#LPB : PART 14

3.5K 274 30
                                    

"Ayuni, kau tahu tak..." Suzana tanpa salam dan tanpa ucapan selamat pagi, terus menegur Ayuni dengan wajah yang penuh dengan berita yang mengejutkan.

"Madam Lee dah balik Malaysia, bukan?" teka Ayuni tersenyum.

"Itu satu hal. Tapi ada satu gosip yang amat dahsyat," celah Junaidah.

"Apa?" Ayuni hairan. Ada lagi? Macam serius saja.

"Dengar kata, Madam Lee nak jual hotel ni," Suzana terus memberitahu point penting. Tiada berkias lagi. Tiada bahasa bunga-bunga. Straight to the point.

Memang haruslah Ayuni yang tak tahu apa-apa itu terkejut. Nasib baiklah dia tak mengandung, kalau tak dah terberanak di situ dengar berita yang mengejutkan itu. Mustahil dia tak terkejut. Kalau hotel lain, dia boleh dengar masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. Tapi ini mengenai hotelnya bekerja. Sudah tentu dia terkejut beruk.

"Eh...takkanlah. Madam Lee sayang dengan hotel ni. Dia yang bina hotel ni sampai berkembang besar, takkanlah semudah tu dia nak jual pada orang lain," Ayuni cuba menapis berita itu. Lagipun awal-awal lagi Junaidah kata gosip. Kalau gosip belum tentu lagi ada kebenarannya.

"Itulah... kami pun tak percaya pada mulanya tapi gosip ni dah tersebar. Dengar kata orang HR sendiri yang confirm yang ni bukan gosip semata-mata," tambah Hayati.

Orang HR...

Memang tak berguna!

Orang HR sepatutnya simpan rahsia walaupun berita itu benar. Bila orang HR dah cakap dan confirm, sudah tentu-tentulah ada 70 peratus kebenarannya.

"Dengar kata hotel kita ni mengalami kerugian sejak GST diperkenalkan. Bonus tahun lepas pun sikit. Kalau betul-betul Madam Lee nak jual hotel ni... apa pula nasib kita seterusnya?" Hayati mula gusar.

"Aku dengar hotel-hotel yang besar pun dah mula kurangkan pekerja. Kalau hotel besar lima bintang pun ada masalah, apatah lagi hotel empat bintang macam kita ni," tambah Suzana lagi.

"Korang jangan risaulah. Gosip je tu," balas Ayuni bukan saja cuba menyakinkan mereka tetapi dirinya juga.

"Aku pun harap macam tu juga tapi aku tak sedap hatilah. Macam mana kalau Madam Lee betul-betul nak jual hotel ni kepada orang lain? Mana kita nak pergi lepas ni? Sekarang ni zaman gawat, bukan senang nak cari kerja!" Junaidah juga panik.

"Kau rapat dengan Madam Lee. Dia ada beritahu kau apa-apa ke?" tanya Hayati.

"Aku belum jumpa madam lagi."

"Kalau betul dia nak jual hotel ni, kau pujuklah dia. Kami tak nak bos baru."

Ayuni senyum saja. Kalau betul Madam Lee nak jual hotel ini kepada orang lain, rasanya dia orang pertama yang akan letak jawatan selepas hotel ini bertukar bos. Dia bertahan kerja di sini pun sebab Madam Lee. Suasana kerja di sini sudah tak sama seperti dulu. Lebih-lebih lagi pihak pengurusan yang kucar-kacir di bawah pentadbiran Mr. Lim.

Hancur!

Tiba-tiba telefon di meja Ayuni berbunyi. Ayuni menjawab panggilan itu.

"Cik Ayuni, Madam Lee tunggu cik di café sekarang," ujar satu suara. Sudah lama juga dia tak dengar suara PA kepada Madam Lee itu.

"Okey, saya turun sekarang," Ayuni segera letak kembali genggang telefon. "Kalau ada orang cari aku, cakap aku turun bawah jumpa Madam Lee."

"Sekarang? Bagus... Ingat tau pesan aku. Kalau betul Madam Lee nak jual hotel ni, kau pujuklah dia ya."

"Jangan risau. Kalau Madam Lee nak jual hotel ni, biar aku beli. Biar aku jadi bos kau orang!" balas Ayuni berseloroh.

"Ceh! Kau ingat beli hotel macam beli baju?"

LELAKI PALING BAHAYAWhere stories live. Discover now