NEW: Introducing Tap. Addictive chat stories for your 📲 Now in 10 languages
DOWNLOAD NOW!

Bab 5

68 3 6


Bab 5

KEHADIRAN Kean dan Pongpanet membuatkan sami tua tadi memberhentikan kerjanya. Tajam renungannya ke arah Kean bagaikan cuba membaca isi hati yang tersurat.

Kean segera memberi hormat apabila sami tua itu datang menghampiri dia. Belum sempat dia membuka mulut lagi, sami tua itu sudah bersuara.

"Serahkan apa yang kamu bawa."

Untuk beberapa saat Kean tergamam. Ternyata sami tua itu sudah tahu maksud kedatangannya ke situ. Lantas dia menyerahkan cincin yang dibawa ke tangan sami tua.

Sami tua itu membeleknya sebentar sebelum memulangkannya kepada Kean. Kemudian dia berjalan masuk lebih jauh ke dalam gua.

Kean mengikut sami tua dengan rapat. Setibanya mereka di hadapan sebuah lubang gua yang dipenuhi pelbagai patung Budha pelbagai saiz dan rupa, langkah Kean terhenti. Akan tetapi sami tua mengajak Kean masuk.

Dengan rasa ragu-ragu, Kean menurut. Dia mengambil tempat di hadapan sami tua selepas memberi penghormatan kepada patung-patung Budha di situ. Kemudian dia menanti apa yang akan berlaku seterusnya.

Tanpa suara, sami tua menarik keluar sebuah kotak kayu yang ditutupi sehelai kain berwarna hitam dari tepi dinding gua. Kotak itu diletak di tengah-tengah di antara mereka berdua. Penutupnya dibuka. Sami tua terdiam ketika merenung isinya.

Kean terkebil-kebil. Apa yang akan berlaku gagal ditelah.

"Hal ini sudah dijangkakan." Sami tua mengambil keluar satu bungkusan kecil yang berikat benang merah dari dalam kotak kayu.

Mata Kean tertumpu kepada bungkusan kecil itu. Itukah yang dimahukan oleh Raja Nara? Aneh.

"Apa yang diminta ini bukan sebarangan. Ini keramat, zaman berzaman. Kuasanya besar tidak terlawan. Nyawa musuh hanya mainan." Sami tua menjelaskan apabila Kean masih ragu-ragu.

Kean menelan air liur apabila ditegur. Selepas pembalutnya dibuka, barulah terlihat satu logam berwarna keemasan.

Sami tua memandang sekilas ke arah Kean yang melotot ke arah bungkusan yang ada di atas kotak. Dia yakin Kean tidak pernah melihatnya seperti kebanyakan orang lain juga.

"Inilah Takrut Agung."

Kean terlopong seketika. Berderau darahnya apabila nama takrut itu meniti di bibir sami tua. Dia seakan-akan bermimpi. Selama ini dia pernah mendengar mengenai takrut itu tetapi dia fikirkan itu hanya satu mitos.

"Ramai yang menyangkakan takrut ini satu cerita dongeng." Sami tua bersuara perlahan.

Kean tertelan air liur. Bukan dia tidak biasa melihat takrut. Malah dipinggangnya berbelit satu takrut yang diberikan oleh sami di raja. Takrut itu diperbuat daripada kulit harimau putih. Gunanya untuk memastikan semangatnya tidak mati. Dia menjadi seorang yang berani dalam setiap peperangan. Dia tidak takut mati apatah lagi cedera. Dia yakin dia dilindungi satu kuasa hebat. Tetapi di hadapan Takrut Agung itu, dia berdebar-debar. Dia gementar. Malah seluruh tubuhnya lemah dan lesu. Semangatnya luntur.

TAKRUT -Tangkal Pemisah Dua NegaraRead this story for FREE!