BAB 4

5.9K 90 0

LELAKI yang ikhlas dan jujur memang susah dijumpa. Rata-rata yang dia jumpa semuanya macam sampah. Kaki pembelit, penipu, hipokrit, suka ambil kesempatan atas kelebihan perempuan. Lagi-lagi dengan kelemahan, macam-macam dimanipulasikan. Yang kaki surau dan kaki masjid pun susah untuk dipercaya, apatah lagi yang suka merapu meraban tak tentu arah ni. Tambah-tambah yang dah terang-terang muka penyangak dan penyamun.

Sambil ayun kaki mendaki anak tangga ke tingkat tiga, Naira mengomel-ngomel dalam hati. Dia bukan anti lelaki. Cuma setakat ini, lelaki-lelaki yang dekat dirinya semuanya macam sampah belaka. Banyak dah pengalaman ngeri yang para lelaki berikan untuknya. Sehingga kepercayaan dia kepada kaum Adam semakin memudar.

Dan pada pagi yang dingin ini, dia kena hadap lagi kerenah lelaki dari spesies sampah ini. Apalah nasib. Tak henti-henti diuji dengan lelaki-lelaki dari keturunan syaitonirojim. Bilalah agaknya dia akan berjumpa lelaki yang keturunan dari syurga? Baik, ikhlas, jujur dan yang paling penting tak menipu, tak berpura-pura jadi baik untuk pikat hatinya. Lelaki yang sungguh-sungguh mahu menjadi pelindung dia, adik dan emaknya. Lelaki yang tak mengharap harta-bendanya yang seciput ini untuk dijadikan cagaran. Lelaki yang tak menghilang bila tahu dia dikejar along minta hutang. Bila? Ada ke stok lelaki macam tu?

Huh... Dalam mimpi la, Cik Naira. Nan hado!

Dalam keasyikan Naira melayan perasaan terhadap spesies lelaki buruk, tak sedar yang jasad dirinya sudah berada di hadapan bilik 308. Dalam tak sedar juga matanya buntang menatap sesusuk tubuh tegap yang tengah tercegat menunggu di muka pintu.

Segak!

Kemas!

Bersih!

"Kenapa? Handsome sangat ke saya ni sampai buat mulut awak ternganga?"

Naira menyapu muka. Lepas tu dia mencebik. Sah lelaki yang sama! Sebab suara dan kesinisan bahasanya tak ada beza. Tapi, memang tak dapat disangkal lelaki yang berdiri di hadapannya memang segak yang amat. Cita rasa dia. Muka bersih, ada janggut sejemput tetapi kemas. Jantannya tetap maintain. Terpegun seketika Naira. Bak kata lelaki tersebut, terlopong mulutnya. Serius terlopong.

Sayang sekali, Naira bukanlah perempuan yang mudah terpedaya dengan kekacakan para lelaki. Bagi Naira...Cinta biarlah realistik. Tak wajar untuk jatuh cinta pandang pertama kerana paras rupa.

"Sekadar buang semak di muka tu apa bezanya kalau perangai memfitnah orang tu tak buang sama! Tak nampak pun segak tu kat mana..."

"Saya tak fitnah. Memang awak ada curi barang saya," balas Iqbal Raid bersahaja. Tidak ada nada marah, namun masih teguh dengan kenyataannya.

"Saya tak mengaku! Saya tak ambil apa-apa. Kalau saya nak ambil, baik saya ambil semua, tak payah pulangkan terus!" protes Naira. Tetap dengan pendiriannya.

"Mengaku sajalah, habis cerita... Asyik menafikan, bila nak selesai?"

"Dah saya tak buat, nak mengaku apanya? Sudahlah, encik... Pergilah kira duit encik tu banyak-banyak kali lagi, daripada bertekak dengan saya. Kira sampai tujuh hari pun tak ada siapa nak marah. Confirmkan betul-betul jumlahnya sebelum menuduh orang. Sampai meninggal pun saya takkan mengaku ambil. Sebab saya memang tak ambil!"

Naira rasa sia-sia melayan lelaki otak senget ni. Walaupun rupa sudah kacak dan kemas, otak masih senget. Dia pusing badan untuk pergi.

"Hei, kejap! Kalau macam tu, saya tetap akan terus ganggu awak dan staf awak!"

Naira berhenti dari terus melangkah.

"Otak awak tu weng! Patut pergi servis sekali. Tak guna servis muka bagi segak, kalau otak masih miring!" semburnya lantang.

Lelaki itu senyum.

"Ngaku juga awak ya... Yang saya ni kacak dan lawa!"

"Ceh! Boleh blah! Tak guna sekupang pun kalau asyik ganggu orang tak tentu pasal!"

"Saya akan terus ganggu kecuali..."

"Kecuali apa?" pintas Naira tak sabar. Sungguh dia bosan dengan permainan kata-kata yang tak berfaedah ini.

Iqbal Raid kasi senyum menawan. Memang menawan sungguh! Kiranya cair la juga hati Naira yang macam kerikil tu. Namun untuk membalas sejuring senyuman itu tidak sekali-kali. Naira bukan jenis begitu. Raut wajahnya yang putih melepak macam Tiz Zaqiyah tu sudah sebati dengan riak kelat-kelat begitu. Jarang sekali Naira senyum pada lelaki. Untung sangat la kalau ada yang dapat senyumannya yang mahal tu.

"Kes dikira settle kalau awak sudi temankan saya breakfast pagi ni... Dengar khabar Kafe Nyaman tu sangat nyaman dengan angin paginya. Makanan pun sedap. Jadi saya perlukan seorang teman untuk melengkapkan pagi saya yang indah ni..."

Lembut dan sehabis cool bait-bait kata yang keluar dari bibir lelaki itu di gegendang telinga Naira. Romantik gitu. Dengan riak wajahnya yang penuh mengharap. Hilang sudah perkataan kasar seperti sebelum ini. Calang-calang perempuan yang dengar mahu tersungkur jatuh ke lantai.

"Tak payah nak pick up line sangatlah! Dah tuduh saya macam-macam... Ada hati lagi nak manis-manis mulut!" jawab Naira sinis. Kan dah kata, dia bukan perempuan yang mudah diperdaya.

Iqbal Raid mencantum dua tangan isyarat minta ampun.

"Please..." rayunya perlahan.

"Eh... Tak kuasalah saya! Jemput la pergi breakfast di bawah sana sebelum makanan kehabisan."

"Tapi saya perlukan teman..."

"Habis, kenapa tak bawa semalam?" Lantang suara Naira menyoal. Berpakej dengan matanya yang bulat. Cengil.

"Sebab tak ada, tak bawa la. Pukul satu pagi baru jumpa... Itu sebabnya nak ajak pagi ni. Please?" Selamba Iqbal Raid jawab.

"Hesy!" rengus Naira.

"Mengada-ada! Kalau nak berteman bagai, lain kali bawalah perempuan sendiri!"

Iqbal Raid tergelak. Di matanya, perempuan yang tengah marah dan lagak sombong di hadapan ni nampak comel dan sangat menawan. Lain dari yang lain! Seronok untuk dijadikan lawan bagi menghiburkan hati.

"Saya nak awak! Ingat hutang awak pada saya. Kalau awak temankan saya... Kira kes ni settle! Kalau awak berdegil... Saya boleh buat macam-macam lagi!"

"Awak jangan macam-macam... Saya boleh buat repot polis!"

"Buatlah, kalau awak nak tengok reputasi resort ni merudum jatuh. As I said, I boleh buat macam-macam. Saya bukan minta yang pelik-pelik dan melampau. Cuma temankan saya breakfast yang tak ambil masa yang lama tu aje. Then... Kes tamat. Saya tak ganggu awak dan pekerja awak dah!"

Naira terdiam. Berfikir.

Lelaki itu tetap menunggu di muka pintu dengan senyuman.

Naira jeling tajam.

Iqbal Raid semakin tersenyum lebar.

"Deal?" soal lelaki itu sepatah, kemudiannya.

"Deal. Tapi boleh percaya ke? Buatnya selepas ni awak merepek benda yang lain pula macam mana?"

Iqbal Raid kenyit mata. Naira balas dengan jelingan maut.

"Awak boleh percaya pada kata-kata saya. Saya seorang yang amat berpegang pada janji!"

Naira mencebik.

"Lelaki semua sama saja. Manis di mulut... Hati berniat jahat!"

Lelaki itu tetap sengih. Dia keluar dan tarik pintu bilik.

"Jom, kita pergi breakfast," ucapnya perlahan, mengajak berjalan saing. Selamba seperti tidak ada apa-apa yang berlaku antara mereka. 

LELAKI KIRIMAN TUHANRead this story for FREE!