NEW: Introducing Tap. Addictive chat stories for your 📲 Now in 10 languages
DOWNLOAD NOW!

Bab 3

92 3 4


Bab 3

HARI itu, pagi-pagi lagi Hamid datang mencari Wafiq di bilik tidur. Dia risau kalau-kalau Wafiq masih bersedih. Dia yakin Wafiq tidak wajar dibiarkan berseorangan buat sementara waktu. Setibanya di bilik, dia lihat Wafiq sedang tidur nyenyak.

"Wafiq..." Hamid menepuk bahu Wafiq beberapa kali. Keadaan itu di luar jangka. Dia fikirkan Wafiq sudah berada di atas sejadah.

Wafiq bergumam antara sedar dan tidak. Ketika itu kelopak matanya bagaikan sudah dipateri. Hendak dibuka terasa beratnya bertan-tan.

"Dah solat? Dah masuk waktu subuh ni."

Hamid mengingatkan sekali lagi. Dia yakin bukan begitu kebiasaan Wafiq. Wafiq sudah berbulan-bulan belajar di pondok agama, tentu sudah biasa bangun sebelum subuh.

Mendengarkan pertanyaan itu, Wafiq langsung beristighfar. Berdebar kuat dadanya kerana terkejut. Bimbang terlepas waktu subuh.

"Pukul berapa dah, pak cik?" Dia bingkas bangun.

"Dekat pukul 6.20. Pak cik ingat Wafiq dah bangun." Hamid pandang muka Wafiq yang pucat dan lesu.

Wafiq hela nafas.

"Minum air sikit." Hamid suakan segelas air kosong kepada Wafiq. Wafiq sambut dengan tenang.

"Tidur lambat sangat ke?" Hamid menegur. Wajah Wafiq begitu kusut. Mata pula bengkak.

Wafiq sekadar menggeleng. Hal yang telah terjadi pada malam tadi, masih membelenggu fikiran. Akan tetapi, dia tidak mahu menyusahkan Hamid di awal pagi begitu. Lagipun itu mungkin sekadar mimpi buruk yang tidak wajar diceritakan kepada sesiapa.

Setelah membasuh muka dan berwuduk, Wafiq mendirikan solat subuh dengan tertib. Selepas itu dia berdoa panjang untuk ayahnya.

Tingkah laku Wafiq, diperhati Hamid dengan teliti. Ternyata, kesedihan masih tebal menyelubungi diri Wafiq. Dia percaya Wafiq memerlukan lebih masa untuk bangun semula. Bagaimanapun itu juga sebahagian daripada amanah yang dipikul di bahunya. Segala amanat Tuan Badruz masih dia ingat.

"Hari ni Wafiq berehat sajalah di rumah. Biar pak cik yang uruskan apa yang perlu. Kalau ada apa-apa hal yang mustahak, pak cik telefon." Hamid pandang muka Wafiq yang baru selesai berdoa. Dia harap Wafiq setuju.

Wafiq angguk sahaja. Dia pun rasa lesu kerana tidak cukup tidur.

Setelah Hamid meninggalkan katil, dia pasang televisyen di hujung kaki. Entah bila dia terlelap, dia tidak sedar. Dia cuma terjaga apabila telinganya menangkap bunyi barang jatuh ke lantai. Apabila dia menoleh ke sekeliling bilik, semuanya elok sahaja kecuali sejadah yang terlempar ke sudut bilik.

*****

PUKUL 9.00 pagi. Dengan berpakaian ringkas, Wafiq turun ke tingkat bawah untuk mengalas perut meskipun tidak berasa lapar. Dia bimbang, nanti penyakit lain pula yang tiba sedangkan menjaga tubuh badan itu amanah. Tuhan menganugerahkan setiap manusia dengan tubuh badan yang bersih dan elok, dialah yang selalu cuai menjaga. Malah dahulu dia tidak pernah memikirkan apakah yang masuk ke dalam tubuh itu haram atau halal. Mujurlah dia sempat bertaubat.

TAKRUT -Tangkal Pemisah Dua NegaraRead this story for FREE!