BAB 11

6.6K 77 3

NAIRA membuka kunci mangga pagar rumah. Cepat-cepat masuk, lalu tergesa-gesa pula dia mangga semula dari dalam. Sempat lagi dia perhati sekeliling rumah sebelum menuju ke pintu utama. Perkara yang sama dia buat. Buka kunci pintu grill, kunci balik, kemudian buka pula kunci pintu kayu, masuk dan pap! Kunci semula.

Macam masuk penjara! Padahal di rumah sendiri, tempat sendiri, tanah sendiri dan harta benda sendiri. Ketakutan dalam kawasan sendiri. Secara logik, di kubu sendiri orang rasa lebih selamat dan tenang. Ini tidak, dua puluh empat jam kena hati-hati dan berjaga-jaga. Selamat lagi berada di resort, tempat orang awam berkeliaran tu.

"Naira?"

"Ya, umi. Assalamualaikum..."

Naira pergi mendapatkan umi di dalam bilik. Pintu bilik sudah sedia terbuka. Umi berada di atas kerusi roda di tepi tingkap. Naira salam dan cium pipi uminya kiri dan kanan.

"Umi okey?"

"Alhamdulillah... Anak umi pula macam mana?" Tubuh Naira dipandang atas bawah, atas bawah dengan penuh kasih.

Naira senyum.

"Dah berdiri di depan umi ni dengan sangat cantik ni... Kira okey sangat la, kan? Naira pandai jaga diri la, umi..." jawab Naira dengan lemah lembut.

Berhadapan dengan umi, semua bahasa-bahasa kesat dan kasarnya disimpan kejap-kejap dalam peti simpanan. Bukan hipokrit, tetapi dia ingin jadi anak yang terbaik di mata umi. Tak mahu uminya susah hati melihat apa yang umi tak suka. Ibu mana yang suka melihat anak daranya garang berdegung-degung? Kalau ada pun, jarang-jarang. Dan umi Naira adalah sejenis umat yang amat pentingkan bahasa dan kesopanan.

"Yalah tu pandai..." ujar umi ringkas.

Namun, jauh di sudut hati, dia memang yakin dengan anak daranya yang seorang ini. Naira telah membuktikan yang dia memang telah menjaga dirinya dengan baik. Bukan setakat diri Naira, malah diri Zeenat dan uminya, Naira sangat ambil berat. Sememangnya Naira anak yang baik dan bertanggungjawab.

Naira sengih.

"Umi jangan susah hati fikir pasal anak dara umi kat luar sana. Naira kan ada tali pinggang hitam tekwando? Sedikit sebanyak membantu Naira jaga diri. Buah silat yang arwah abah ajar pun, Naira masih ingat lagi. Yang penting...Doa umi untuk Naira."

Umi Zulaiha senyum. Perlahan-lahan dia mengangguk.

"Macam tu la... Senang hati Naira tengok senyuman menawan umi tu." Mata Naira lalu mencari-cari seseorang di sekeliling.

"Adik mana, umi?"

"Nak mandi katanya tadi..."

Mata Naira ditala ke bilik air di dalam bilik uminya. Terbuka pintu bilik air tu.

"Dia tak mandi di bilik umi?"

Hairan. Sebab Zeenat tu penakut. Mana mahunya berenggang dengan umi bila berada di rumah.

"Mandi di bilik dia tu... Belajar-belajar nak jadi berani katanya," jawab Umi Zulaiha.

"Hurm... Baguslah macam tu... Jika tak, sampai bila adik tu asyik nak perangai manja-manja, nangis-nangis saja. Sikit-sikit dia kena belajar berdikari umi, kena jadi kuat dan berani," kata Naira. Dia sudah bersila di atas lantai di hadapan kereta roda uminya.

Biasanya, kalau balik rumah, pasti dia akan sediakan masa untuk berbual-bual dengan umi terlebih dahulu. Harus pastikan yang jiwa uminya baik, tenteram dan tak sakit. Bagi Naira, kalau dalaman umi sihat, bermakna umi akan lebih bersemangat melawan sakitnya.

"Jadi ganas macam anak dara umi yang seorang ni?" Umi senyum lebar.

"Mana ada ganas, umi... Naira ni masih gadis yang sopan, tau?" Naira simpan gelak dalam perut. Gadis sopan? Kirim salam...

LELAKI KIRIMAN TUHANRead this story for FREE!