"Saya Najwa, dan ini adik saya Nina." Mereka menghulurkan tangan. Najwa lebih rendah dari adiknya. Nina nampak malu-malu. Sebentar kemudian Nina terus meminta diri.

"Bila tiba di sini?"

"Semalam." Balas Najwa. "Kak Hanie dah kenal lama ke dengan Kak Ati?"

"Sejak Tingkatan Tiga lagi. Najwa dan Nina masih bersekolah ke?"

"Najwa Tingkatan Lima, Nina Tingkatan Tiga."

"Muda lagi..." Mata Izhanie beralih ke muka pintu. Nina membawa segelas air.

"Minum Kak Hanie." Jemput Nina.

"Terima kasih." Izhanie mencapai gelas yang dihulurkan.

"Kami keluar dulu, Kak Hanie. Kalau akak nak apa-apa, cakaplah." Najwa melangkah keluar diekori adiknya.

Selesai mandi, Izhanie segera menghampiri Atikah yang sedang menyiapkan hantaran. Atikah dibantu beberapa orang anak gadis kampung tersebut. Ada yang tersenyum-senyum bila memandangnya. Dia segera membalas senyuman mereka. Berada di tempat orang haruslah pandai membawa diri.

"Tentu meriah kenduri kau esok. Aku tak sabar nak tunggu," bisik Izhanie di telinga Atikah.

Atikah tersenyum-senyum malu.

"Dengar khabar... dua ekor kerbau disembelih." Izhanie mendapat maklumat tersebut daripada Najwa. Pada pandangannya, kalau dua ekor kerbau ditumbangkan, pasti besar dan meriah kenduri perkahwinan Atikah.

Atikah masih tersenyum. Tangannya ligat menyapukan gam pada reben untuk dilekatkan pada kotak hantaran. Dia berharap agar majlis perkahwinannya berjalan dengan lancar. Namun dalam masa yang sama, dia turut merasa sedih. Percintaan sahabatnya tidak kesampaian. Mereka pernah berjanji untuk melangsungkan perkahwinan pada hari yang sama.

"Arman tentu semakin segak, kan? Maklumlah TUDM, kau pulak pembantu makmal. Sama padan!" Izhanie sudah tidak sabar untuk melihat wajah Arman. Sudah bertahun-tahun dia tidak bertemu dengan lelaki itu. Dulu Arman sedikit berisi.

"Kau bila lagi?" usik Atikah, sengaja menduga sama ada cinta Izhanie masih kukuh terhadap Hafid atau sudah beralih arah. Lima tahun bukan satu jangka masa yang singkat untuk mengubah perasaan hati Izhanie.

"Aku?" Izhanie cepat-cepat menggeleng. Dia tidak akan merasa duduk di atas pelamin. Dia pernah berjanji dengan Hafid yang dia hanya akan berkahwin dengan lelaki itu. Jika tidak, dia akan menjadi anak dara tua. Itulah janjinya ketika asyik bercinta di bangku sekolah. Namun, sejak kehadiran Izhan dalam hidupnya, dia sedikit demi sedikit mula terlupa akan janjinya. Terasa menyesal pula kerana berjanji yang bukan-bukan. Ketika itu dia masih budak sekolah. Fikirannya masih belum matang lagi.

"Aku belum ada calon lagi. Belajar pun belum habis. Kau lainlah, dah bekerja." Izhanie memberi alasan paling munasabah.

"Ah, aku tak percayalah kalau kau masih belum berpunya. Tentu di U ramai lelaki yang nak berdampingan dengan kau." Atikah terus menyiasat. Bicara Izhanie sebentar tadi seolah-olah seperti seorang kekasih yang baru dikecewakan.

Wajah Izhan, lelaki yang telah berjaya mencuri perhatiannya sejak akhir-akhir ini segera terbayang di ruang mata Izhanie. Adakah Izhan memang berhajat mendampingiku? Izhan tak pernah mengucapkannya secara terang-terangan. Namun hanya menyelitkannya ketika bergurau. Jadi dia tidak tahu sejauh mana keikhlasan Izhan. Mungkin Izhan hanya menganggapnya tidak lebih dari seorang sahabat. Mereka tidak menjalin sebarang perhubungan istimewa. Itulah kenyataannya.

Izhan seorang sahabat yang mengambil berat. Izhanie masih ingat lagi sewaktu dia terkena demam selsema, Izhanlah yang telah banyak membantunya dengan menghantarnya ke klinik. Begitulah juga ketika dia dan Sofea mahu ke The Mines, Izhanlah yang telah bersusah payah menghantar mereka ke tempat tersebut. Cakap saja pukul berapa nak pergi, Izhan sedia menanti. Sesekali hatinya terusik dengan sikap Izhan. Dan dia tidak akan sekali-kali lupa ketika lelaki itu melindunginya dari lelaki-lelaki Indonesia yang mengganggunya.

Hanya PadamuWhere stories live. Discover now