"Alhamdulillah..." Delisha mencapai baju mahu memakainya. Sebelum itu dibeleknya terlebih dahulu, sampai puas hati.

"Sekarang, kau kemas alat solek aku. Kejap lagi aku nak guna..." Delisha mengambil baju tersebut dan masuk ke bilik persalinan. Elok saja siap berpakaian, dia keluar dan terkejut melihat semuanya kemas seperti sediakala. Cepatnya dia ni buat kerja. Manusia ke robot? Tapi kang tak siap, aku maki dia lembab pula.

Delisha mula bersolek manakala Sunarti menanti arahan.

"Cantik tak aku?"

"Cantik sangat, kayak bidadari."

Kan bagus kalau cantiknya seiring tingkahnya. Sayangnya.

Sempurna bersolek, Delisha memilih handbag Chanel dan sepasang kasut Hermes. Kemudian, dia memanggil Sunarti.

"Aku nak kau pergi cover nenda, jangan sampai dia nampak aku keluar. Faham?" Delisha beri arahan. Biar nenda tahu kemudian, asalkan jangan tahu sekarang.

"Gimana non?" Lagi disuruh buat kerja yang bukan-bukan. Bingung Sunarti.

"Pandai-pandai kaulah. Kau buatlah, ajak bersembang ke apa ke? Ya? Cepatlah, boyfriend aku dah sampai." Faiq sudah menunggu di luar pagar. Nak masuk menjemput, tak pasal-pasal kena sembur dengan nenda.

"Baik non, saya cuba." Terpaksa bersubahat pula dalam hal ini. Sunarti mengeluh.

"Bagus, nanti aku belikan kau sesuatu, okey?" Delisha memberi habuannya. Sunarti mengangguk, lemah.

"Bibik, Isha tak turun makan ke? Dia buat apa? Tidur?" Takkan 'kelawar' tu tahu pula tidur malam-malam ni. Jangan-jangan keluar tak? Bukan dia dah bagi nasihat berbakul-bakul ke semalam, takkan tak ada rasa insaf kut?

"Non Isha keluar." Sunarti menunduk. Janganlah dia disoal siasat kerana dia yang tukang cover line tadi.

Nenda Rosnah menggeleng. Dah agak. Cucunya yang satu tu, kalau tak susahkan hati dia memang tak sah. Perangai macam budak-budak.

"Bila dia keluar?"

"Petang tadi, buk..." Nenda Rosnah berdecit. Licik, langsung dia tak tahu. Daud dan Dalina selamba saja menjamu selera bagaikan tiada masalah.

"Kau orang laki bini ni tak ambil kesah langsung kan pasal Isha? Dahlah keluar malam, pergi ke mana, dengan siapa, buat apa, balik bila? Ada kamu ambil tahu?"

Daud dan Dalina perasan sejak akhir-akhir ini Nenda Rosnah selalu saja bising pasal Delisha. Buang tabiat apa pula dikongkongnya cucu, padahal sebelum ni dilepaskan saja bagai burung di udara.

Daud tahu, Nenda Rosnah dah banyak berubah sejak menyertai kelas-kelas agama dan badan kebajikan. Tapi, Delisha kan masih muda. Takkan nak sekat kebebasan Delisha pula?

"Mak ni risaukan Isha macamlah Isha tu baru darjah 1. Dia dah bagi tahu saya tadi, dia keluar dengan Faiq. Bukan dengan orang lain."

Mereka sedia maklum yang anaknya itu bercinta dengan Faiq dan tak menghalang hubungan mereka.

"Budak Faiq tu? Huh, Mak tak berkenan dengan budak tu. Dia tak sesuailah untuk Isha. Mak nak Isha berhenti jumpa Faiq tu. Mak tak berkenan."

Dia rasa dia perlu selamatkan Delisha dari lelaki seperti Faiq.

"Mak, Faiq tu bukannya orang lain. Saudara mak juga, kan? Tak payahlah buruk sangka. Faiq tu okey aje saya tengok. Lagipun mereka bercinta dah bertahun, kan? Takkan nak putuskan pula, Isha nak ke?" Daud menyampuk. Memanglah saudara, tapi saudara jauh. Arwah nenek Si Faiq ni, sepupu Nenda Rosnah.

"Faiq tu main-main aje dengan Isha. Dia tak serius pun. Kalau dah kaki pub, kaki disko, kaki enjoy, apa yang baiknya budak tu? Kamu tak tahu ke budak Faiq tu dah berapa kali mak bapak dia pergi balai polis jamin dia sebab lumba haram? Langgar orang pun pernah. Hampir nak masuk penjara tau? Kes gaduh pun pernah juga. Itu yang mak tahu, yang mak tak tahu? Mak takut, kalau dibiarkan hubungan mereka, rosak teruk Isha, makin jahanam masa depan dia..." Biar dijelaskan agar semua mengerti.

"Mak, pasal hidup Isha. Biar dia tentukan, biar dia pilih siapa yang dia mahu. Daud kenal anak Daud tu, Daud yakin dia takkan buat perkara yang bukan-bukan," balas Daud yakin.

"Daud, sebagai ayah kamu yang kena tanggung dosa anak dara kamu tu. Sebagai wali, kamu harus pilih calon suami yang mampu bimbing Isha ke jalan agama. Jangan sampai kena jawab dalam kubur nanti kalau kamu pandang remeh perkara ni." Daud dan Dalina bertukar pandang. Susah betul nak menang kalau cakap dengan Nenda Rosnah.

Dalina mencelah.

"Mak, mak tu sejak dah belajar agama ni, asyik menasihatkan orang aje. Janganlah macam tu mak, nanti Isha bosan lagi dia tak lekat kat rumah."

Kalau nak insaf pun, janganlah usik kehidupan orang lain. Rimas.

Nenda Rosnah menghela nafas. Ya dia tahu, bukan mudah membetulkan yang biasa dan biasakan yang betul. Tapi, dia juga tak boleh duduk diam.

"Kita nampak kemungkaran depan mata, patut kita tegur." Nenda Rosnah begitu, kalau bicara mahu menang saja.

"Mak. Mak tahu kan Daud dah cukup sakit kepala fikirkan pasal business Daud ni. Baik kita bincang pasal hal ni daripada bincang pasal Isha. Daud harap sangat mak dapat tolong Daud ni." Daud susah hati memikirkan perniagaannya yang kian merudum.

"Kamu nak mak tolong kamu, tapi nasihat mak sikit pun kamu tak dengar. Mak suruh kamu perbetulkan Delisha tu dulu, sebab dia salah satu punca business kamu jatuh. Dia dah dewasa, ni masanya dia pikul tanggungjawab bukan hanya tahu minta duit. Suruh dia kerja, bantu kamu."

"Mak, nak tegur macam mana kalau Isha pun tak ready lagi nak kerja? Nanti sampai masanya, dia rasa nak kerja, dia akan kerjalah, mak. Isha pun bukannya jenis suka dipaksa."

"Dah susah sangat nak tegur, jangan babitkan mak dalam masalah kamu. Mak bosan! By the way, kereta Porsche yang Daud baru belikan pada Isha tu, mak tak akan bayarkan bil bulanan! Kamu bayar sendiri."

Nenda Rosnah sudah mati selera. Dia meninggalkan anak menantunya yang keresahan memikirkan hutang.  

HALALKAN HATI YANG KUCURIRead this story for FREE!