MULANYA bunyi yang membingitkan telinga itu terdengar sangat jauh. Lama-kelamaan bunyi yang menjengkelkan itu seperti berada di sebelah telinga Margina saja. Ini menyebabkan Margina bangun, lalu melangkah menghampiri pintu pagar. Urusan mahu mengambil tiga batang serai ditangguhkan dahulu.
Sorotan Margina melekat pada objek yang mengeluarkan bunyi teruk tadi. Atas bawah pandangan Margina, lebih kepada tidak percaya.
Okey, objek yang menghasilkan bunyi teruk itu dari motor kapcai. Kondisinya buruk. Penunggangnya pakai helmet buruk. Selipar buruk. Baju buruk. Oh lupa, bunyi motor kapcai buruk itu macam kentut.
Sekarang penunggang motor kapcai serba buruk tersebut sudah mematikan enjin, lalu turun dari motor kapcainya. Yang jelas penunggang motor kapcai serba buruk itu lelaki. Orangnya tinggi. Margina sendiri kalau berdiri sebelah penunggang serba buruk ni, pasti cuma separas bahu atau atas sedikit.
"Assalamualaikum."
Suara dia tidak buruk, tidak juga macam kentut. Suaranya sedap didengar, jauh menyentuh relung hati seorang hawa bernama Margina.
"Kalau tak jawab salam, on the spot malaikat Atid tulis satu dosa untuk Cik Mar-Gi-Na," ujar penunggang motor kapcai buruk itu sembari helmet di atas kepalanya ditanggalkan.
Penunggang motor kapcai buruk ini sebut nama Margina tersekat-sekat, seperti budak tadika mengeja.
"Cik Mar-Gi-Na Kassim Baba," panggil penunggang motor kapcai buruk itu sekali lagi. Tangannya diawang-awangkan di depan Margina.
Kassim Baba? Penunggang motor kapcai ni sebut Kassim Baba? Kalau beginilah keadaannya, ada gunung berapi sedang meletus! Meletus betul-betul dalam hati Margina.
Namun itulah, letusan gunung berapi dalam hati Margina tiba-tiba saja padam setelah disimbah nur dari wajah penunggang motor kapcai buruk tersebut. Margina lupa terus pada nama Kassim Baba.
Subhanallah, Margina sedang terpesona melihat karya agung Tuhan yang berdiri di depan matanya sekarang. Segalanya nampak sempurna. Kening, mata, bentuk hidung dan bibir penunggang motor kapcai buruk itu terletak dengan cantik. Malah, rahangnya juga elok terbentuk. Jangan salahkan Margina kalau tahap terkesima Margina seperti Zulaikha yang terpesona pada Nabi Yusuf.
"You okey?"
Ringkas soalan penunggang motor kapcai buruk tersebut. Tangannya tidak lagi diawang-awangkan, sebaliknya dia mendekatkan sedikit wajahnya. Tubuhnya juga direndahkan, biar wajahnya sama paras dengan wajah Margina.
Terkebil-kebil mata Margina. Dan penunggang motor kapcai buruk itu ikut terkebil-kebil. Mungkin sengaja meniru apa yang Margina buat.
"Cik Mar-Gi-Na belum jawab salam I lagi."
"Waalaikumussalam."
"Alhamdulillah. Setelah menunggu dua minit dan sepuluh saat, akhirnya salam I berjawab," luah penunggang motor kapcai buruk tersebut.
Margina menjeling. Tidak mungkinlah sampai dua minit lebih Margina terpegun dan terkesima tadi.
"Ini untuk Cik Mar-Gi-Na."
Beg plastik merah yang berisi bekas makanan itu Margina lihat sepintas lalu. Sorotan Margina lebih tertumpu pada jari tangan penunggang motor kapcai buruk tersebut. Hitam dan kotor macam tangan mekanik yang baru selesai membaiki kenderaan.
"Ambillah."
"Apa tu?"
"Kuih batang buruk."
Perkataan 'buruk' lagi? Nampaknya penunggang motor kapcai ini memang mesra dengan perkataan buruk.

ANDA SEDANG MEMBACA
E-Book CIK MAR.GI.NA | Best Seller
RomanceTerbitan: Rumah Pena Kayu Isbn: 978-967-14386-0-2 Harga: Rm28.00 (Sm/Ss) Status: Ready Stock (Limited) Blurb/ Sinopsis: Cik Mar.Gi.Na Kassim Baba! Tak suka la Margina bila dipanggil dengan nama tersebut. Har anak Pak Ngah ingat, ini cerita filem...