NEW: Introducing Tap. Addictive chat stories for your 📲 Now in 10 languages
DOWNLOAD NOW!

Bukan Berhijab

19 0 0


Pelbagai kekuatan magis dan kejadian tidak masuk akal menjadi latar peristiwa manusia mencari nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Betapa kejahatan, penguasaan ilmu mistik dan kekuatan magis yang disalahguna, kebejatan masyarakat mengejar kemasyuran dan onar penguasa haloba dibenteras.

Manusia-manusia hebat dan sakti menerawang di segenap penjuru Konstantinopel.

Abad ke-15 Masihi

Syeikh Aq Syamsuddin bukan sekadar menjadi guru pakar dalam pengajian al-Quran, sunnah Nabi Muhammad dan fikah Islam sahaja, bahkan beliau adalah ulama bahasa yang bertanggungjawab mengajar Sultan Muhammad bahasa Arab, bahasa Parsi dan bahasa Turki semasa beliau berada di Manisa.

Beliau seorang ulama yang nasabnya bersambung kepada Khalifah Abu Bakar as-Siddiq dan pengetahuan anugerah dari Allah tidak terbatas dalam dimensi duniawi satu lapis sahaja. Wawasannya luas, seorang yang menghafal al-Quran pada usia tujuh tahun.

Syeikh Aq Syamsuddin juga pakar dalam ilmu matematik, ilmu falak dan ilmu sejarah. Beliau menunjuk ajar Sultan Muhammad dengan tekun dalam membuka minda baharu dan strategis Al-Fateh dalam misinya menawan Konstantinopel.

Ulama ini juga mengajar Sultan Muhammad seni peperangan dan asas-asas syariah dalam pertempuran, helah dalam memenangi pertempuran dan bagaimana mengisi kemenangan.

Beliau termasuk salah seorang ulama yang membimbing Sultan Muhammad ketika putera Sultan Murad II ini mentadbir wilayah Manisa untuk belajar tatacara pemerintahan dan pokok-pokok ilmu pentadbiran.

Beliau turut menjadi pakar motivasi, orator fuqaha yang hebat yang membakar semangat muda Sultan Muhammad. Syeikh Aq Syamsuddin bukan hanya mempunyai keilmuan yang luas dalam agama dan penyucian jiwa sahaja, bahkan pada masa yang sama sangat ahli dalam perubatan herba.

Hingga kemasyhuran beliau dalam bidang perubatan herba menjadi bualan kalangan warga Uthmaniah. Ada yang menyatakan, "Sesungguhnya tumbuh-tumbuhan itu sedang berbicara dengan Syeikh Aq Syamsuddin."

**********

Mereka meneruskan janji setia bertemu, dan bakal berpisah kembali. Dua sahabat - Laksamana Setia dan Laksamana Samudera - sudah mengharungi pelbagai mehnah dunia angkara sang Taghut durjana.

Wali Sutera menerima kehadiran kedua-dua anak didiknya itu. Di kala mereka kecil dan remaja, segala ilmu sudah dicurahkan. Kini mereka berpencak kembali di gelanggang yang berpuluh tahun menjadi arena tempur dalam memantapkan jurus-jurus ajaib dunia persilatan Melayu.

Wali Sutera bertafakur. Sangat khusyuk sehingga jiwanya terpisah dari jasad. Yang ada hanya sekujur tubuh mantap bersila tegap. Kedua-dua pahlawan itu - Laksamana Setia dengan keris Syahadah di pinggang dan Laksamana Samudera dengan pedang Wahdaniyah di belakang - sedikit kaget. Namun sebentar cuma, mereka berdua tersenyum senang.

Tidak semena-mena sekitar gelanggang didatangi kabus tebal entah dari mana. Laksamana Setia dan Laksamana Samudera mengambil langkah berjaga-jaga. Desiran angin juga melaju. Mereka tetap berdiri tegap tanpa bergerak, siap siaga, memasang deria telinga dan deria mata hati.

Sebaik kabus tebal sirna, terpacak dua tubuh di hadapan mereka - Nabi Khidir dan Sekandar. Tuan Guru Wali Sutera terus menyalami Nabi Khidir. Perbuatan guru itu diikuti oleh kedua-dua orang anak muridnya. Sekandar juga bersalam-salaman mesra dengan ketiga-tiga hamba Allah di dunia Melayu itu.

Pertemuan penuh ukhuwah di Aceh, di laman pendekar Wali Sutera itu sudah ditakdirkan di langit. Mereka berbual-bual mesra seolah-olah sudah lama mengenali satu sama lain. Melayu dengan tertib Melayunya, sedangkan Sekandar yang sudah biasa mengembara memahami sedikit sebanyak budaya wilayah-wilayah sebelah Timur ini.

Janji setia dipatri bagi membantu Sultan Muhammad Al-Fateh membebaskan kota Konstantinopel. Di waktu itu kecamuk perang jihad semakin membara di sana. Nabi Khidir berhubung dengan Syeikh Aq Syamsuddin, murabbi Al-Fateh.

Syeikh Aq Syamsuddin adalah Al-Fateh kedua - selain Sultan Muhammad. Beliau ialah Wali Allah yang tinggi ilmunya, anugerah dari Allah tidak terbatas dalam merentas dimensi. Mereka bertemu dan bercakap-cakap di sebalik dinding yang sedikit terhijab, berbalam-balam.

"Syaitan dan iblis dengan pimpinan Taghut durjana turut membuat onar di Konstantinopel, membantu bala tentera Byzantine," kata Syeikh Aq Syamsuddin.

Justeru kelima-lima mereka bergerak dengan bantuan Nabi Khidir menuju ke Konstantinopel bagi membenteras kejahatan dunia gelap itu. Jihad diteruskan.

**********

Parameswara yang membuka Melaka memeluk Islam lalu memakai gelaran Sultan Iskandar Shah. Puterannya Sri Maharaja menukar namanya kepada Sultan Muhamad Shah dan seterusnya Sultan Abu Syahid, Sultan Muzafar Shah, Sultan Mansor Shah, Sultan Alauddin Riayat Shah dan Sultan Mahmud Shah.

Ketika itu sudah wujud hubungan baik antara Melaka dengan Turki Uthmaniah, malah Kerajaan Melayu Melaka bernaung di bawah Khalifah Uthmaniah. Kerana itu nama-nama Sultan Melaka dipengaruhi nama-nama sultan Uthmaniah. Malah tulisan jawi juga dipengaruhi tulisan Uthmaniah.

Sultan Muzafar Syah mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negara. Pendakwah-pendakwah Islam dihantar oleh Sultan ke seluruh Kepulauan Melayu seperti Jawa, Borneo dan Filipina. Sebahagian besar penduduk Asia Tenggara pada ketika itu beragama Hindu. Justeru sinar agama wahyu subur berkembang di Nusantara.

Apabila Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya menakluk kota Konstantinopel pada tahun 1453, maka Sultan Muzaffar Shah yang memerintah Melaka dan jajahan takluknya telah menyuruh imam-imam di masjid mendoakan kejayaan Sultan Muhamad Al-Fateh dalam khutbah Jumaat.

HIJAB KEMBARA [Kritik-Puisi-Certot-Cerpen]Read this story for FREE!