BAB 13

6.7K 68 0

MATAHARI sudah terpacak di langit. Naira masih terkebil-kebil mata, baring di atas katil. Terasa nikmat pula dapat tidur selepas membuat rayuan pada mamat hantu semalam. Sebelum tidur, dia makan ubat tahan sakit kerana sudah tak dapat menanggung denyutan. Syukur, sangat membantu tidur malamnya. Jarang dia mendapat tidur sebaik itu. Nasib baik tengah datang bulan. Jika tak, mahu sembahyang subuhnya lebuh.

Naira bangun dan duduk. Dia menggeliat, membetulkan urat-urat belakangnya. Huh... Masih terasa sengal-sengal badannya. Itulah, sebelum tu berlagak sangat dengan umi, kata dia ada tali pinggang hitam tekwando, pandai buah-buah silat bagai. Kononnya boleh jaga diri sendiri. Sekali kena pelabuh dengan abang yang tengah gian, bengkak lebam sana sini. Pengajaran, lain kali cakap tu jangan berlagak sangat! Mulut tu nak kena jaga sebelum ia dibengkak dan dilebamkan.

Terbayang kembali apa yang berlaku di rumah uminya semalam. Masa dia terkejut sebab ngigau hantu yang paksa dia kahwin, dia nampak Si Mirza sedang sibuk menyelongkar beg sandangnya di atas meja. Di dalam tu adalah sikit duit yang hendak diberi pada Zeenat untuk duit belanja rumah. Mujur duit tunai resort dia dah deposit dalam bank terlebih dahulu sebelum balik rumah. Selamat la. Jika tak, lagi haru.

Dia melawan Mirza bukan kerana sayangkan duit yang ada dalam beg tu. Bukan! Tapi sebab dia sangat marah dengan perangai tak semenggah abangnya. Geram yang amat. Melampau! Sanggup buat apa saja demi nak penuhi nafsu ketagihnya. Dah macam-macam Si Mirza buat pada dia dan Zeenat. Termasuk umi sekali. Tu yang dia marah sangat pada abang sendiri!

Semalam, dia bergelut sakan dengan Mirza, menarik begnya semula. Sumpah, satu sen pun dia tak mahu bagi pada Mirza. Biar abang dia tu terbaring terketar-ketar tak dapat dadah, dia rela tengok, daripada bagi muka pada si abang dan semakin merosakkan hidupnya.

Tak terjangka Naira yang tenaga Si Mirza sangat kuat. Naira dah dapat rebut balik beg sandangnya dari tangan Mirza, dan beg tu dia peluk kuat-kuat. Tiba-tiba Mirza melawan dan rentap semula beg tersebut dengan kasar. Naira cuba pertahankan lagi. Sumpah dia tak mahu bagi duit yang sedikit itu untuk Mirza gunakan ke jalan yang sesat.

Naira hendak lari masuk ke dalam bilik, tapi Mirza tarik baju lalu menolak badan Naira ke meja. Mirza hentak-hentak muka Naira ke meja kayu tu beberapa kali. Naira tergamam masa kena tarik tu. Dia tak menyangka. Sepantas kilat sahaja terasa mulutnya yang comel tu kena tonyoh ke bucu meja yang kasar. Serius dia tak bersedia untuk melawan. Sakit, beb! Bukan sikit-sikit punya sakit. Kali ini dia kalah. Duit lesap, sakit pun dapat.

Itu la, lain kali jangan cakap besar...

Kutuk Zeenat lemah, manja, penakut bla bla bla. Sudahnya orang yang bajet kuat inilah yang kena belasah teruk. Kasihan kau, Naira.

Lepas dah okey sikit, umi suruh Naira balik ke resort cepat-cepat. Umi takut Mirza datang lagi. Memang selalu macam tu. Mirza akan ulang balik rumah bila dia tahu Naira ada. Naira tu macam bank Mirza la. Walau Naira tu garang macam bapak singa, Mirza tak pernah peduli. Dia tetap akan pergunakan Naira. Mirza akan buat apa sahaja asalkan dia dapat apa yang dia nak.

Itulah sebabnya kenapa Naira banyak habiskan masa di resort. Di sini, Mirza tak berani datang. Ramai pekerja otai kesayangan arwah abah mereka masih ada di resort ni. Antaranya Cef Razak dan ahli keluarga Fuad. Jangan buat perkara tak senonoh di resort, pasti kena belasah dengan mereka. Ayah Fuad, Pak Cik Muiz sangat setia dan amanah. Walaupun dah tak larat kerja lagi, tapi dia tetap ambil berat. Fuad tu macam mata-mata untuk dia la. Apa-apa hal, Fuad akan buat laporan dan Pak Cik Muiz sekelip mata akan sampai.

Mungkin Pak Cik Muiz ni ada perjanjian apa entah dengan abah Naira dahulu, sebab itu Pak Cik Muiz sangat mengambil berat. Orang dulu-dulu kan macam-macam, tak seperti orang zaman sekarang yang dah tak peduli sangat akan kebajikan orang yang rapat. Buat hal masing-masing. Fikirkan tembolok sendiri, orang sebelah nak mati terbongkang pun tak kesah.

Ketukan di pintu bilik dengan tiba-tiba mengejutkan Naira. Dadanya mula berdebar. Bimbang mamat hantu terus mengganggu. Jenis tak makan saman punya orang. Sangat merunsingkan. Naira menyarungkan jubah longgar ke tubuhnya yang berpakaian baju tidur seksi dan nipis. Dah jadi tabiatnya menyeksi apabila berada di dalam bilik. Masa ni la semua sel-sel badannya nak berehat. Sebab tu dia suka ringkas. Kasi udara masuk, kihkih.

Dah siap pakai baju tutup aurat, Naira lihat di cermin kecil di pintu. Hah, lega... Nasib baik telahannya salah. Si Sarah rupa-rupanya. Tanpa banyak fikir, tangan Naira terus pulas tombol pintu.

"Taraaa... Moga Cik Naira cepat sembuh!" Sarah menghulurkan sejambak bunga. Jambak besar. Bunga lily warna putih bersih. Harum baunya.

Naira tergamam. Pelik pandang Sarah. Dia tahu semua staf ambil berat pasal dirinya. Tapi dia orang semua taklah nak buang tabiat bagi bunga bagai kalau dia sakit sikit-sikit macam ni. Biasalah mulut dia bengkak dan muka lebam-lebam. Tubuh Naira dah biasa jadi punching bag Mirza. Ini bukan pertama kali dia kena. Sudah berkali-kali juga, jika tak hati-hati.

Dan ucapan Sarah, macam geli aje telinga dia dengar. Dia kenal staf dia. Kenal cara dan stail dia orang macam mana.

"Kamu sihat ke, Sarah?" Naira tak sambut pun jambak bunga tu. Sebaliknya buka pintu luas-luas supaya Sarah boleh masuk ke dalam.

"Masuklah..."

"Errr... Sihat," jawab Sarah teragak-agak sambil masuk lalu meletakkan jambak bunga di atas meja kerja Naira.

"Saya menyampaikan kiriman dan pesanan orang, Cik Naira. Amanah orang ni... Dan kami staf pun nak tahu juga keadaan bos..."

"Saya okey... Tak perlu kecoh-kecoh. Tapi siapa yang bagi bunga ni?" Hairan juga Naira. Dia ada dapat bunga tapi jarang-jarang. Adalah juga perasaan teruja tu.

Naira duduk di hujung katilnya, menghadap Sarah yang tengah berdiri.

Sarah senyum.

"Ada kad di situ, Cik Naira."

Sarah ambil kad yang terselit di jambak bunga lalu dihulur kepada Naira.

"Dia kirim salam dengan Cik Naira. Pesannya lagi supaya Cik Naira jaga diri, moga cepat sembuh."

Naira garu pelipisnya. Nak marah Si Sarah ni rasa tak adil pula. Lagi pun keadaan mulutnya tak mengizinkan.

"Dia tu... Siapa? Hantu mana?"

"Encik Raid..." jawab Sarah sambil pandang bosnya. Sarah tak nampak tanda-tanda bosnya akan mengamuk. Jadi, boleh la dia cakap lebih-lebih sikit.

"Dia dah check out, Cik Naira... Baru kejap tadi. Sebab tu dia minta saya hantarkan bunga ni..."

"Owh... Dah check out?" Perlahan Naira tanya. Ada sejenis perasaan dukacita menyelinap masuk ke hati Naira.

"Haah... Kena panggil kerja katanya. Tak dapat sambung cuti."

Naira angguk.

"Dia ucapkan terima kasih pada Cik Naira. Best tinggal sini katanya. Semua tip-top. Honeymoon Suite tu terbaik. Melambung-lambung dia puji," sambung Sarah dengan muka bangga.

Naira sekadar balas dengan senyum tipis. Yalah, Sarah... Melambung-lambung dia puji. Hakikat sebenar, awak dan kawan-kawan awak tak tahu, tuan punya resort aje yang tahu. Macam-macam hantu tu buat. Eloklah dia dah berambus. Jangan datang-datang lagi. Bikin hidup Naira semakin huru-hara sahaja.

"Okey, terima kasih banyak hantar kiriman ni, Sarah. Awak dah boleh pergi bertugas di kaunter. Tina ada di bawah?"

"Ya. Cik Naira nak pesan makanan tak? Boleh saya suruh Cef Razak masakkan."

"Tak apa... Terima kasih, nanti saya oder sendiri."

Selepas Sarah pergi, Naira menyambung menungnya. Patutnya dah lega dengan pemergian mamat hantu, tetapi kenapa mesti berbahagi dengan rasa sayu? Tiba-tiba diserang rasa sunyi dan kehilangan pula.

Ceh... Apa ni, Naira? Mudah benar terpedaya? Ingat... Jangan nak menambah kuota manusia serabut pada diri kau. Cukup-cukuplah apa yang ada. Kalau hantu tu boleh kenal apek boroi dan annei misai lentik, apa maksudnya? Faham-faham sendiri la, kan. Nanti bukan hutang Mirza saja yang kau tanggung, hutang jantan lain pun nak kena hadap juga. Apa lagi yang kau ada?

Monolog Naira terhenti. Menyerinding bulu roma. Bukan seram pada makhluk lagi satu, tapi takut pada hantu jelmaan manusia. Dia tak pernah dengar orang mati sebab hantu yang betul-betul, tapi selalu dengar ramai yang ditimpa bencana kerana manusia yang jadi hantu. Manusia, kalau jadi jadi hantu, jahatnya ibarat sepuluh kuasa tiga.

LELAKI KIRIMAN TUHANRead this story for FREE!