Baru tadi teringat, dah muncul wajah menyakitkan hati ni. Dia terus berlalu ke belakang. Membancuh air. Sebaik saja dia keluar dengan air yang dipesan, Taqim masih memandang.

"Kalau nak makan, layan diri, ya?" ujar Sirat.

Tapi, tak sempat dia berlalu... suara Taqim kuat memanggil Kak Siti.

"Kak, kalau saya tak nak layan diri, nak dilayan... boleh ke?"

"Eh, boleh. Nak makan apa? Akak ambikkan..." pelawa Kak Siti tapi Taqim menggeleng dengan bibir yang terjuih pada Sirat yang berdiri tidak jauh daripada mereka.

"Biarlah pekerja akak ambikkan. Kakak tauke, dok relaks-relaks aje..." balas Taqim sambil mata terus merenung pada Sirat. Tajam!

"Hah, Sirat... cepat-cepat. Biar akak ambik order air orang lain..." Kak Siti berlalu dan Sirat juga rapat pada meja makanan.

Tak pernah-pernah lagi ada orang gila macam ni! Ini pertama kalinya. Dah dikata, makan tengah hari di sini layan diri, apa yang susah sangat nak fahamnya. Nak makan apa, nak ceduk sebanyak mana, silakan. Janji bayar.

"Membebel apa sorang-sorang?" soal Taqim separuh berbisik.

Sirat menjauh. Entah bila Taqim ada di belakang dia. Rasa nak aje dia tempek nasik panas ni ke wajah Taqim. Biar padan muka!

"Aku tak makan seafood..." ujar Taqim bila dia lihat Sirat nak letak seekor udang galah dalam pinggannya.

"Saya mana tahu awak tak makan apa? Sebab tu, kedai ni suruh layan diri. Nak makan apa, banyak mana... ikut suka. Nah!" Sirat tolak pinggan nasi itu ke dada Taqim.

"Ambik sendiri!" Sirat nak berlalu tapi Taqim lebih pantas melelar lengan gadis itu.

Sirat nak membentak, tapi melihatkan pandangan mata Taqim saat ini... dia tahankan hati. Taqim nampak kebulur. Air wajahnya tak menipu.

"Kau bubuh. Aku cakap apa aku nak..." pinta Taqim perlahan namun dengan suara yang menderam dalam halkum itu, benar-benar menghantar maksud apa yang dikata.

Pinggan bertukar tangan. Sirat diam menanti arahan dengan nafas yang beralun resah menahan geram dan marah. Haih... tak fikir ke mata Kak Siti yang galak memerhatikan dia dengan renungan amaran tu, dia memang tak layan dah lelaki gila ni.

"Aku nak telur goreng sambal tu..." Teringat akan cerita Wan dua hari sudah. Mereka hanya makan malam dengan lauk telur sambal.

"Kau masak ni, kan?"

Sirat tak menjawab. Memanglah dia masak. Tapi, malas nak mengaku. Nanti, Taqim tuduh dia letak racun pulak.

"Lagi, nak apa?"

"Itu aje..." Taqim capai pinggan daripada tangan Sirat dan terus berlalu ke tempat duduk di mana Fiqri sejak tadi memerhati sambil melahap makan tengah hari.

Sirat berlalu ke dapur. Air mata dia jatuh lagi. Rasa bagai tiada harga bila Taqim mengambil kesempatan begitu terhadap dia. Dia dah cukup letih, tahu tak! Sejak pagi lagi dia bertungkus-lumus seorang bila seorang lagi pekerja Kak Siti, tak datang.

Penat sangat! Allah ajelah yang tahu.

Kak Siti muncul tiba-tiba. "Customer tadi nak kau bungkus lauk untuk dia..."

"Kenapa dia tak ambik sendiri aje?" Bukan niat nak membantah, dia cuma tanya. Kan dia tengah ada kerja lain ni.

"Eh, manalah aku tahu. Dah, pergi cepat," arah Kak Siti tegas.

Tiada pilihan, Sirat keluar lagi. Memandang wajah Taqim, adalah sesuatu yang tak berdaya dia tahan. Dia tak mahu, kemarahan bertukar menjadi satu kebencian. Dia tak nak membenci.

Tapi, kenapa Taqim masih begitu berusaha mencetuskan rasa itu dalam hatinya?

"Hrmm... cepat sikit. Aku nak blah dah ni..." Taqim peluk tubuh. Memandang pada Sirat yang perlahan-lahan mendekatinya.

"Nak lauk apa?"

"Apa-apa ajelah..."

Sirat diam. Dicapai plastic dan baru nak disenduk udang galah, Taqim sekali lagi menahan.

"Eh, kan dah cakap tadi... aku tak makan seafood..."

Senduk lepas daripada tangan. Sirat toleh dan melangut pandangan pada Taqim.

"Habis tu, nak lauk apa? Tadi saya tanya, awak cakap apa-apa ajelah. Ini saya ambik apa-apa ajelah ni." Dia dah buat muka. Rasa nak menyumpah orang aje dah.

"Yang aku makan tadilah..."

"Sambal telur tu?"

"Dah itu yang aku makan tadi, itulah. Ada kau nampak aku ambik lauk lain? Ada?" Sengaja Taqim jegilkan matanya.

"Lagipun, kau cakap itu yang kau masak, kan?"

"Semua saya masak. Nak semua ke?"

"Why not. Bungkuslah serba sikit semua yang kau masak. Yang kau tak masak, aku tak nak..."

Mendengarkan kata-kata Taqim, mata Sirat terkebil-kebil sendiri. Apa masalah lelaki ni sebenarnya? Kot ya pun dia dan Wan salah, janganlah buat dia macam ni? Nanti satu dunia tahu apa masalah mereka berdua.

"Saya bagi sambal telur itu ajelah. Tak elok membazir. Membazir tu kawan syaitan. Jangan nak jadik kawan syaitan!" perli Sirat. Terus dia cedok lauk itu ke dalam plastic.

"Nasi nak tak?"

"Kau masak?"

"Kan dah cakap, semua saya masak!" Hampir saja Sirat hentak senduk atas meja.

"Bolehlah kalau kau masak..."

Haih... orang gila ni macam jenis rupanya. Ini pun sejenis gila jugak ni! Lepas tu, tak nak lauk lain. Kenapa sambal telur jugak dipilihnya?

"Kalau aku masuk hospital sebab makan telur sambal kau ni, kau kena bertanggungjawab, Siratul!" Ugut Mustaqim berbisik bila plastic itu bertukar tangan.

Sirat kerut kening. Mengetap bibir. Dah kau risau sangat, buat apa kau ambik?! Nak aje dia muntahkan soalan itu pada Mustaqim.

"Habis kerja pukul berapa?" Angin Taqim tiba-tiba berubah arah.

"Hah?" Terkejut juga Sirat mendengar soalan itu.

"Pekak? Tak dengar soalan?" sinis Taqim, tajam.

"Hari ni, tengah malam. Sebab tak ada orang..."

"Eh, kau ni daripada siang sampai tengah malam. Dah jadi kuli batak ke apa?"

"Ya, memang saya kuli batak. Sebab nak bayar ganti rugi dekat orang. Saya akan buat apa saja supaya saya tak berhutang dengan orang tu biarpun satu sen!" jawab Sirat. Tak dapat lagi nak sembunyikan rasa marah.

Senyuman sinis Taqim lebar. "Kalau gitu, aku tunggu kau habis kerja malam nanti. Kau jangan lari pulak. Aku nak duit aku sebab aku dah hantar motor aku masuk bengkel. Kalau aku datang, kau lari... aku akan report kau dan adik kau... langgar lari aku!" Kata-kata Taqim kali ini, jelas bernada ugutan.

Sirat gamam.

Hanya mampu menghantar Taqim berlalu pergi bersama renungan tajam dan bila lelaki itu menoleh dengan kening yang sengaja dijungkitkan sebelah, Sirat tahu... Taqim memang hebat dalam hal menyakitkan hati! 

TAK SEMPURNA MENCINTAIMUWhere stories live. Discover now