Bab 6

2.2K 18 0
                                    

PAGI itu selepas memastikan bapanya sudah bersarapan, Aliah dan Azim ke pasar tani. Anis dan Asrul disuruh menunggu datuk mereka di rumah. Aliah sebenarnya tak mahu menyusahkan along lagi.

Meskipun along sendiri yang menawar diri tapi kesian juga Aliah dekat along yang terpaksa datang setiap minggu untuk belikan barangan dapur. Jarak rumah along tak sampai pun 15 kilometer jauhnya tapi Aliah sedar motor along bukannya diisi dengan air. Aliah faham, along pun bukannya orang senang. Jadi, Aliah tak mahu terus-terusan menyusahkan abangnya itu.

Sebenarnya keperluan barangan basahan harian ada dijual di kedai runcit dalam kampung mereka cuma tak banyak pilihan macam di pasar tani. Di kedai runcit itu pun ada menjual gas sekali. Kalau kehabisan gas, boleh pesan saja melalui telefon. Nanti pekerja Ayub akan datang hantar ke rumah.

"Besar juga pasar tani kat sini, kan Azim?" Aliah sedikit teruja. Kata along, pasar tani itu baru dua tahun dibuka. Dulu kampung mereka cuma ada pasar pagi tapi taklah besar mana.

"Mama! Nak beli air." Azim berkata.

"Baru sampai dah nak air." Kalau bawa budak, macam itulah. Asal ke kedai mesti nak air.

"Hauslah, mama! Penat jalan kaki." Azim memberi alasan walhal masa di Kuala Lumpur dulu pun macam itu juga walaupun pergi kedai naik kereta. Kalau beli air, mesti Azim beli tiga. Kadang-kadang dia beli empat, untuk mamanya sekali.

"Kita pergi beli barang-barang dulu. Nak balik nanti baru singgah beli air, okey?"

"Okey." Mujurlah Azim sedia bertoleransi.

"Jom, mama nak beli sayur." Aliah memimpin tangan Azim lalu membawa anaknya itu ke gerai sayur-sayuran.

"Sayur, kak. Tiga longgok lima ringgit." Peniaga di situ menyapa pelanggan dengan ramah.

Mendengarkan harga yang begitu murah, Aliah menyinggah. Laju iris matanya melirik ke arah sayur-sayur yang sudah siap diletakkan ke dalam beberapa buah bakul kecil. Bendi, kobis dan cili padi dipilih. Bendi itu nanti dia akan rebus saja. Kobis pula boleh buat masak tumis kicap. Dijadikan perencah nasi goreng atau bihun goreng pun boleh. Selesai membayar, Aliah dan Azim berganjak ke gerai yang lain pula.

"KAKAK! Tengok tok tu nak pergi bilik air." Asrul memberi laporan kepada kakaknya yang sedang menonton televisyen di ruang tamu. Anis bergegas mendapatkan datuk mereka.

"Nak pergi mana tu?" Anis bertanya garang.

"Nak pergi ambil wuduk," jawab Pak Osman.

"Nak solat apa?" Masih lagi tegas nada suara Anis.

"Maghriblah! Dah nak habis waktu. Kenapa mama tak kejutkan tok?"

"Mama tak ada. Mama pergi pasar tani."

"Nak cari apa pergi pasar tani malam-malam? Tak tahu bahaya?" Langsung ketawa Asrul apabila datuknya mengatakan hari sudah malam, walhal di luar terang-benderang.

Anis menuding jari telunjuk ke arah tingkap yang terbuka luas.

"Cuba tengok kat luar tu!"

"Kenapa nak tengok kat luar?" tanya Pak Osman.

"Tengoklah terang ke gelap?"

"Terang. Tu! Nampak pokok hijau."

"Kalau terang, maknanya malam ke siang?" Anis menyoal lagi.

"Sianglah! Bukan tok tak tahu." Dengan bangga Pak Osman menjawab.

"Haaa! Tahu pun siang. Ada orang solat maghrib siang-siang? Ada?" Anis melepas geram. Terdiam Pak Osman seketika. Terkebil-kebil matanya memandang langit nan cerah.

PATAH SAYAP BERTONGKAT PARUH (BONUS CERPEN MALAM INI AKU MENANGIS)Where stories live. Discover now