BAB 14

7K 79 1

JAMBAK bunga lily yang cantik itu dipandang. Biarkan saja ia terdampar di situ. Tahu, bukan murah benda alah tu. Rugi jika tak dihargai. Tapi nak diapa kan, Naira sendiri tak boleh fikir maksud kiriman bunga tersebut. Untuk orang sakit? Supaya hati gembira dan doa cepat sembuh? Tanda mohon maaf atas perbuatan dia yang gila-gila tak masuk akal tu? Atau bunga pengganti diri sebagai tanda ucapan selamat tinggal? Sayonara...

Bunga dikerling sekali lagi. Tiga kuntum lily, diselangi dengan bunga-bunga kecil. Tiga kuntum? I love you? Isy... Tak masuk akal!

Mamat hantu tu memang selalu merepek, bakal isteri, girlfriend, dating bagai... Tapi Naira tak pernah ambil serius. Dah nama pun hantu, kenapa harus percaya dan tanamkan perasaan?

Tak kuasa terus layan perasaannya yang semakin merewang, Naira bangun dan tanggalkan semula jubah longgarnya. Belumpun seminit dia sangkut baju, pintu biliknya diketuk semula. Geram dia memandang pintu. Kali ini dia jenguk dulu di cermin kecil tu. Kalau perlu buka, dia buka, jika tak perlu dia jerit aje suruh stafnya pergi. Bukan tak ada telefon untuk bertanya. Sibuk sangat nak ke bilik kenapa?

Namun alangkah terkejutnya Naira, bila melihat wajah di luar billiknya. Langsung pintu dibuka tanpa menunggu sesaat pun. Tubuh Naira pantas dipeluk oleh tetamunya. Naira cuba mengelak. Tak selesa.

"Aku belum mandi, beb..." akui Naira perlahan, antara dengar dan tak dengar.

Si tetamu tak peduli, dia tetap tarik Naira ke dalam dakapannya. Erat. Belakang Naira diurut-urut. Mengalirkan rasa kasih dan sayangnya melalui sentuhan lembut. Harapannya biar hati Naira terpujuk.

"Dah la tu, beb... Aku rimas la. Aku busuk!"

"Mengaku pun. Selalunya hang tu ego! Bajet bagus semedang..."

"Heh... Kalau hang mai nak kutuk aku... Hang balik la... Tak larat aku dengaq..." leter Naira sambil baring di atas katil. Bila ada orang tersayang datang, badannya mulalah nak manja-manja, baru terasa sakit sana sini. Tadi, masa dengan Sarah macam sihat wal afiat aje dia.

Maryam gelak. Dia belek muka dan badan sahabatnya.

"Hang okey ke, beb? Sakit lagi ke?"

Maryam labuhkan punggung ke birai katil. Dia pegang pipi Naira untuk lihat segala kecederaan di muka kawannya. Teruk juga. Lebih teruk dari yang pernah dia tengok dalam kejadian sebelum-sebelum ini.

"Alaaa... Biasalah, Yam. Hang bukan tak biasa..."

"Sampai bila, Naira? Sampai bila hang nak jadi bahan dia?" Jelas riak wajah Maryam yang kesal.

Naira pandang mata sahabat kesayangannya. Tarik nafas panjang, lalu dilepas kasar.

"Entahlah, Yam... Aku pun selalu tanya juga, sampai bila aku nak hidup macam ni? Aku selalu berangan untuk hidup aman... Tapi aku tak tahu apa harus aku buat..."

"Repot saja pada polis. Biar dia jalani hukuman dan pemulihan. Mungkin itu jalan terbaik untuk dia."

Sebenarnya dah berbuih mulut Maryam menasihati yang ini. Bukan pertama kali, dah tak terhitung banyaknya. Boleh kata setiap kali dia orang jumpa dan bila masalah Mirza manjadi topik bual.

"Hang dah tahu jawapan aku kan, Yam. Umi aku..."

Maryam angguk. Tak payah tunggu jawapan pun dia dah tahu. Itu sajalah alasan Naira. Umi Zulaiha yang tak kasi. Dia tak sanggup lihat satu-satu anak lelakinya masuk penjara atau terperap dalam rumah pemulihan.

"Nak fahamkan umi aku tu susah. Puas dah aku usaha... Kadang-kadang rasa nak buat aje tindakan sendiri tanpa pengetahuan dia. Tapi hang tahulah umi tu, beb... Sensitif, mudah terasa hati. Aku tak sanggup tengok dia bersedih. Dengan keadaan dia yang macam tu lagilah..."

LELAKI KIRIMAN TUHANRead this story for FREE!