Kembara 3 Pagi

1.9K 97 11
                                    

Hamid sedang fokus bermain permainan video apabila telinganya menangkap bunyi aneh dari tingkat bawah. Jam dinding dikerling, 3 pagi. Hamid berpaling semula ke arah televisyen. Pause. Biasanya Mama pulang ke rumah pada waktu-waktu begini, dalam keadaan mabuk. Hamid sudah serik basuh muntah jika dibiarkan Mama di tingkat bawah. Mama akan tidur di mana-mana sahaja dan seperti biasa, berlumuran muntah dan bau arak. Kali ini Hamid akan bawa Mama tidur di biliknya.

"Mama?" Hamid berhenti menapak turun.

Dia membongkok dan mengecilkan mata. Fokusnya pada pintu rumah. Tertutup rapat. Hatinya dijentik ketakutan, namun ego lelakinya menyuruh dia untuk turun dan jenguk.

"Mama dah balik?" pertanyaannya hanya berbalas gema.

Secara tiba-tiba ada bunyi botol kaca bergolek dari dapur. Golekannya perlahan sebelum berhenti apabila terlanggar sesuatu. Mungkin dinding. Hamid pasti itu Mama. Langkah kakinya diteruskan menapak turun anak tangga satu persatu, sehinggalah menjejak lantai. Keadaan kembali sunyi sepi. Tiada walau bunyi cengkerik sekalipun. Hamid toleh ke kiri dan kanan walaupun dia sendiri tidak tahu kenapa dia berpelakuan sedemikian. Bukannya dia hendak melintas jalan pun. Bau busuk menusuk hidung. Hamid meraba-raba dinding mencari suis lampu.

Jumpa. Klik! Gelap.

Klik! Masih gelap.

"Aik? Takde karen ke?"

Bunyi botol kaca kedengaran sekali lagi, kali ini lebih banyak yang jatuh bergolek dan bunyinya lebih kuat. Hamid menoleh ke arah dapur yang diselubungi kegelapan. Poket seluarnya diraba untuk mencapai henfon. Ah! Hamid lupa dia sedang cas henfon di dalam bilik. Hamid mahu naik ke atas semula untuk mendapatkan henfon apabila suara Mama kedengaran.

"Hamid...." suara Mama kedengaran sayu.

Hamid berjalan terus ke dapur namun dengan penuh berhati-hati.

Dapur kosong. Tiada Mama. Hanya ada longgokan sampah yang berterabur di sudut dapur dan tong sampah yang terbaring.

"Mama?" kali ini suara Hamid bergetar sedikit. Jadi siapa yang panggil dia sebentar tadi?

Mungkin aku salah dengar, Hamid pujuk hati sendiri. Tanpa berlengah, dia terus mengemas dapur. Pasti ini kerja Prego, kucing belaannya. Sedang Hamid membasuh tangan di sinki, ekor matanya seolah-olah menangkap kelibat sesuatu merangkak laju ke ruang tamu. Hamid kaku. Air mengalir terus. Adrenalin mengalir laju.

"Prego? Meow meow...?"

Sunyi.

Hamid tutup singki dapur. Dia rasa ada yang tidak kena. Shit. Bulu romanya berdiri tegak. Suhu secara tiba-tiba turun mendadak. Sejuk. Dan bertambah sial buat Hamid apabila kipas silingnya berpusing perlahan. Cahaya dari tingkat atas membiaskan bayang-bayang siling kipas di dinding ruang tamu. Bilah kipas berpusing betul-betul perlahan dengan bunyi berkeriut seperti besi berkarat. Hamid merenung tajam kipas siling itu. Dan perlahan-lahan, ada rambut panjang beruban turun tergantung dari salah satu bilah. Hamid toleh melihat bayang-bayang di dinding. Hanya kipas siling. Hamid toleh semula ke arah kipas siling. Rambut panjang itu turut sama berpusing perlahan. Terlalu perlahan. Dan dari balik rambut itu, ada wajah paling mengerikan yang Hamid pernah lihat dalam hidupnya.

Pipi makhluk itu cengkung dengan mulut ternganga mengeluarkan cecair nanah. Kedua-dua soket mata makhluk itu kosong. Kulitnya pula sudah pucat dan kelihatan reput.

Hamid terus menjerit dan berlari naik ke tingkat atas. Dia langsung tidak menoleh ke arah kipas siling namun sebelum dia sampai di tingkat atas, ekor matanya menangkap tubuh kurus kering seorang perempuan merangkak turun dari atas kipas tersebut.  Dan terus merangkak laju mengejarnya.

Sebaik sahaja Hamid masuk ke dalam bilik, pintu dihempas kuat. Hamid hanya tinggal dengan Mama semenjak arwah ayahnya meninggal dunia. Hamid anak tunggal, jadinya sekarang ini dia memang betul-betul seorang diri. Hamid kunci pintu bilik sebelum lompat ke atas katil dan baring berselubung selimut. Dia baring menghadap dinding dan matanya ditutup rapat. Bunyi pintu dicakar semakin lama semakin kuat sebelum akhirnya berhenti secara tiba-tiba.

Dan apabila Hamid fikir yang gangguan itu sudah berakhir, pintu biliknya terbuka perlahan-lahan. Angin sejuk menghembus masuk ke dalam bilik. Hamid menekup mulut dengan tangan, cuba untuk tidak membuat sebarang bunyi.

Hamid...

Makhluk itu merangkak perlahan ke arah Hamid yang sedang terkumat-kamit membaca ayat-ayat Al-Quran. Bacaannya tunggang langgang.

Hamid...

Hamid membaca Ayat Kursi kuat-kuat. Masih tunggang-langgang.

Senyap.

HAMID!!!!

Makhluk itu memuntahkan nanah dan darah ke atas tubuh Hamid yang berbalut selimut. Dan dari bawah katil, ribuan ekor semut merangkak naik dengan laju menghurung tubuh Hamid.

###

Jam 5 pagi.

Sheila pulang lewat malam ini, separa mabuk. Langkahnya diatur penuh kesusahan untuk menapak menaiki anak tangga. Sesekali Sheila jatuh terduduk lalu muntah. Sampai sahaja di tingkat atas, Sheila berjalan ke bilik anaknya yang terbuka luas.

"Hamid? Hamid dah tidur?"

Sheila jenguk ke dalam bilik anaknya. Suis televisyen dimatikan, juga suis PS4 yang dibiar hidup oleh Hamid. Sheila mengangkat Hamid yang tidur berselubung selimut di atas lantai ke atas katil. Sheila kemudiannya tutup pintu bilik, dan beredar masuk tidur.

Tidak dia tahu, wajah Hamid yang terselindung di balik selimut sudah hanya tinggal daging. Dan dihurung ribuan semut.



TAKUT HANTU 3Where stories live. Discover now