Bab 6

97 6 10

bab 6

2017

Melaka

SEORANG lelaki menggelupar di atas lantai. Tangannya sekejap memegang leher dan sekejap memegang dada. Tubuhnya sekejap membongkok dan sekejap melurus. Sesekali dia terkejang-kejang dengan mata terpejam. Wajahnya perit membayangkan kesakitan yang tidak mampu diungkap.

Seorang perempuan yang duduk di meja sebelah spontan menjerit dan menjauhkan diri. Suasana yang tadi hening, bertukar kecoh. Makin ramai yang bangun untuk melihat apa yang telah berlaku.

Dengan spontan, Khun Thea berlari ke bahagian hadapan restoran. Apabila dia tiba di tempat tersebut, dia melihat seorang lelaki sedang berguling-guling di lantai sambil memegang leher dengan kedua belah tangan. Muka lelaki itu kebiru-biruan bagaikan tidak boleh bernafas.

Khun Thea tidak berlengah. Dia tarik badan lelaki itu bangun semula. Dalam kepalanya dia hanya mahu membantu supaya tulang yang mungkin tersekat di dalam mulut lelaki tadi dapat dikeluarkan secepat mungkin tetapi belum sempat Khun Thea berbuat apa-apa, lelaki itu muntah. Hampir lagi terkena baju Khun Thea.

"Uwek..."

Lelaki itu muntah dan muntah lagi tanpa dapat ditahan-tahan. Mukanya yang membiru kini kembali cerah malah kemerah-merahan. Dia bagaikan baru sahaja menyedari apa yang sedang berlaku.

Yang ada di situ mula menjauh. Bau muntah yang masam dan hamis membuatkan ramai yang hampir muntah pula termasuklah Khun Thea sendiri. Lebih mengejutkan apabila di dalam muntah yang bercampur lendir dan darah itu, bergerak-gerak seekor anak ikan puyu.

Mata Khun Thea terbeliak melihatnya. Tetapi apabila dipandang buat kali kedua ikan puyu itu hilang begitu sahaja.

Masing-masing tergamam. Ada yang mula bercakap sesama sendiri tetapi Khun Thea mengambil sikap untuk tidak mempedulikan hal itu.

"Encik dah okey?" Khun Thea bertanya seraya membantu lelaki tadi duduk semula di kerusi. Hendak ditinggalkan begitu sahaja terasa tidak sampai hati.

Lelaki itu mengangguk lesu sambil meyapu mulut dengan kertas tisu..

"Maafkan saya..." katanya lemah. Mukanya merah padam.

"Tak apa. Nanti ada orang bersihkan."

Khun Thea faham; kejadian itu agak memalukan. Tetapi dia yakin lelaki itu bukan sengaja hendak muntah di restoran itu. Dan apa yang baru berlaku tadi, sukar untuk dijelaskan.

"Yang pentingnya encik dah okey," tambahnya.

"Terima kasih kerana tolong saya." Lelaki itu tersenyum pahit. Matanya masih bergenang dengan air mata.

"Saya tak buat apa-apa pun." Khun Thea membalas.

Dia sudah mahu beredar menyambung tugasnya semula. Lagipun hal itu sudah selesai dan dia berasa lega kerana tidak ada hal yang buruk berlaku.

TAKRUT -Tangkal Pemisah Dua NegaraRead this story for FREE!