BAB 10

17 0 0
                                                  

Izhanie dan Atikah melangkah turun dari teksi. Beberapa orang kampung merenung Izhanie seketika. Ada yang berbisik-bisik. Izhanie terasa malu bila dipandang oleh orang kampung. Dia segera menghulurkan tangan kepada mereka yang ada hampir dengannya. Yang jauh-jauh, dia cuma hadiahkan senyuman. Penduduk kampung itu murah dengan senyuman.

"Kerja sekali ke?" soal seorang wanita yang memakai baju Kedah dan kain batik.

"Tak. Saya masih belajar." Balas Izhanie sedikit malu.

"Gaya aku ni macam orang yang dah bekerja ke, Tikah?" bisik Izhanie ketika melangkah anak tangga.

"Orang sini bukannya reti sangat. Memandangkan aku dah kerja, jadi dia orang ingat, kawan-kawan aku pun terdiri dari rakan sekerja juga."

"Malunya aku Tikah. Kenapa dia orang pandang semacam je pada aku." Izhanie terasa kekok bila diperhatikan tak berkelip oleh mereka yang tak dikenali. Terasa ada yang tak kena pada diri.

"Biasala Hanie. Orang luar yang datang ke kampung pasti menjadi perhatian. Tambah-tambah orang seperti kau. Tentu mereka fikir kau anak mat saleh."

Kalau orang kampung fikir macam itu tak apalah. Yang dibimbanginya jika mereka fikir yang dia sengaja mewarnakan rambut dan pakai kanta lekap. Sedangkan rambut dan warna anak matanya adalah warna asal. Rambut keperang-perangan dan bola mata warna coklat. Silap haribulan, dia digelar minah saleh celup!

Izhanie mendapat jawapan kini mengapa Atikah mahu melangsungkan perkahwinan di kampung neneknya, bukan di rumah ibunya. Penduduk kampung saling bergotong-royong untuk mengadakan kenduri. Kaum lelaki sibuk melapah dan memotong daging, kaum perempuan pula sibuk mengupas bawang, menghiris timun dan pelbagai lagi. Riuh-rendah jadinya. Memang terasa benar suasana kenduri. Ibu Atikah yang sudah berkahwin lain kini menetap bersama suaminya di Kuala Lumpur. Mereka tinggal di flat. Sebab itu Atikah tidak mahu mengadakan kenduri di sana.

Izhanie menyusun langkah ke ruang tamu, kelihatan beberapa orang gadis sedang sibuk menyediakan bunga telur di penjuru. Dia lantas bersalaman dengan mereka. Mereka semua bertudung! Dia terasa kekok kerana hanya dia seorang sahaja yang tidak bertudung. Patutlah aku menjadi perhatian ketika berada di luar tadi. Mungkin mereka tidak biasa melihat gadis yang tidak menutup rambut. Dia diserang perasaan malu.

Izhanie memang tidak pernah memakai tudung sejak kecil lagi jika hendak ke mana-mana. Dia hanya mengenakan tudung ketika bersekolah. Peraturan di sekolah ialah setiap pelajar Muslim wajib memakai tudung. Buat masa sekarang hatinya masih belum tergerak untuk memakai tudung. Tudung pemberian Izhan juga hanya tergantung dalam almari.

Atikah menunjukkan Izhanie sebuah bilik.

"Kau terpaksa kongsi bilik ni dengan dua orang sepupu aku. Tak apa, kan?"

"Aku tak kisah." Izhanie meletakkan beg di penjuru. Dia memerhati sekeliling. Bilik itu dilengkapi dengan sebuah katil dan almari pakaian. Terdapat juga seterika dan tempat menggosok pakaian. Dua buah beg besar juga kelihatan di belakang pintu. Tentu beg sepupu Atikah, bisik hati Izhanie.

"Kau tentu penat, kan? Kau rehat dulu. Nak tidur pun tak apa. Bilik air ada kat tingkat bawah. Turun aje tangga dapur, sebelah kiri tu bilik air. Aku keluar dulu. Kalau kau nak apa-apa jangan segan bagitahu ye."

Izhanie mengeluarkan telefon bimbit. Tiada line. Dia sedikit hampa. Terpaksalah aku menahan kerinduan pada Izhan untuk beberapa hari lagi. Dia kemudian mengeluarkan tuala dan kelengkapan mandi. Baju untuk dipakai juga dikeluarkan siap-siap.

Pintu bilik tiba-tiba diketuk. Dua orang gadis yang kelihatan seiras dan sebaya melangkah masuk. Tentu ini sepupu Atikah, bisik hati Izhanie. Mereka menghampirinya. Dia segera menghadiahkan senyuman.

Hanya PadamuWhere stories live. Discover now