NEW: Introducing Tap. Addictive chat stories for your 📲 Now in 10 languages
DOWNLOAD NOW!

PROLOG

26 1 0

Buana Hampir Tiba di Melliana Pertama, 998 Masihi

Bandar metro yang dibangunkan oleh tenaga keseluruhan warganya kira-kira sepuluh dekad yang lalu musnah dalam masa satu malam sahaja. Berlokasi di tanah tinggi utara pulau Jawa, Kalingga menjadi mercu tanda pusat kerajaan yang bertamadun. Kerajaan-kerajaan lain juga wujud yang saling berkerjasama membentuk sebuah tatakelola dunia - sebuah pentas dunia di Nusantara.

Di sisi barat laut Dinasti Tang dari suku kaum bermata sepet memerintah, manakala di barat di Timur Tengah, panji-panji Islam berkibar dan berkembang pesat meniup sebuah tamadun baharu kemanusiaan. Muhammad, manusia ummi utusan Allah sudah wafat. Kini para penganutnya tegar meneroka dunia baharu yang masih misteri di mana-mana. Gersang padang pasir bukan penghalang usaha menyeru manusia agar kembali ke sembahan asal di alam roh. Justeru Kalingga turut menerima cahaya Ilahi yang kudus.

Walaupun tiada paksaan dalam beragama, detik hatinya.

Pusat kota sebuah kerajaan - Kota Kara Kalingga - adalah mercu tamadun manusia dalam Empayar Kalingga. Rekabentuknya maju tatkala Eropah masih berada dalam kegelapan. Di tengah-tengah bandar, sebuah binaan ibadah dibina dari ikatan bebatuan dengan menara tengahnya melebihi lima ratus kaki. Di sekitarnya, banyak premis perdagangan, rumah kediaman dan pasar-pasar makmur dengan aktiviti kehidupan.

Semua binaan itu dibentengi oleh tembok setinggi empat belas kaki, menjangkau lebih sembilan batu luasnya. Di luar tembok agam itu, terdapat parit sepanjang empat ratus ela yang menjadi pelindung tambahan. Namun ... usaha jerih manusia di sini tidak cukup untuk menghalang gerembolan musuh yang datang.

Siluman menyerbu melalui gapura pelik yang wujud atau dirangka di muka planet ini. Kabut tebal menyaluti bandar dan tanah lapang di sekelilingnya. Setrusnya, tiada manusia yang berani memasuki ke dalam kabut itu selama hampir dua ratus tahun. Warga penduduk yang masih ada untuk pertahankan bandar tidak pernah melihat wira-wira mereka keluar dari situ.

Orang yang masih tinggal, yang terselamat dari serangan gerembolan Siluman, gigih berusaha membina kembali kerajaan di bahagian selatan. Lalu terbinanya Kara Sima, ibukota terakhir kerajaan Kalingga. Ia dibentengi binaan khas sebagai pelindung kediaman orang alim, pegawai istana dan tentera, serta bangunan pentadbiran kerajaan. Mereka cuba memulih kembali mercu tamadun terdahulu. Tetapi tinggalan kerajaan itu tidak kukuh seperti sebelumnya, sedia melalui era kemusanahan total.

Leluhur orang-orang Kalingga pada suatu masa berwisata hampir separuh dunia untuk mengelak daripada hambatan Siluman. Untuk banyak generasi kemudiannya, mereka dapat menyekat gerakan pasukan yang musnahkan pertiwi asal, sehingga gapura baharu terbuka di atas bandar mereka. Tanah pertiwi mereka menjadi legasi manusia purba yang mengetahui rahsia Siluman dan satu kumpulan makhluk berakal. Rahsia keturunan mereka telah dilupakan atau hanya diingati sekadar sebagai mitos bangsa.

Di pinggir kabut tebal yang dibentuk oleh Siluman, seorang lelaki bernama Arnawama berdiri di lokasi pos jaga diperbuat daripada blok-blok besar bebatuan yang diikat kukuh. Pondok jaga itu dibina cukup tinggi di atas rabung menghadap kabut. Tetapi kini, kabut yang asalnya berputar dengan warna abu-abu campuran kekuningan, telah berubah kepada sangat gelap. Ia semakin mampat tidak seperti mana dilihat semenjak marga bertempiaran lari dari Kota Kara Kalingga.

Arnawama menyorot pandangan merentasi hutan ke kabut pelik itu.

"Itu bandar leluhur aku," katanya perlahan untuk diri sendiri.

Dia menderam marah. Hanya deraman dalam ... sedalam rasa amarah yang sekian lama terpendam. Dia seorang ahli ibadah dan pangeran kraton berketurunan ningrat, dilengkapi dengan banyak pengetahuan yang tersimpan dalam puing-puing reruntuhan tamadun Kalingga, juga diketahui oleh Siluman dan Al-Hin - kumpulan makhluk berakal ciptaan Allah. Namun sayangnya ... dia masih tercari-cari, pengetahuan misteri itu tidak lengkap.

Chronicle Viking MelayuRead this story for FREE!