Bab 1 : Sweet Dreams

32.3K 329 34

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Bab 1

Mata masih merenung kanvas kosong berwarna putih yang kemas diletakkan pada easel stand. Perlahan nafas ditarik panjang. Bebola mata masih kaku memandang namun fikiran ligat berputar. Mencari memori yang terselit di celah-celah saraf otaknya. Bukan terlupa, malah dia yakin dia boleh mengingat setiap inci lekuk dan tanda yang ada pada seraut wajah itu dengan baik. Cuma sekarang ini, keyakinan sedikit terganggu dengan debar halus yang bermain-main di dada.

Kalau bukan kerana mimpi yang dah seminggu mengganggu tidur malamnya, tak mungkin dia berperasaan begini. Jujur kata, kalau jiwa boleh menerbitkan beribu perasaan, setiap satu darinya dia sedang rasakan kini. Resah, gelisah, bimbang, keliru, penuh tanda tanya, dan entah apa perasaan lagi mengasak ke dada. Berebut-rebut mahu menyerabutkan fikirannya.

Masih berdiri kaku di depan easel stand, tanpa sedar bibir melepas keluhan. Berat saja bunyinya. Sama berat dengan kekeliruan yang dialami sekarang. Kalau tak dilepas apa yang membelenggu, dia yakin selamanya hidup dia takkan tenang. Fikiran dan otak seolah-olah gagal berfungsi buat seketika. Idea dan ilhamnya juga boleh lenyap entah ke mana. Tapi kenapa walau tak pernah dicari, tak pernah diseru, bayangan wajah itu tetap datang mengganggu?

Masih resah, tangan kanan naik melurut rambut yang kini sudah melepasi pangkal telinga. Tak terhenti di situ, jari bermain-main di atas bibir yang berkumis nipis. Persis seorang ahli ilmuan yang sedang berfikir jauh. Kemudian jemari yang tercalit cat kering turun pula melurut jambang di dagu.

So now Qash, where should we start? Suara hati mula menyoal. Soalan yang sama sejak beberapa jam lalu. Soalan yang berulang tanpa jawapan pasti.

Bebola mata bergerak pula ke tangan kiri. Sejak dari tadi dia memegang palet yang sudah siap diletakkan cat minyak berwarna hitam, kuning cair dan juga coklat gelap. Kuas di atas meja kecil di tepi easel stand dicapai. Perlahan kaki bergerak menghampiri kanvas kosong bersaiz 2000 sentimeter persegi itu. Sekali lagi dia kaku dan hanya memandang. Masih berbolak balik dengan keputusan sendiri.

Qash menarik nafas panjang. Dengan tenang kelopak mata ditutup. Saat ini fikiran dikosongkan, mengasing bayang dan anasir yang tak perlu. Bila hati terasa tenang, bertemu apa yang dicari, dia kembali membuka mata. Dan kali ini dia yakin dia mampu melakukan semua ini demi kepuasan sendiri.

Kuas di tangan kanan mula dicalit ke cat minyak berwarna hitam di atas palet. Dan kemudian Qash mula melakar di atas kanvas yang tadinya kosong, putih dan bersih. Tangan dilirik ke kiri, ke kanan, ke atas dan ke bawah. Pergerakan yang membuatkan tubuh tinggi lampainya turut sama sibuk bekeerja. Semuanya bergerak bagaikan magis.

Buat seketika seluruh dirinya bagaikan hilang. Hilang dalam dunia yang penuh dengan keasyikan...

******************

Bunyi pinggan berlaga kuat di atas meja makan memecah kesunyian di ruang bawah rumah teres dua tingkat itu. Spontan mata terbeliak ke dapur. Dah agak dah, mama memang tak kasi chance punya. Telinga mama tu ibarat telinga lintah. Bunyi perlahan pun dah alert, apa lagi kalau buat bunyi bising macam tadi. Memang cari pasal!

SWEET DREAMSWhere stories live. Discover now