Bab 1

3.5K 117 42

"AWAK ingat saya ni apa? Tunggul kayu? Asyik nak faham awak je. Asyik nak ikut angin awak je. Saya diam selama ni sebab hormat awak sebagai suami saya. Tapi akhirnya apa saya dapat? Awak pijak-pijak maruah dan harga diri saya!"

Tergamam Zaidi mendengar bentakan daripada Islah. Tak pernah diduganya Islah selembut-lembut wanita yang dikenali selama ni boleh berubah menjadi tak ubah seperti singa kelaparan.

Melihat wajah Islah yang merah padam, sudah cukup mengambarkan betapa berapinya kemarahan Islah ketika itu.

Zaidi meraup wajahnya. Langsung tidak berkata. Itu jalan terbaik bagi mereka saat itu. Zaidi tidak mahu keruhkan lagi keadaan. Silapnya juga berkata ikut sedap mulut je. Inilah bahana yang harus diterimanya. Tak disangkanya Islah boleh mengamuk sampai tahap macam ni sekali.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah tadi, Zaidi terkedu melihat keadaan rumah yang suram. Tak pernah sekalipun kepulangannya disambut dengan suasana yang suram selama ini, tak kira seteruk macam mana sekalipun mereka bergaduh.

Sepanjang usia perkahwinan mereka, belum pernah sekali pun mereka bergaduh mulut. Inilah istimewanya Islah bagi Zaidi. Walau marah macam mana pun, tak pernah sesekali Islah meninggi suara padanya.

Setiap kali bertekak dan berselisih faham, mereka akan bertekak melalui aplikasi Whatsapp atau masing-masing akan mengambil langkah mendiamkan diri. Tetapi seringkali Islah yang akan mengalah dan memohon maaf walau ternyata bukan salahnya.

Awak memang ada niat nak tinggalkan saya, kan? Sebab saya ni menyusahkan awak. Awak pun dah ada jantan lain, kan?

Itulah mesej terakhir yang dikirimnya kepada Islah. Zaidi yakin kata-katanya itu yang buat Islah naik hantu kerana selepas mesej tersebut, tiada langsung mesej yang diterimanya dari Islah. Sepanjang tiga tahun usia perkahwinan mereka, kata-kata itulah sering kali diucapkannya pada Islah.

"Kalau saya ni tak sayang awak, dah lama saya pergi dari hidup awak. Buat apa saya nak telan semua kesakitan ni. Awak ikut sedap mulut je mengata saya macam-macam. Seolah-olah saya ni tak ada maruah! Dalam saya jaga hati awak, hormat awak sebagai suami, awak pijak-pijak je maruah saya ni." Islah tarik nafas dalam.

"Selama ni awak susah, ada ke saya nak tinggalkan awak? Orang selalu cakap, isteri diuji saat suami susah. Tapi suami diuji saat suami senang! Awak lupa apa yang awak buat?! Selama awak susah, ada ke saya tinggalkan awak? Ada ke?!" Suara Islah sedikit meninggi.

Tersentak Zaidi mendengar intonasi yang keluar dari mulut Islah. Sungguh intonasi begitu tak pernah keluar sepanjang mereka bercinta apatah lagi berumah tangga.

Sikap Zaidi yang tak pernah sedar akan kesalahannya sendiri seringkali buat Islah makan hati. Puas dah Islah mengalah, namun Zaidi tetap juga tidak sedar. Walau dah berkali-kali cuba untuk berbincang, pasti pengakhirannya mereka akan bertekak dan Zaidi akan menghamburkan kata-kata yang sama berulang kali sepanjang usia perkahwinan mereka.

Kini kesabaran Islah makin tercabar. Lava kemarahan yang dipendam selama ini mula membuak-buak untuk dimuntahkan. Bukan dia tidak menghormati suaminya. Meskipun dia bukanlah seorang wanita dan muslimah yang baik, dia tetap meletakkan rasa hormat yang tinggi buat suaminya selama ini. Pesan ayahnya tak pernah sekali pun dilupakan.

Zaidi hanya mendiamkan diri mendengar setiap kemarahan yang terluah dari mulut Islah. Biarlah Islah melepaskan segalanya jika itu yang mampu melegakan hatinya. Zaidi tidak betah melihat Islah dalam keadaan begitu. Hatinya jadi tak keruan.

Melihat Islah yang mula mengalirkan air mata, Zaidi segera menghampiri Islah. Tangan Islah diraih lembut, namun tangan itu direntap kasar oleh Islah. Zaidi tergaman. Bukan itu reaksi yang sering diberikan oleh Islah. Selalunya Islah pasti akan memeluk dan menangis semahu-mahunya di bahu Zaidi.

"Malam ni saya akan keluar dari rumah ni. Saya minta ampun kerana gagal menjadi isteri yang baik buat awak selama ni. Saya dah letih dengan semua kata-kata hinaan yang awak lemparkan pada saya selama ni. Kasih sayang dan cinta saya, awak balas dengan keraguan. Jadi tak ada guna lagi saya di sisi awak. Mungkin nilah jalan terbaik." Islah tunduk. Cuba menahan rasa sebak dihatinya.

"Biarlah apa pun awak nak fikir sebab itulah yang awak sering fikirkan selama ini. Awak buatlah keputusan. Cari balik mana salah dan silap awak. Saya tak kata saya ni baik. Tak kata yang saya ni tak ada buat salah. Tapi sepanjang kita bersama dari hari pertama kita kenal sehingga hari ni, saya tak pernah minta apa-apa pun daripada awak. Kali ni, izinkan saya pergi."

Sayu sekali Islah meluahkan isi hatinya. Tangan suaminya diraih dan dikucup sebelum dia berlalu keluar meninggalkan Zaidi yang kehilangan kata-kata. Tak di sangkanya Islah boleh buat keputusan drastik seperti itu. Zaidi terduduk lesu. Terasa gelap dunianya. Sunyi sepi. Sesepi rumahnya ketika itu. kedengaran bunyi enjin kereta berlalu pergi meninggalkan perkarangan rumah mereka.

Zaidi segera mencapai telefon bimbitnya untuk menghubungi Islah. Berkali-kali didailnya nombor Islah, namun tiada satu pun yang berjawab. Sekali lagi Zaidi terduduk, dihempas telefon bimbitnya ke lantai. Retak sedikit skrin telefonnya.

Maafkan abang. Baliklah sayang. Jangan tinggalkan abang. Abang sentiasa perlukan sayang. Abang tak nak kehilangan sayang. Semua yang berlaku ni salah abang. Bukan salah sayang.
~Zaidi

Tak pernah sekalipun dia mengakui kesalahannya dan mengucapkan kata maaf pada Islah. Bila Islah dah pergi meninggalkannya, barulah dia terasa betapa dia tak menghargai Islah selama ini. Semangatnya telah terbang pergi entah ke mana. Islah juga tidak pernah bertindak begini.

Kenapa saya perlu balik? Awak jangan lupa yang saya ni ada jantan lain! Lebih baik awak lepaskan saya. Jangan jadi dayus simpan isteri yang curang!
~Islah

Sungguh Zaidi terpukul saat membaca mesej yang dibalas oleh Islah. Kata ganti saya dan awak hanya digunakan ketika mereka bertekak. Selalunya tak berpanjangan. Tiap kali pulang dari kerja, pasti Islah akan menyediakan makan minumnya walau tidak ditemani senyuman dibibirnya.

'Alah... tak lama rajuknya tu. Nanti dia baliklah tu. Lagi pun dia keluar rumah sehelai sepinggang je.' Zaidi memujuk hatinya sendiri.

Digagahkan dirinya bangun masuk ke dalam bilik. Dicapai tuala lantas terus ke bilik air untuk membersihkan diri. Usai membersihkan diri, pintu almari dibukanya. Alangkah terkejut Zaidi apabila melihat beberapa ruang dalam almari tersebut kosong. Sekali lagi dia terduduk.

Islah benar-benar pergi meninggalkannya. Tak ada sehelai pun pakaian Islah yang tinggal. Dibukanya laci almari solek, kosong. Zaidi benar-benar terduduk.

Kerana kelancangan mulutnya Islah pergi. Kerana sikap tak reti menghargai dan bersyukurnya dia kerana memiliki Islah sebagai isterinya, Islah pergi.

Aku yang Kau Lukai (Complete) - [Editing]Where stories live. Discover now