Bab 9

1.6K 19 0
                                    

"FAYAD tidur dengan Shal aje," beritahu Eshal setelah Puan Wardah memberikan ubat batuk dan selesema kepada Fayad.

Sementelah Arash pula terpaksa bermalam di hospital kerana keracunan makanan. Ditambah lagi dengan demam panas.

"Kenapa dengan Shal pula? Biar dia tidur dengan abang." Ehsan menyampuk.

"Eh, tak boleh. Abang tu gundah bila tidur. Nanti tak pasal-pasal Fayad ni jatuh dari katil. Lagipun, dia nak ke dengan abang?" tempelak Eshal. Dia tahu, Fayad dengan Ehsan tak 'sehaluan'. Bukan sebab Ehsan tak suka dengan Fayad tetapi si kecil itu yang takut dengan Ehsan.

Ehsan menjelingnya.

"Yang Shal ke rumah Arash tadi buat apa? Kan abang dah pesan, jangan suka hati datang ke rumah Arash tu."

Bibir digigit. Mata Eshal melirik si ibu. Hanya Puan Wardah yang tahu tentang bekal yang dia sediakan untuk Arash dan Fayad. Itupun sebab terkantoi setelah beberapa kali berjaya meloloskan diri dari rumah tanpa pengetahuan orang tuanya.

"Mak yang suruh Shal hantar nasi goreng ke Arash tadi," celah Puan Wardah dan Eshal menarik nafas lega.

"Nanti-nanti biar San aje yang hantar ke rumah dia, mak," ujar Ehsan.

Eshal mengerutkan dahinya. Ehsan pantang betul kalau dengar dia berjumpa dengan Arash. Macamlah dia menggedik dengan Arash tu.

"Abang tu... Kalau cuti macam ni, tengah hari baru nak bangun."

"Menjawab aje kerjanya budak ni. Shal tu... Bila nak apply kerja? Kan Shal dah grad. Nak tunggu sampai bila lagi? Atau Shal nak sambung belajar?"

Terkulat-kulat Eshal bila diungkit tentang kerja.

"Shal nak kerja tapi bagilah Shal masa sikit. Nak temankan mak kat rumah ni. Nanti kalau dah kerja, dah tak ada masa. Macam abang," cebiknya.

"Macam senang aje kerja tu nak dapat."

"Bang... Percayalah, rezeki tu tak pernah salah alamat tau!"

"Itu kalau rezeki kau datang cepat. Kalau tak datang-datang?"

"Hish... Dahlah. Takut Si Fayad ni tengok kamu berdua bercakap. Macam nak gaduh gayanya." Encik Tarmizi bersuara sekaligus mendiamkan Eshal dan Ehsan.

"Ayah ana?" Setelah lama diam dan hanya menjadi pemerhati, si kecil itu mula bersuara. Malah mata tercari-cari kelibat Arash.

Eshal mengambil Fayad dari pegangan Puan Wardah dan meletakkan si kecil itu di atas ribanya.

"Ayah sakit. Malam ni Fayad tidur dengan kakak, ya?"

"Ayah akit?"

Eshal tersenyum nipis.

"Haah. Ayah kat hospital. Esok ayah balik."

Fayad diam. Si kecil tertunduk sedih.

"Fayad nak tidur?" soal Eshal lembut.

Perlahan kepala si kecil itu mengangguk.

"Okey, jom! Tapi sebelum tu, salam atuk dengan nenek dulu." Eshal menurunkan Fayad dari ribanya. Tanpa menunggunya, si kecil itu mendekati Puan Wardah dan Encik Tarmizi. Sekali dengan Ehsan.

"Good boy, Fayad," puji Eshal. Si kecil itu mungkin kurang bersosial dengan budak lain tetapi Fayad seorang budak yang mendengar kata dan terdidik.

Kemudian Fayad dibawa masuk ke dalam bilik tidur. Baru saja Eshal meletakkan Fayad di atas katil, telefonnya pula berbunyi.

Spontan bibirnya tersenyum tatkala melihat nama Arash yang menghubungi. Disebabkan kejadian ini, mereka baru saja bertukar-tukar nombor telefon. Sebelum ini, Arash hanya menyimpan nombor telefon Ehsan.

"Fayad... Ayah call," beritahunya teruja seraya menjawab panggilan itu.

"Assalamualaikum." Suara Arash menyapa.

"Waalaikumussalam." Eshal melabuhkan tubuhnya di atas katil. Badan Fayad pula ditarik dekat dengannya.

"Macam mana dengan Fayad?"

"Alhamdulillah, okey. Dia faham ayah dia sakit. Dan disebabkan dia dah makan ubat... Dia macam mengantuk dah. Encik nak cakap dengan dia ke?"

"Boleh juga."

"Fayad... Ayah nak cakap dengan Fayad." Telefon bimbit itu didekatkan dengan cuping telinga Fayad.

"Ayah..." Suara si kecil itu mengundang senyuman di bibir Eshal.

"Ayah sick?"

"Tomorrow? Okey."

"Ayad nak shleep."

"Ayad lop ayah."

"Ayad lop kakak gak."

Eshal tak tahu apa yang dibualkan oleh Arash tetapi mendengar balasan dari Fayad itu membuatkan dia tertanya-tanya pula. Lagi-lagi ketika mendengar balasan Fayad 'Ayad lop kakak gak' itu.

Selang tiga minit, Fayad tak kedengaran bersuara lagi. Rupa-rupanya si kecil itu sudah terlena. Segera Eshal melekapkan telefon ke telinganya pula.

"Hmmm... Fayad dah tidur," beritahunya.

"Patutlah tak menyahut."

"Itulah."

"Eshal..."

Panggilan lembut itu buat dada Eshal berdebar. Sebelah tangan naik menyentuh dada.

"Saya minta maaf sebab terpaksa menyusahkan awak sekeluarga."

"Kami tak rasa susah pun, encik. Lagipun, saya dah anggap Fayad ni sebahagian dari keluarga kami."

"Awak baik sangat..."

Bibir digigit. Eshal juga tak tahu kenapa dia begitu baik dengan Arash dan juga Fayad. Padahal, dia bukanlah anak yang rajin. Kalau tak disuruh, memang lambat nak bertindak. Tetapi sekarang, dia rajin buat kerja rumah. Rajin masak. Rajin jaga Fayad. Dah macam ibu-ibu pula lagaknya.

"Hmmm... Encik dah okey ke? Tak muntah-muntah lagi?" Tak mahu terlalu terbuai dengan pujian itu, Eshal bertanyakan keadaan lelaki itu pula.

"Alhamdulillah. Muntah dah okey. Tinggal sakit perut aje."

"Encik makan apa sebenarnya sampai jadi macam ni?"

"Penat sangat semalam, so malas nak masak. Kami makan kat luar. Tapi untuk Fayad, saya dah sediakan sup ayam untuk dia."

"Kalau Fayad makan yang sama macam encik, dengan dia sekali keracunan makanan tau!" bebel Eshal. Kalau dah Arash sakit sampai macam tu sekali, apatah lagi Fayad nanti.

"Itulah... My bad."

"Lain kali, kalau penat sangat nak masak, bagi tahu saya. Saya boleh masakkan."

Kedengaran Arash mengeluh.

"Shal... Saya tak nak susahkan awak. Nanti apa kata mak dengan abah awak?"

"Mereka okeylah."

"Tak apa. Saya tetap tak nak susahkan sesiapa."

"Senang cerita, encik kahwin barulah. Boleh jaga encik dengan Fayad sekali," ujar Eshal tanpa dia sedar akibatnya.

Arash membisu dan ketika itulah Eshal baru tersedar dengan keterlanjuran kata-katanya.

"Sorry... Bukan niat saya..."

"Tak apa. Awak tidurlah. Saya pun nak rehat. Terima kasih sebab sudi jagakan Fayad."

Baru Eshal nak menjawab, panggilan sudah diputuskan. Bibir diketap. Dia marah pada dirinya sendiri kerana bercakap sesuka hati. Sedangkan dia tahu, Arash sangat sensitif jika berbicara tentang arwah isteri lelaki itu. Inikan pula nak suruh cari pengganti.

Hish! Mulut kau ni, Shal!

HINGGA TIBA SAAT ITUWhere stories live. Discover now