BAB 5

5.8K 88 0

DARI tangga menuju ke Kafe Nyaman, mesti melalui kaunter resepsi resort. Di situ Sarah dan Tina terpandang Naira dan Iqbal Raid sedang berjalan. Naira sempat mengerling ke arah kedua-dua stafnya yang sedang terlopong.

"Sarah... Itu ke mamat seluaq kecik yang nak buat tiger show tu?" tanya Tina, bisik-bisik dengan Sarah.

"Ya kut... Aku pun rasa itu la orangnya, manalah aku tau rupa dia. Kata Azlan, dia tu lelaki yang check in tengah malam buta semalam. Mana ada penginap resort ni yang nak mai masuk tengah-tengah malam macam tu. Dia ni julung-julung kali," jawab Sarah, bisik juga.

"Ya Allah... Segaknya dia, Sarah. Kalau aku tau macam tu orangnya, awai-awai aku naik sendiri pi settle!"

Sarah jeling.

"Gatal sungguh, haih. Dengan mamat miring tu pun hang sanggup. Tadi takut terketar-ketar."

"Hesy... Tak nampak macam miring pun? Elok aje jalan dengan Cik Nam tu... Macam tak pernah gaduh pun. Dengkinya aku tengok..."

"Yalah... Aku pun konfius ni, dah macam couple pula nampak..." komen Sarah.

Tina ketap bibir.

"Melepas aku... Mentang-mentang la Cik Nam tu spesies perempuan putih melepak, tuan punya resort... Cepat aje lelaki tu sembuh dari penyakit mental. Tak lepas peluang untuk sambar!"

"Aik... Cemburu nampak?" usik Sarah.

"Ha la..." balas Si Tina ringkas.

SETIBA di Kafe Nyaman, Iqbal Raid tarik kerusi untuk Naira duduk. Hendak tak hendak Naira terpaksalah duduk. Nak protes pun tak boleh, sebab meja yang dipilih Iqbal Raid adalah meja kecil untuk dua orang sahaja. Takkan Naira nak pergi duduk meja lain pula, kan? Naya aje kalau Si Iqbal Raid ini tarik balik deal dia. Dibuatnya dia ungkit semula segala terhadapnya, lagi haru. Tuduhan bodoh pula tu... Yang tak ada, diada-adakan. Bukan boleh percaya.

Bagi Naira, dia sudah cukup terbeban dengan seribu satu masalah, dia tak mahu menambah lagi bebanan di kepalanya. Cukuplah yang ada ni. Itupun sudah buat dadanya sesak, susah untuk bernafas. Setiap pagi, bila terjaga dari tidur, kadang-kadang dia mengeluh kenapa dia masih hidup? Rasa macam nak tidur terus, tak mahu lagi dah hadap segala jerih hidup.

Ni... Jika dia masih berkeras, masih melangit ego terhadap lelaki di hadapan ni, berkemungkinan dia akan menambahkan lagi masalah besar yang entah apa-apa. Jadi, sebelum itu terjadi, lebih baik dia selesaikan cepat. Tak rugilah temankan manusia ni makan, paling lama pun setengan jam sahaja masa dia melayang. Reda sajalah, sebelum penyakit semakin merebak. Biar cepat masalah yang bukan masalah tu selesai. Titik. Itu saja, kan. Lepas tujuh hari, lelaki ni akan check out, goodbye. Sayonara.

Kelihatan Iqbal Raid sangat selesa dengan suasana di Kafe Nyaman. Meja yang dipilih ini terletak di ruang legar luar. Menghadap laut. Angin pagi sepoi-sepoi bahasa bertiup. Nyaman.

Iqbal Raid masih berdiri, memerhati sekeliling menghayati pemandangan pagi yang indah. Asyik dia menikmati udara laut yang segar. Nafas panjang ditarik dan dihembus perlahan-lahan beberapa kali. Selepas itu baru dia duduk.

Sejak tadi Naira memerhati segala perlakuan Iqbal Raid. Tak berkedip matanya. Susah hendak percaya yang lelaki di hadapan ini kelihatan berubah tiga ratus enam puluh darjah daripada malam dan pagi tadi. Dari seorang yang berwajah semak, serabut dan selekeh kepada wajah yang kemas, kacak, tenang dan bersih. Dari sikap dan bahasa yang kasar dan sinis bertukar kepada cool dan gentleman.

Huh... Drama apakah yang sedang berlaku? Dalam Naira merasa takjub, masih ada perasaan waswas serta syak wasangka. Maklum, sudah kerapkali dia ditipu para lelaki.

LELAKI KIRIMAN TUHANRead this story for FREE!