri pun nak cemburu ke! Macamlah aku ni nak dekat abang posmen dia tu.

“Bukanlah. Sebenarnya angah nak keluar dengan Naim. Angah nak along tolong beritahu mak yang angah balik lewat. Jangan cakap angah keluar dengan Naim pula. Cakap aje yang angah OT. Along pun tahu kan yang mak tak suka angah berkawan dengan Naim,” minta Haura sambil tersengih.

Dia tahu yang maknya tidak sukakan Naim disebabkan lelaki itu hanya bekerja sebagai posmen. Macamlah aku tak tahu yang mak tu nak menantu dari golongan berada.
Ini yang dikatakan tidak ukur baju di badan sendiri. Ada ke orang kaya nak bermenantukan anak orang biasa macam aku ni? Berangan betul orang tua tu.

“Again?” Faida jongket kening tidak berpuas hati dengan permintaan adiknya.

“Alah bolehlah along. Please…” rayu Haura dengan kedua-dua tapak tangan dirapatkan.

“Kalau kantoi macam mana?” Faida dah mula takut untuk menipu.
Mak pun dah macam boleh agak yang aku menipu selama ini. Kalau kantoi, kena maki empat hari empat malamlah jawabnya. Mak tu kalau dah mula membebel, rasa macam nak terjun bangunan. Bingit tahu tak!

“Kalau along tak beritahu, mak tak akan tahunya,” tambah Haura lagi.

“Ura! Cepatlah, panas ni!” Jerit Naim dari jauh.

“Along tolong erk? Angah nak cepat ni. Jumpa nanti.” Berlari Haura meninggalkan kakaknya menuju ke arah Naim sambil bersorak gembira tanpa menghiraukan pandangan orang padanya.

Geleng kepala Faida dengan sikap adiknya itu. Suka buat perkara yang merisaukan aku. Kalau mak tahu ni, dengan aku-aku sekali kena. Angah, angah…

“Nak pergi mana hari ni?” Soal Haura sebaik sahaja membonceng motosikal Naim. Beg silangnya di letak di tengah-tengah untuk dijadikan pemisah antara dia dan Naim. Tak adalah rapat sangat dengan lelaki itu. Takut lain pula jadinya.

“Jom tengok wayang. Naim dah beli tiket,” ajak Naim.

Sebelum menjemput kekasih hatinya dia dah belikan tiket wayang. Rasanya dah lama dia dan Haura tidak menonton filem di panggung wayang. Selalunya dating tepi pantai, hari ni rasa nak tukar angin pula.

“Cantik! Dah lama tak tengok wayang. Cerita apa?” Soal Haura ketika motosikal yang ditunggang Naim berhenti di lampu isyarat.

Ketika tu jugalah ada sebuah kereta mewah berhenti di sebelahnya. Nak juga dia tengok siapa gerangan yang memandu kereta mewah itu, namun hampa. Cerminnya gelap sangat sampai matanya tidak dapat menembusi ke dalam.

Tanpa disedari, dia diperhatikan dari dalam.

“Minions,” jawab Naim ringkas.
“Kartun kuning tu ke? Awak ni biar betul! Apa kejadahnya awak ajak saya tengok kartun.” Serta-merta mata Haura membulat.

Biar betul dia ni? Tak kan dating ajak aku tengok cerita kartun. Gula-gula getah di dalam mulut diludah bila terasa tawar. Satu lagi dikeluarkan dari poket dan disumbat ke dalam mulut. Tiga kali kunyahan, terus dia ludah sekali lagi.

Asal gula-gula getah ni lembik semacam aje? Rasa pun tak macam selalu. Tak sedap langsung!

“Yalah, awak kan suka tengok kartun.” Naim pulas pedal minyak bila lampu isyarat bertukar hijau. Terkejut dia bila kereta mewah di sebelahnya tadi laju memotong.

Menyumpah-nyumpah dia dalam hati dek perlakuan pemandu kereta itu.

Ingat ni litar lumba ke? Tahulah bawa kereta mewah tapi tak payahlah bawa kereta macam orang yang dah tak tahan nak berak.

“Bila masa saya cakap saya suka tengok kartun? Saya nak tengok cerita yang Aaron Aziz berlakon tu. Awak ni kan!” Laju tangan Haura menumbuk belakang badan teman lelakinya.
Benci betullah dia ni. Tak ada cerita lain ke yang dia nak ajak aku tengok. Tak romantik langsung!

“Sakitlah awak. Tak nampak ke saya tengah bawa motosikal ni. Kan accident, arwah kita berdua nanti,” usik Naim diselangi dengan tawa. Hampir hilang tumpuannya bila Haura menumbuk belakangnya.

“Issh! Choilah! Mulut tak ada insurans!” Marah Haura sambil berpeluk tubuh. Turun naik dadanya ketika ini.
Dahlah ajak aku tengok kartun, lepas tu boleh pula cakap pasal mati. Tak guna betul dia ni!

Naim tersengih sendirian. Dia suka mengusik gadis itu.

Melastik Ke HatiMuWhere stories live. Discover now