NEW: Introducing Tap. Addictive chat stories for your 📲 Now in 10 languages
DOWNLOAD NOW!

Bab 4

70 7 13

Bab 4

450 tahun dahulu

Wat Phutthai Sawan, Wiang Lek

Pinggiran Sungai Chao Phraya

KEAN menjeling wajah ketua sami yang baru habis bercakap dengan Raja Nara. Wajah ketua sami itu muram seperti banyak berfikir. Dia tidak dapat meneka apa yang dibincangkan sejak setengah jam yang lalu tetapi semua itu turut menjadikan dia tidak sedap hati. Sedang leka berfikir, dia dipanggil Raja Nara.

"Kamu ke Chanthaburi sekarang juga." Raja Nara bertitah tanpa bertangguh.

Dahi Kean spontan berkerut. Pelbagai perkara bermain di kepalanya. Tempat itu tidak pernah diinjak. Letaknya juga jauh dari situ. Mungkin akan mengambil masa berhari-hari baru tiba di sana. Dia juga tidak begitu arif dengan daerah yang dikepung gunung dan laut itu.

Bagaikan memahami apa yang berselirat di dalam kepala Kean, Raja Nara memaut bahu Kean dan mengajaknya berjalan ke pintu wat. Dari situ mereka dapat melihat berpuluh-puluh pemuda sedang berlatih seni mempertahankan diri, Muay Boran. Di sebelah kanan wat itu pula berpuluh-puluh lagi pemuda sedang berlatih seni bela diri menggunakan senjata seperti hork, ngao, loh dan kaan. Semua orang sedang gigih berlatih.

"Kamu orang kepercayaan beta. Tak ada orang lain yang beta dapat amanahkan tugas ini, selain kamu."

"Perintahkan apa saja, tuanku."

Dia, rakyat yang taat kepada raja. Meskipun perlu menumpahkan darah dan mengorbankan nyawa di sisi baginda, dia bersedia meskipun ada kebimbangan.

"Beta mahu kamu pergi ke sebuah desa di Chanthaburi. Setibanya di sana, kamu serahkan cincin beta kepada seorang sami bernama Tuksin Prachuab." Sambil berkata-kata, Raja Nara menyerahkan sebentuk cincin kebesaran yang dipakainya sekian lama.

Pada mulanya, Kean tergamam. Cincin itu diterima dengan rasa bingung. Titah raja semakin tidak difahami tetapi dia yakin titah itu mesti penting.

"Kamu akan faham selepas itu." Raja Nara menambah. "Sebaik saja selesai, kamu baliklah segera ke sini. Kita akan berangkat ke Muang Hang dengan secepat mungkin."

"Muang Hang?" Kean tidak dapat menahan diri daripada bertanya. Mereka baru sahaja beberapa hari pulang dari medan perang.

"Kita akan membantu Putera Chao Kham Kai Noi. Dia dalam kesulitan. Tentera Burma semakin dekat. Tentera China pula mula bergerak masuk dari arah Kentung."

"Baik."

Akhirnya Kean menerima perintah. Walaupun fikirannya bersimpang siur namun titah itu tidak mampu dibantah. Dia percaya hal itu tentu amat penting bagi Raja Nara dan negara.

"Urusan ini mesti dirahsiakan. Hanya kita berempat yang tahu."

Raja Nara menjeling ke arah ketua sami yang memerhati mereka berdua dari jauh. Ketua sami itu tunduk bagai mengiyakan kata-kata raja dan sekaligus mendoakan usaha itu berjaya.

TAKRUTRead this story for FREE!