12D - BAB 1

14.3K 1.2K 497
                                    

"Sebelum menjelangnya hari esok." -Yang Yena.

            "APAKAH lelaki itu fikir yang dia malaikat?" Satu kata hati memulakan sebuah perbualan sunyi dalam sepi.

            Terkelip perlahan sepasang mata bening. Dua ulas bibir perlahan-lahan terbuka kecil, menjawab dalam lenggok metafora.

            "Tak. Dia adalah tipikal lelaki tahun 1980 berhati dingin yang sampaikan tentangan dan amaran pelik melalui sepucuk surat. Supaya dia tak perlu buat perkara yang dia paling benci... berjumpa dan bertentang mata dengan seseorang yang dianggap sebagai pengganggu hidup dia."

            "Dan pengganggu itu adalah kau... Yang Yena."

            "Ya, aku..." perlahan sebuah pengakuan terungkap. Elok-elok keluhan berat ingin terlepas, pantas muncul lagi suara hati.

            "Sekarang, kau pun dah jadi perempuan 1980-an yang balas semula surat dia dengan sepucuk surat juga. Tapi, kau yakin yang lelaki tu benar-benar dah baca surat balasan kau dan tahu yang jawapan sebenar kau adalah bertentangan dengan jangkaannya?" Untuk kali ini, terjatuh aku dalam jerat soalan suara hati sendiri.

            Terkedip-kedip kelopak mataku, cuba mencari jawapan dalam minda bercelaru.

            "Ya, dia dah baca surat tu." Mulut berkata penuh kepastian sementara naluri keras menafikannya.

            "Atau dia hanya abaikannya dalam peti surat rumah dia. Biarkan anai-anai makan persetujuan ikhlas kau tu sampai reput. Kerana balasan daripada kau adalah tanda kau 'tak setuju' dengan perkahwinan ni. Itu apa yang dia katakan dalam surat daripada dia sendiri."

            Aku benar-benar terdiam dalam tersentap.

            "Yakin itu bagus. Tapi, jangan sampai keyakinan yang tak terbatas buatkan kau, satu keluarga dan semua tetamu membeku dalam kedinginan musim salju gara-gara menantikan kedatangan pengantin lelaki yang tak muncul-muncul di majlis perkahwinan esok. Lebih banyak hati yang akan terluka. Lebih banyak memori buruk yang akan tercipta." Hati berkiasan tajam.

            Mematikan kata-kata zahirku. Gemap diri di dalam cengkaman kekeduan. Seolah-olah tersedar akan banyak perkara terpenting yang selama ini bersembunyi di sebalik dawai-dawai keserabutan.

            "Jadi, patutkah aku pergi berjumpa dengan dia secara depan-depan?"

            "Ya, itu yang sepatutnya kau buat sebelum terlambat."

            Sebelum terlambat...

            Pandangan terkandung menungan berat terhala lurus tanpa arah. Seketika lama masa diambil untuk satu kedipan menandakan interaksi demi interaksi dengan fikiran. Sesekali ibu jari menguit kecil. Terdengar bening corong telinga melayan degupan jantung berentak normal. Satu-satunya muzik latar belakang ketika jauh menyelami ke dasar fikiran.

            Berdetik-detik berlalu, sehelai kertas setia berada di pegangan tangan kanan perlahan-lahan aku angkat separa. Kepala menunduk. Lalu mata menjatuhkan pandangan pada tulisan indah yang ditulis begitu kemas. Ayat-ayat tersusun sempurna di dalam satu perenggan, aku baca.

            Buat kesekian kali, di lubuk hati.

Yang Yena-ssi.

Aku perkenalkan diri aku, seorang lelaki yang tak patut didekati dan dikenali. Ada lima perkara penting aku akan cakap dalam ni. Pertama, kau setuju berkahwin dengan aku bermakna kau setuju untuk tanggung bebanan berat pada setahun akan datang. Kedua, keputusan mengahwini aku hanya akan memburukkan masa depan kau. Ketiga, mungkin juga akan memusnahkan terus hidup kau. Keempat, masih banyak lagi masa untuk kau buat keputusan yang betul. Jadi, gunakan malam-malam kau dengan sebaik mungkin untuk buat keputusan terbaik. Terakhir, balasan daripada kau merupakan tanda kau 'tidak setuju' dengan perkahwinan ni dan aku amat hargai keputusan sebegitu. Tapi kalau tiada balasan daripada kau, itu aku akan anggap sebagai tanda kau 'setuju'. Dan, aku ucapkan selamat datang ke dunia perkahwinan yang penuh dengan bebanan maha hebat.

-Kim Taehyung-

            Selagi aku tidak bersemuka dengan seorang lelaki bernama Kim Taehyung, ternyata hati dan fikiranku kekal terperangkap dalam kegelisahan. Sejak tiga hari lepas hingga hari ini, semua yang aku lakukan serba tidak kena.

            Terlampau banyak persoalan merampas hak ketenangan batin hanya disebabkan fikiran masih tidak menemui jawapan. Seteruk manakah kehidupan seorang Kim Taehyung sehingga dia sanggup memaksudkan sebegitu di dalam suratnya? Benarkah terlalu teruk sehingga mampu memusnahkan hidup aku juga? Apakah dia seorang lelaki yang punya dosa lebih besar daripada dosa ketua syaitan? Atau... dia seorang pembunuh?

            Ah, ini bukan drama. Ini realiti. Mana mungkin seorang pembunuh memiliki jiwa 1980-an.

            "Tapi, mungkin bagi seorang psikopat?" bunyi suara hati, tiba-tiba.

            Dalam diam aku tersentak. Kedua-dua belah mata semerta membundar besar.

            "Jadi, dia psikopat?" mulut menyoal diri sendiri dalam nada bingung.

            "Ah, lurus bendul betul kau, Yang Yena. Mana ada psikopat yang tolak mangsa dia dengan beri amaran awal-awal supaya jangan kahwini dia. Dan tak juga psikopat beri amaran dalam sepucuk surat yang bertulisan secantik tulisan tangan penulis diari terdahulu."

            Pukul suara hati sebelum ia benar-benar memberi pukulan lebih hebat padaku.

            "Seorang psikopat, dia akan berpura-pura bersikap manis dengan kau pada awalnya sampai kau dan dia berkahwin. Dan mungkin saja dia tak akan tunggu lebih lama untuk dia mulakan langkah bunuh kau. Tiba malam pertama perkahwinan, dia akan terus bunuh kau dengan kejam. Untuk dia cipta tragedi paling tragis dalam hidup keluarga kau. Itu baru psikopat. Bukan macam seorang Kim Taehyung yang perasan dirinya adalah lelaki teruna yang paling mahal di daerah Seoul ni. Dasar sombong!" Sekali lagi.

            Benar, semua itu benar sekali. Aku setuju.

            Lelah mencipta pelbagai spekulasi dan tanggapan, lambat-lambat aku mengangkat kepala. Berpaling tenang ke sebelah kiri. Saat menebarkan pandangan polos, serentak tumpuan ditangkap satu objek yang berdiri berdekatan pintu gelangsar bilik tidur. Terpaku tepat padanya.

            Satu set lengkap persalinan berjahitan jenama mewah tersarung kemas di sebatang penggantung kayu tanpa kepala. Berpotongan langsing seperti jam pasir dari bahagian bahu hingga punggung. Bermula dari paras punggung pula, kainnya labuh hingga hujung kaki lalu bergabung dengan lebihan ekor kain yang meleret sedepa di belakang. Tidak kembang bagai potongan A. Sekadar terlepas lurus ke bawah dalam alunan lurus semula jadi.

Di hujung lengan, dihiasi manik-manik halus dalam sentuhan reka bentuk sederhana. Keseluruhannya dari atas sampai bawah, hanya mengekalkan kesucian dan kemurnian warna putih. Kosong tanpa sebarang manik bergemerlapan. Sederhana namun tampak anggun dan manis. Serta di belakang persalinan, terletak sehelai lace cathedral veil yang lebih panjang meleret.

Bersama-sama diterangi pancaran cahaya matahari yang menembusi masuk menerusi pintu gelangsar kaca, membuatkan ia berdiri penuh elegan di situ.

            Gaun pengantin.

            Dalam kekeduan, lama mata hati merenungnya tanpa berkedip. Semakin galau seribu jenis perasaan dalam ruang hati. Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata menyebabkan mulut membisu. Kembali aku tunduk menatap sehelai surat tersisip penuh makna di tangan.

            Banyak perkara, beraja di fikiran. Banyak keinginan, mendesak jiwa. Dan banyak perasaan, menguasai hati. Sebelum terlambat, aku perlu berdepan dengan Kim Taehyung untuk mendapatkan kepastian terakhir daripada dia dalam apa jua cara.

            Ya, sebelum menjelangnya hari esok.






🤍
إن شاء الله
(Dengan izin Allah.)

1 2  D I S E M B E RWhere stories live. Discover now