BAB 6

16 0 0
                                                  


Izhanie terhenti melangkah sebaik sahaja terpandang susuk tubuh ibunya. Wanita itu tidak memaklumkan terlebih dahulu tentang kedatangannya. Bukan kegembiraan yang dirasakan Izhanie dengan kehadiran ibu sendiri tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Dia menyampah.

"Apa khabar Hanie?" lembut sekali bicara Puan Aisyah. Namun masih gagal untuk melembutkan hati anak kesayangannya yang keras. Wajah Izhanie masam mencuka, tanda protes akan kehadirannya.

"Baik." Balas Izhanie sepatah. Tiada senyuman terukir di bibir. Kerana peristiwa beberapa tahun lalu, perasaan kasih yang sememangnya sejengkal pada Puan Aisyah telah berubah menjadi kebencian sepenuhnya. Biar pun peristiwa tersebut telah hampir lima tahun berlalu, namun dia masih belum dapat melupakannya. Izhanie masih belum dapat memaafkan perbuatan Puan Aisyah yang benar-benar mengguriskan perasaannya.

"Hanie dah makan?" Puan Aisyah tetap bersabar dengan karenah anak perempuannya itu. Hanya Izhanie satu-satunya anak yang lahir dari rahimnya. Izhanie adalah permata hatinya. Itu disedarinya setelah bertemu dengan kekasih hatinya yang kini bergelar suaminya. Sebelum itu, dia sebagai seorang ibu tidak pernah mencurahkan kasih sayangnya pada Izhanie kerana dibelenggu peristiwa silam.

"Dah." Balas Izhanie tanpa memandang wajah Puan Aisyah. Dia berbohong. Perutnya masih belum beralas sejak pagi tadi. Untuk mengelak dari bersama Puan Aisyah, Izhanie sanggup buat apa sahaja. Dia tak suka dengan kehadiran ibunya. Hidupnya terasa lebih bahagia tanpa kehadiran wanita itu. Dia ingin hidup bebas.

"Temankan mama makan tengah hari, sayang." Puan Aisyah membelai rambut anak kesayangannya penuh mesra. Dia ingin buktikan kasih sayangnya pada Izhanie adalah ikhlas dan bukan satu paksaan. Puan Aisyah sedar, untuk membentuk semula Izhanie mungkin agak sukar, tetapi dia akan terus berusaha dan bersabar.

Izhanie menepis tangan Puan Aisyah. "Hanie sibuk." Tiada senyuman di bibirnya. Malah wajahnya terus masam mencuka. Izhanie tidak suka ibunya datang melawatnya tanpa memberitahu terlebih dulu. Dan dia juga tidak suka dibelai Puan Aisyah. Tak payahlah nak berlakon, mama. Waktu Hanie masih kecil, mana mama pernah membelai Hanie!

"Sekejap saja, sayang." Puan Aisyah merayu. Di restoran nanti tentu dia dapat berbual lebih panjang dengan Izhanie. Lagi pun dia mahu memberitahu sesuatu pada Izhanie. Sudah bertahun-tahun dia menyimpan rahsia tersebut. Hanya sekarang baru dia berani untuk menyatakan perkara yang sebenar.

"Cikgu Aziz kan ada. Suruhlah dia temankan." Biar pun hanya Puan Aisyah yang kelihatan, namun Izhanie menduga suami baru ibunya turut datang bersama. Mungkin sedang menanti di dalam kereta. Faham juga orang tua tu yang aku tak suka lihat muka dia!

"Mama nak berbual dengan Hanie. Dah lama kita tak berbual, kan?" Izhanie sehingga sekarang masih belum dapat menerima perkahwinannya dengan Cikgu Aziz. Keras betul hati anaknya itu. Puan Aisyah tidak pernah menjangka semua ini akan berlaku. Perkahwinan tersebut telah menambahkan kerengganan perhubungannya dengan anak sendiri.

"Berbuallah dengan Cikgu Aziz. Bukankah itu tujuan mama berkahwin dengannya, untuk mengisi kesepian di hati?" Izhanie melepaskan sindiran tajam. Dia masih ingat alasan yang diberikan oleh Puan Aisyah ketika membuat keputusan untuk berkahwin dengan Cikgu Aziz. Walaupun Izhanie berkeras membantah keputusan Puan Aisyah, tapi ibunya itu teruskan juga niatnya. Terasa dirinya disisihkan. Puan Aisyah langsung tidak ambil peduli akan perasaannya. Sejak dia kanak-kanak lagi, Puan Aisyah tak pernah mengambil tahu akan perasaannya. Balik sahaja dari tempat kerja, Puan Aisyah terus mengurung diri dalam bilik. Tak pernah Puan Aisyah bertanya sama ada dia ada masalah dalam pelajaran atau tidak.

Hanya PadamuWhere stories live. Discover now