BAB 1

3.8K 36 0

PROLOG

'SYURGA seorang isteri adalah pada suaminya.' Jika dulu, ayat inilah yang sering aku junjung di pundak. Melatih diriku agar sentiasa taat dan setia kepada sang suami. Seluruh kepercayaan aku serahkan kepada lelaki yang menjadi imamku itu.

Dan setiap perkara yang aku lakukan, sudah tentunya dengan redanya. Aku takut andai terusik emosinya, terjentik kemarahannya, reda itu menghilang, lalu aku juga kehilangan reda Ilahi. Meskipun sesekali aku terluka dengan sikapnya, aku pendam dan beralah. Padaku, cinta dan kasih sayang jauh lebih penting dari rajuk dan keegoanku.

Mungkin itulah jua kesilapanku. Terlalu asyik pada kalam cinta agung dari mulut seorang suami. Kepercayaan yang aku beri akhirnya dikhianati. Sehingga kini aku masih mencari apakah kekurangan dan kelemahanku sehingga Hisyam tegar menduakan aku? Lebih perit lagi, Sarah mendominasi sehingga aku terpinggir.

Percayalah, telah aku cuba bertahan dalam badai menggila. Diam tak berkutik saat diri ini diperkotak-katik. Namun semua itu langsung tidak dihargai. Malah lagi aku senyap, lagi mereka berani memijak seolah-olah aku ini tidak punya perasaan.

Tidak cukupkah segala pengorbanan yang aku curah selama ini sehingga Hisyam berubah hati? Atau mungkinkah kerana aku tidak lagi cantik dan menarik seperti dulu?

Soalan demi persoalan terawang-awang dalam benak namun tak kutemui jawapannya. Semakin aku memikir semakin dalam dan pedih gurisan luka dalam jiwa. Berkali-kali aku memupuk sabar, namun aku kecundang jua. Sesungguhnya aku benar-benar tak mampu.

"Kalau Aliah melangkah keluar dari rumah ni, gugur talak!"

Mungkin kata-kata itu dilafaz sebagai ugutan agar aku terus patuh kepadanya. Mungkin Hisyam menganggap aku wanita lemah yang hanya menurut kata. Tapi tekadku sudah bulat. Aku tidak rela berterusan menjadi bahan lelucon. Aku bukan patung bernyawa tapi tak punya jiwa.

Jika setakat ini sahaja jodohku bersama Hisyam, aku akur. Syurga yang aku dambakan mungkin bukan lagi pada dia yang bergelar suami. Lantaran itu, biarkan aku pergi mencari kebahagiaanku sendiri...

BAB 1

HURM... Bagilah seribu dalil sekalipun... Hujung-hujung dalil sunnah Nabi juga yang diambil pakai... Aliah mengeluh sendirian.

Aliah sebenarnya sudah bosan dengan alasan klise yang sering digunakan oleh para suami yang mahu berpoligami. Kalau terkantoi dah kahwin dekat Siam pula, mereka bagi jawapan sudah jodoh ataupun sudah takdir.

Nafasnya kemudian dihela. Aliah sedar lelaki nafsunya walaupun satu tapi besar. Kalau gagal dikawal, memang kerja mengatur kepala binilah mereka. Namun apa yang Aliah tidak faham ialah kenapa ada perempuan yang sanggup melukakan hati perempuan yang lain? Macamlah tak ada lelaki lain dalam dunia ni, laki orang juga yang dia mahu.

Lebih Aliah tak faham malah boleh sasau dibuatnya kalau terus difikirkan juga ialah perempuan itu pernah diceraikan suami kerana pihak ketiga tapi dia masih tega merampas suami orang. Manakah perginya belas kasihan perempuan seperti ini? Dan paling tak tahan, untuk nampak suci, dia gunakan alasan menumpang kasih. Tak pun sekadar extend masjid katanya. Mulia gitu...

Ya Allah! Mohon aku dijauhkan dari sifat-sifat terkeji... Doa dipanjatkan dalam hati.

"Tok nak buka Pampers, mama!" Suara anak bongsunya itu datang mengadu, membuatkan monolog Aliah terhenti. Aliah segera menoleh.

"Tok memang!" Sudah faham benar Aliah dengan kerenah bapanya itu. Kalau lampin pakai buang yang dipakainya itu dibuka, bermakna dia hendak pergi mengambil wuduk. Sebenarnya baru pukul 11 pagi. Waktu zohor lambat lagi. Bapanya itu pantang terjaga dari tidur, mesti dia nak pergi solat.

PATAH SAYAP BERTONGKAT PARUH (BONUS CERPEN MALAM INI AKU MENANGIS)Read this story for FREE!