Iza tersandar di kepala katil mendengar setiap patah kata yang keluar dari mulut Fakhrul. Pedih, marah, sedih, macam macam lagi semuanya tak dapat diucapkan.
"Iza, maafkan abang".
Iza diam membatukan diri. Air mata ditahan agar tidak menitis langsung. Dikuatkan hati, berlagak seperti tidak memberi apa apa kesan pada jiwanya."Jadi bercerai?", soal Iza memecah kesunyian. Fakhrul mengangkat kepala yang sedari tadi menunduk. Pandangannya terhala pada Iza.
"Hampir. Tarikh lafaz cerai di mahkamah dua minggu selepas Fahri meninggal", kata Fakhrul perlahan tapi lancar. Saat tiba di nama Fahri, intonasinya berubah. Masih terasa hiba dengan kehilangan itu.
Iza mula mengemamkan bibirnya bila nama Fahri disebut. Rindu pada anaknya itu tak dapat digambarkan. Bagai terdengar rengekannya. Iza mengalihkan wajahnya memandang jendela.
Fakhrul menarik nafas sedalamnya, perlu bijak menangani waktu sebegini.
"Abang bawa Sandra keluar beli barang. Sampai di satu kedai runcit Cina, tiba tiba Sandra berhenti. Abang tengok dia buat macam mana penganut Buddha sembahyang depan tokong di luar kedai tu". Fakhrul membuka cerita, sayu penuh rasa sesal.
Sememangnya setiap kali Syazana outstation, Sandra akan dihantar pulang ke Ipoh atau nenek dan atoknya datang ke KL. Pada pengamatan Fakhrul, Sandra sudah mula terikut perlakuan mentuanya.
Iza menjeling pada Fakhrul, cuba melihat kejujuran di situ. Nada Fakhrul semakin sebak.
"Abang dah kehilangan Fahri selama lamanya. Abang tak nak kehilangan Sandra. Abang sedar abang tak didik Steph dan Sandra. Abang tak nak tanggungjawab ni, berat tapi Allah pilih abang. Abang harus pikul walaubagaimana sekalipun", luah Fakhrul, memohon agar Iza mengerti.
"Pilih? Itu kesalahan abang sendiri. Abang yang pilih jalan tu", kata Iza menangkis apa yang Fakhrul katakan.
"Iza dan anak anak pun abang tak pernah didik. Pernah abang jadi imam untuk kami selama abang ada di rumah? Pernah abang betulkan bacaan al Quran saya selama kita kawin? Ada abang huraikan hadith 40 untuk saya atau baca tafsir quran bersama?". Soal Iza bertalu talu. Sakit hatinya bila soal agama keluar dari mulut Fakhrul sedang dia tahu Fakhrul ni bagaimana.
"Abang tau tu. Memang abang banyak kekurangan tapi abang terpaksa lebihkan Syazana. Dia memerlukan bimbingan. Iza lebih pandai tentang agama dari abang. Abang yakin Iza boleh bantu abang untuk didik anak anak kita", kata Fakhrul perlahan, cuba memberi sebab.
Iza memandang sinis pada Fakhrul. 'Aku pandai bab agama? Bila masa aku jadi pandai? Apa yang aku tau, kau pun tau. Kita satu sekolah'.
"Abang tak adil. Sangat tak adil. Selama abang lebihkan masa di sana, apa perubahan yang abang dapat buat? Syazana tutup aurat? Solatnya macam mana? Puasanya? Hidup mengikut landasan Islam?".
Bengang Iza. Alasan yang tak dapat diterima. Dengan dia, semuanya tak kena. Baju harus begini, tak boleh begitu. Berhias pun sama. Sedangkan dengan Syazana, bebas. Seolah Fakhrul benarkan apa saja yang Syazana ingin lakukan. Double standard!! Apa bezanya dia dan Syazana?
"Abang tau. Abang sedang cuba untuk membetulkan keadaan. Tak mudah Iza. Dia lahir bukan sebagai muslim. Cara hidupnya berbeza. Dan hidup berpoligami tak seindah yang orang katakan. Jika boleh abang putarkan masa, abang tak nak semua ni", luah Fakhrul tentang apa yang terbuku di lubuk hati. Sesungguhnya dia menyesal kerana terlalu ikutkan nafsu muda. Akibatnya, ditanggung hingga kini. Impian untuk mengecapi bahagia dengan Iza tak kesampaian.
"Dia degil. Abang dah buat semua. Tapi dia masih seperti dulu. Solat dia buat, alhamdullillah. Abang suruh ikut kelas agama di PERKIM, dia kata takde masa. Abang nak ajar, diri sendiri pun tak pandai", tambah Fakhrul suaranya mendatar.
YOU ARE READING
AKU ORANG KETIGA (TAMAT)
General Fictioncinta : benar atau nafsu semata? cinta : jujur dari hati atau sekadar mainan rasa? cinta : adakah untuk selamanya? Realiti tak sama seperti yang diimpikan. Beruntunglah jika berjodohan dengan pasangan yang menyintaimu sepenuh hati sehingga mati, ta...