NEW: Introducing Tap. Addictive chat stories for your 📲 Now in 10 languages
DOWNLOAD NOW!

Bab 1

131 9 3

Shah Alam.

VIDEO kejadian dua orang lelaki ditembak mati di lampu isyarat Jalan P. Ramlee kini tersebar luas di media sosial. Video yang berdurasi tidak sampai satu minit itu sudah cukup untuk menunjukkan situasi yang berlaku dengan jelas. Sebanyak enam belas liang tembakan terlihat jelas pada kiri dan kanan tingkap kereta sekaligus menyebabkan kematian kedua-dua mangsa yang sedang berada di dalam kereta dengan serta-merta.

Wafiq termenung jauh.

Setiap kali memutarkan rakaman tersebut melalui telefon bimbit, air matanya bertakung. Dadanya sakit. Rasa marahnya mendidih. Hanya jeritan-jeritan dalam kepalanya sahaja yang mengingatkan dia supaya menerima qadha dan qadar ALLAH itu dengan tabah. Cuma kekesalan tetap bertumbuh dalam hati. Dia percaya mana-mana anak sekalipun tetap mahu melihat ayahnya mati dalam keadaan terhormat. Bukan seperti itu.

Itu satu penghinaan.

"Semua dah siap sedia."

Hamid duduk di sebelah Wafiq di bangku menunggu tidak jauh dari bilik mayat. Ketika itu masih ramai wartawan dan polis di situ tetapi sebagai pembantu Tuan Badruz bertahun-tahun, dia cuba menguruskan segala hal yang perlu dalam saat-saat sebegitu bagi pihak Wafiq. Dia faham apa ertinya kehilangan seorang ayah tanpa sesiapa di sisi.

"Semua ahli lembaga pengarah syarikat, semua staf di dalam dan luar negara kita mengirim salam takziah." Hamid menambah.

"Di rumah sudah penuh dengan orang yang menunggu jenazah. Tuan imam dan pihak masjid juga sudah dimaklumkan."

Wafiq sekadar angguk. Perkara itu tidak langsung merungsingkan fikirannya. Dia yakin kepada kemampuan Hamid untuk menguruskan hal-hal sebegitu. Cuma fikirannya masih lagi bingung dan tepu. Perasaannya masih dikepung rasa marah yang menggunung.

"Arahan siapa? Orang siapa?"

Itu sahaja yang berlegar dalam kepalanya saat itu. Setahu dia ayahnya tidak punya musuh. Ayahnya seorang peniaga yang jujur, telus dan sangat menjaga kebajikan anak buah. Ayahnya juga seorang dermawan dan disayangi ramai. Pendek kata ayahnya sangat disenangi lawan dan kawan. Ayahnya juga bukan ahli kongsi gelap mahupun sindiket pengedaran dadah. Bukan. Bukan. Bukan.

Hamid mengeluh berat sebelum menggeleng sedikit. Betapa dia berharap dapat menjawab soalan itu dengan mudah tetapi tidak mungkin. Hal itu jauh lebih rumit daripada apa yang dilihat dengan mata kasar.

"Takkan tak ada langsung apa-apa maklumat."

Rasa jengkel merasak ruang hati. Kalau diikutkan tembok kesabaran yang ada sudah lama terbakar hangus. Dia cuma ingat kemarahan itu pintu syaitan. Itu sahaja yang masih buat dia mampu duduk sambil berpura-pura tenang. Sebetulnya dia bergelut dengan rasa marah yang bukan sedikit.

"Dengarnya dah ada. Tapi ada yang kata mungkin mereka tersalah orang. Soal siasat masih dilakukan. Kita beri masa sedikit."

Hamid harap Wafiq mampu terus bertenang. Dia faham perasaan Wafiq yang terkejut dengan kejadian itu. Tambahan lagi Wafiq sudah tiga bulan tidak menemui Tuan Badruz sejak dihantar bertalaqqi dengan seorang ustaz di Patani.

TAKRUT -Tangkal Pemisah Dua NegaraRead this story for FREE!