Pap! Pap!

Kali ini dua biji batu jalan. Harap cermin kaca tu tak relai la. Mana la tahu, kan? Binaan di resort ni pula semuanya lama-lama dah. Maksud dia resort ni resort lama. Tak payah orang cerita sejarah asal-usulnya, dari pandangan mata kasar pun dia dah tahu.

Orang di dalam masih berdiam diri.

Pap!

Cuba lagi. Hajat nak buat tiga kali, tapi tiba-tiba ternampak pintu gelangsar seperti bergerak. Betul telahannya. Sekejap kemudian terjengul kepala tak bertutup dengan baju seksi tak berlengan, ketat melekap di tubuh. Terbeliak mata dia tengok. Dalam samar-samar cahaya itu masih nampak dengan jelas rambut lebat dan menawan.

Fuh! Perasaan dia sudah semacam. Yalah, dapat lihat anak dara orang yang dia tengah aim dalam keadaan cenggitu. Mahu tak merembes segala jenis adrenalin. Bohong la kalau boleh cool lagi. Puas menahan beb, gelodak jiwa lelaki ni kadang-kadang menderum aje datang. Susah untuk dikawal. Rasa nak pi terkam aje. Ngap! Sabarrr...

"Hmmm... Hmmm... Awak!"

Jangan kata dia tak kasi warning! Kalau perempuan yang gitu-gitu, dia biarkan aje. Ratah ajelah bila dapat percuma. Dah namanya hantu, kan? Tapi... Entah, dengan puteri jeruk ni, tiba-tiba rasa bertanggungjawab pula.

Kelihatan Naira sangat terkejut.

Sepantas kilat Naira masuk ke dalam semula. Sarung baju jubah longgar dan tudung bodo-bodo yang sudah tersedia ada di penyangkut. Tak kuasa belek di cermin dah. Lampu balkoni dibuka. Mamat hantu ni memang nak kena, suka-suka hati dia saja nak pedajal orang! Marahnya dalam hati. Sudah sedia untuk keluar menyerang. Lupa segala sakit dan penat yang dialaminya tika ini. Naira terus keluar. Jaga kau, hantu... Melampau!

"Apa hal?" Keluar saja pintu, terus Naira menyoal. Muka serius, kedua-dua tangan di pinggang, suara tegas, tapi tidak nyaring seperti selalu.

Sebabnya, yang pertama dia memang tak dapat buka mulut luas-luas kerana mulut sudah bengkak bom, dan yang kedua, dia agak berhati-hati kerana ada penghuni yang sedang menginap di bilik-bilik berhampiran. Tak mahu mereka terganggu. Lagi-lagi tak nak jejas reputasi resort. Zaman tular ni kena banyak berjaga-jaga.

Raid pandang Naira. Cahaya di balkoni sudah terang. Jadi nampak jelas. Pakaian dan kepala Naira dah tak jadi masalah. Besar gedebeh sampai tak nampak susuk tubuh langsung. Tak kocak-kocak nafsu jahat dia dah. Boleh tahan la. Masalahnya dia sudah perasan sesuatu. Terkedu dia seketika. Pandang dan pandang lagi. Pelik saja cara pandangannya.

Naira angkat muka isyarat tanya. Geram. Duk pandang-pandang orang sangat kenapa? Dah la main baling-baling batu kat bilik orang. Kalau dah penyangak tu, memang takkan buang tabiat penyangaknya.

"Muka awak kenapa? Siapa buat?" tanya Raid ingin tahu.

"None of your business!" balas Naira. Perlahan tapi sombong nadanya. Sungguh Naira terlupa pasal muka dia yang macam alien tu. Siang tadi, ketika dia balik taklah teruk sangat lebam-lebamnya. Mungkin sekarang dah macam muka zombie sebab denyut-denyut pun dah semakin terasa. Agaknya sebab itulah si hantu ni terkejut tengok.

"Awak silap! It's my business too!" Raid dah tak cool lagi. Dia betul-betul sentap tengok muka Naira yang teruk itu. Dan dia sangat-sangat ingin tahu kenapa. Sangat curious!

"Sudahlah, hantu! Jangan kacau saya lagi boleh tak? Saya dah cukup banyak masalah nak kena tanggung!" marah Naira. Keluhan berat dilepaskan sebaik habis kata.

"No! Saya takkan pergi dan takkan berganjak selagi awak tak bagi tahu tangan siapa yang buat awak!" protes Raid. Mata mencerlung ke wajah Naira.

"Tak payah pedulilah! Tak ada kaitan dengan awak!" Perlahan Naira pusing tubuh untuk masuk semula ke dalam bilik. Tak kuasa melayan hantu sibuk ni. Bukan boleh selesaikan masalahnya. Menambahkan lagi mungkin ada.

"Ada kaitan!"

Raid melompat masuk ke ruang balkoni tempat Naira berada. Sebab dia dah nampak niat Naira mahu masuk bilik.

Terkejut besar Naira dengan tindakan Raid. Nasib baik lelaki tu tak tersangkut kat pasu-pasu melur. Hebat juga lelaki ni. Sekelip mata sudah berada hampir dengannya tanpa susah payah. Senang aje dia lompat. Hah, apa nak hairan...Bukankah dia sejenis hantu?

"Saya menyibuk sebab saya care, awak!"

Naira tutup mulutnya dengan tangan. Tak tahan dengan bau rokok yang keluar dari mulut lelaki ni. Raid perasan itu. Rasa menyesal pula pi berasap berbatang-batang masa mencari tadi. Chuwing gum pula dah habis dalam poket. Selalu tu ada aje spare.

"Tak payah susah-susah. Saya boleh jaga diri sendiri," tegas Naira. Sungguh-sungguh dia rimas dengan lelaki pengganggu ni.

"Tak! Awak tak boleh! Jika tak, muka yang comel tu tak jadi macam ni!"

Raid tarik lengan Naira lalu dudukkan ke atas kerusi kayu yang ada di balkoni. Dia duduk sekali di atas kerusi sebuah lagi. Lengan Naira yag berlapik baju itu terus dipegang. Takut Naira lari. Ada potensi yang cik jeruk ni nak masuk ke dalam semula secepat mungkin.

"Saya tak akan pergi selagi saya tak tahu apa jadi pada awak, siapa yang buat dan kenapa?" ujarnya serius. Lebih kurang mengugut jugalah tu.

Naira jeling.

"Dasar hantu! Tak reti bahasa manusia..." Naira tolak-tolak tangan Raid.

Raid yang tengah serius tu terus lepas tawa. Dengan minah sorang ni, memang mudah benar gelaknya terhambur.

"Awak ni dalam sakit-sakit macam ni pun nak garang lagi, kan? Saya serius ambil berat tentang awak. Apek boroi ke yang buat awak macam ni? Atau annei misai lentik tu?"

Buntang mata Naira.

"Mana awak kenal dia orang?"

Hah sudah! Entah-entah hantu ni konco apek boroi tu. Dah sampai ke resort ni... Lagi payah ceritanya. Kepala Naira semakin memberat.

"Itu tak penting. Yang penting adakah dia orang yang buat awak?" Wajah Raid kembali serius.

Naira geleng.

"Dia orang dah lama tak kacau saya..." Hati dah resah sangat. Raid di sebelah dikerling. Waswas.

"Habis tu siapa punya kerja ni?"

"Meja yang buat!" Tiba-tiba akal Naira berjalan.

"Mana meja tu? Biar saya pukul dia balik!" pintas Raid.

Kerut dahi Naira. Dia semakin keliru dengan lelaki ni. Dan syak wasangkanya semakin kuat! Fikirannya kuat mengatakan yang si hantu ni bukan orang baik-baik. Akan bawa masalah. Jadi, dia tak mahu terlibat apa-apa dengan lelaki ini.

"Boleh tak awak lepaskan saya? Kalau awak ikhlas dan jujur, jangan ganggu saya lagi. Jangan kacau kerja saya di sini, dan jangan bebankan kepala saya lagi... Saya minta tolong sangat... Lepaskan saya dan pergilah dari sini dengan aman..."

Akhirnya Naira merayu dengan cara baik-baik. Lirih suaranya. Bergetar. Sebenarnya dia sangat takut. Bila Raid tahu pasal apek boroi dan annei misai lentik tu, ini petanda yang kurang baik. Petanda yang nasib malangnya di luar akan merebak masuk ke dalam resort ini. Naira tak mahu itu berlaku. Resort ini amanah abah. Tempat kesayangan dia. Dia tak mahu tempat ini hancur. Sinilah kekuatan dia, semangat dia. Tanpa resort ini dia akan lagi lemah.

Raid terus terdiam. Kerling Naira. Nampak wajah si gadis yang murung, sedih dan mengharap. Sangat kasihan. Akhirnya dia tunduk. Tak kata apa-apa dah.

Perlahan-lahan Naira masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu dan tingkap. Semua lampu juga dia tutup. Bergelap. Bibirnya yang bengkak semakin berdenyut-denyut.

LELAKI KIRIMAN TUHANRead this story for FREE!