BAB 9

20 0 0
                                                  

"Tolong pilih tudung yang paling cantik," pinta Izhan sambil membelek dua tiga helai tudung bawal yang tergantung.

"Tudung paling cantik?" Izhanie kehairanan. "Untuk siapa?"

Izhan tergelak kecil melihat reaksi Izhanie. Untuk siapa? Nampak seperti gadis itu dalam keadaan cemburu. Itu yang dia suka.

Izhanie tak berani bertentang mata dengan Izhan. Dia telah terlepas cakap! Bodoh, kenapa aku tanya soalan ni? Izhanie menyumpah diri sendiri. Dia kesal. Kenapa aku sibuk nak tahu untuk siapa Izhan nak belikan tudung bawal? Lantaklah Izhan nak belikan untuk sesiapa pun. Itu bukan masalah aku.

"Rasa-rasa awak, untuk siapa?" Izhan sengaja membiarkan Izhanie berteka-teki. Dia juga mahu menguji sejauh mana perasaan Izhanie terhadapnya.

"Er... emak awak?" Izhanie meneka. "Awak nak hadiahkan tudung sempena hari jadi emak awak ye?" dia berharap sangat tekaannya tepat.

Izhan menggeleng. Tekaannya salah. Untuk adik diakah? Ah, tak mungkin! Izhanie masih ingat lagi, kata Izhan adik perempuannya masih di bangku sekolah rendah. Takkan kanak-kanak nak dihadiahkan tudung secantik ini, yang hanya sesuai dipakai oleh wanita dewasa.

"Er... mungkin untuk..." sukar dilafazkan perkataan tersebut. Entah mengapa, Izhanie jadi takut jika Izhan mengiakannya.

"Girlfriend saya? Itu yang awak maksudkan?" Izhan tersenyum. Dia sudah dapat menangkap kata-kata Izhanie.

Izhanie terkedu. Izhan seolah-olah dapat membaca apa yang bermain dalam mindanya. Dadanya berdebar-debar menantikan jawapan dari Izhan. Izhan hanya mengukir senyum seolah-olah mengiakannya. Izhanie terus jadi resah dengan reaksi Izhan. Dia sabar menanti pengakuan Izhan. Tapi... Izhan terus membisu. Memang sah! Izhan nak bagi tudung pada teman wanitanya!

Kenapa selama ini aku tak tahu yang dia sudah punya buah hati? Kenapa dia tak pernah bagitahu aku? Kenapa dia harus menyembunyikan status dirinya? Izhan mahu mempermainkan perasaan akukah? Izhanie terus keresahan sehingga fikirannya tak mampu berfikir perkara lain lagi.

"Cepatlah, tolong pilihkan yang paling cantik. Ingat tu, paling cantik!" Izhan mengejutkan Izhanie yang seolah-olah sedang berada di awang-awangan. Dari tadi dia asyik memerhati gerak-geri Izhanie. Izhanie tak bantu dia langsung untuk memilih tudung.

Izhanie pura-pura membelek tudung yang tergantung. Manalah dia tahu tudung yang manakah paling cantik. Dia bukannya wanita bertudung. Kalau suruh Sofea pilih, tentu kawannya itu arif tudung yang mana paling cantik. Entah mengapa tiba-tiba sahaja dia tiada mood untuk memilih. Hatinya rasa semacam saja. Sedih! Kecewa! Ya Allah, kenapa dengan aku ni? Ternyata kata-kata Izhan telah mengganggu fikirannya. Selama ini dia mati-mati menyangka Izhan masih single...

Dia memandang sekilas wajah Izhan. Leka betul lelaki itu memilih tudung. Memilih punyalah lama, mengalahkan mak cik-mak cik yang cerewet ketika membeli-belah. Siapakah girlfriend kau? Kenapa kau tak pernah kenalkan aku padanya? Student juga ke? Gadis tu menjadi girlfriend kau sebelum atau selepas kau mengenali aku?

Izhan menoleh ke arahnya. "Dah pilih?" Izhan senyum dalam hati. Dia yakin Izhanie memiliki perasaan yang sama terhadapnya. Mereka menyimpan perasaan antara satu sama lain, cuma enggan mengaku. Bukannya dia tidak pernah berkias tentang perasaannya, tetapi Izhanie yang pura-pura tak faham. Atau sengaja tak nak faham!

"Er... yang ini cantik." Izhanie menunjukkan sehelai tudung yang dihiasi manik-manik kecil warna hitam kepada Izhan. "Tapi, kalau awak tak berkenan, awak pilihlah yang lain." Pada pandangannya, tudung itu tidaklah secantik mana. Banyak lagi tudung lain yang nampak lebih menarik dan ceria. Entah mengapa, dia sengaja memilih tudung tersebut. Izhan punya pasallah! Mengejutkannya tiba-tiba. Kerana gabra, dia terus sahaja memilih tudung yang berada di depan mata.

Hanya PadamuWhere stories live. Discover now