"Nikho, kalau kau menghayunkan diri, kau rasa kau boleh capai tangan aku?" Aku hulurkan tangan pada Nikho, cuba mencapainya semampu yang aku boleh.

Nikho membeliakkan matanya, "Kau gila? Kau boleh jaminkah kau boleh tangkap aku? Kalau aku jatuh macamana? Dahlah tali ni nak putus!"

Berdesing telinga aku.

"Kau nak jatuh atau kau nak percaya aku? Kau pilih!" Aku bentak balik. Panas hati.

Nikho nampak mengigit bibir bawahnya. Sambil mendengus nafas kasar, dia mula menghayun-hayunkan tubuhnya. Tangan kirinya yang bebas digunakan untuk membantu untuk melajukan hayunan itu.

"Okay... Cuba capai tangan aku." Aku mempersiapkan diri.

"Kejap! Belum sampai." Nikho masih cuba menambahkan tenaga pada hayunannya itu. "Aku kira sampai tiga, tangkap tangan aku."

"Baiklah."

Nikho sedang berada di titik hayunan paling tinggi di sebelah sana.

"Kau tak dapat, aku bunuh kau!"

"Ya!"

Nikho yang tergantung terbalik itu umpama pendulum, meluru laju ke arahku. Aku fokus untuk menggapai tangannya.

Semakin dekat, semakin dekat… semakin dekat.

"Sekarang!"

Dan, aku tak berjaya menangkapnya. Hanya tersentuh hujung jarinya.

"Arash, aku bunuh kau!" Bergema jerkahan NIkho.

"Sekali lagi! Maaf!" balasku sedikit tergagap. Kerana percubaan kami yang gagal, Nikho terpusing-pusing dan terhayun-hayun dalam keadaan yang tak menentu. Aduh, mesti pening. Maafkan aku…

Apabila keadaan kembali tenang, muka Nikho betul-betul sudah keluarkan aura menakutkan. Mencerlung matanya merenung aku. Aku pula yang tertelan air liur sendiri sebab gentar.

Dia memandang tali yang hampir putus itu. Aku juga memandang tempat yang sama.

"Baiklah. Sekali… sahaja lagi."

Aku mengangguk. Tertelan liur lagi.

Nikho menghayunkan lagi tubuhnya seperti pendulum. Kali ini dia melakukannya dengan lebih agresif.

"Satu…." Nikho mula membuat perhitungan. Aku tahu aku perlu waspada. Ini kesempatan terakhir.  Ini peluang terakhir.

"Du…"

Ketika itulah juga, tali itu putus! Mataku terbeliak. Aku spontan melemparkan diri ke hadapan, demi mencapai tangan Nikho.

"Aaah!" Jeritan kami bersatu.

Senyap, masa bagai terhenti.

Aku buka mata dan nyaris menjerit lagi. Aku berjaya menangkap pergelangan tangan Nikho. Sedangkan, aku dalam keadaan condong 45 darjah dari gerigi sangkar. Nikho mendongak memandang aku dengan wajah yang ketakutan. Bila aku pandang ke belakang, Elyssa sedang menarik hujung jaketku dari dalam sangkar.  Kalau bukan dia, aku mungkin akan jatuh ke bawah!

"Kamu… berdua… berat!" katanya putus-putus sambil menarik aku rapat ke gerigi semula. Pipinya merah kerana berusaha menarik aku dan Nikho.

Sebaik sahaja aku sendiri berjaya berpaut dengan selamat, Elyssa mengikat hujung jaketku pada gerigi besi itu.

"Harap kamu tak kisah," kata Elyssa dengan nafas yang termengah-mengah.

"Terima kasih." Aku berbisik penuh kelegaan. Elyssa yang sudah terduduk keletihan hanya mengangguk perlahan.

Aku menggunakan segala yang aku ada supaya kedudukan aku di luar sangkar itu selamat dan kukuh. Aku melingkarkan kaki dan mengikat badan dengan tali pada gerigi besi itu tanpa melepaskan pegangan tanganku pada Nikho. Elyssa juga memeluk aku kuat-kuat dari belakang.

Setelah cukup bersedia, barulah kami berdua menarik Nikho ke atas.

"Kau takkan bunuh aku, kan?" usikku ketika Nikho berjaya bergayut sendiri di luar sangkar itu seperti aku. Spontan matanya menjeling aku.

"Diam dan putuskan belitan tali ini sekarang!"

Aku tersengih mendengar arahannya. Tapi, dalam hati cuma aku yang tahu betapa leganya aku. Aku mencapai kunaiku.

Mula-mula aku bebaskan tangan kanannya. Dengan kekuatan kedua-dua belah lenganya sahaja, dia mampu memanjat naik. Sambil naik, mulutnya keluar segala sejenis makian yang aku tak fahami. Aku tahan telinga saja sebab aku tahu, pengalaman tadi masih meninggalkan kejutan pada dia.

Aku potong pula tali yang membelit tubuh Nikho dengan berhati-hati. Semua tali yang diameternya dua sentimeter itu aku campak masuk ke dalam sangkar. Kalau ada apa-apa yang terjatuh di atas lantai, kemungkinan besar, ada perangkap lain yang akan terpicu.

"Baiklah, sudah selesai," kataku sambil menarik tali yang terakhir.

Nikho yang sudah sepenuhnya bebas menghembuskan nafas lega. Aku boleh nampak kulitnya merah-merah bekas belitan tali itu tadi.

"Jadi, sekarang apa yang aku kena buat?"

"Kau pergilah rehat di atas sangkar ini. Aku nak cuba keluarkan Elyssa pula."

"Aku nak tolong."

"Tak payah."

"Apa?"

"Tak payah!" ulangku tegas. "Kau nampak belum pulih lagi sepenuhnya. Tengok, dengan darah semua masih di kepala kau, aku yakin kau masih pening. Aku takut kau tiba-tiba terlepas pegangan kau dan jatuh ke bawah. Kau nak itu berlaku?"

Nikho nampak menggetapkan gigi. Aku bertahan dengan memasang wajah dingin walaupun dalam hati aku gerun kalau-kalau Nikho mengamuk ketika itu juga.

Akhirnya, Nikho mendengus.

"Yalah! Kalau apa-apa jadi pada kau, aku tak bertanggungjawab. Berlagak!" gerutunya. Dia memanjat naik untuk duduk di atas atap sangkar itu.

Oh, dia akur?

Elyssa ketawa melihat pertengkaran kecil kami.

"Pertama kali saya lihat kamu boleh mengarah-arahkan Nikho sedemikian rupa." Aku mengangkat bahu sambil tersengih. Aku pun terkejut sebenarnya.

"Baiklah. Sekarang giliran kamu pula untuk saya selamatkan." Aku memandang Elyssa.

Dia mendekati aku. Perlahan-lahan dia memegang palang besi yang sama yang aku pegang juga. Dia mendongak memerhatikan sangkar yang mengurung dirinya itu.

"Tapi macamana? Sangkar ini tak ada pintu. Bentuknya seperti kuntum bunga. Satu-satunya cara untuk saya bebas ialah dengan membuka cantuman 'kelopak bunga' besi ini. Itu mustahil..."

"Ah, sudah..." Kepalaku serta-merta kosong. Rancangan yang aku fikirkan tadi tak boleh dipakai!

Sekarang, apa aku nak buat?!

🌅🌅🌅

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Inilah sambungan update pada sekian-sekian orang yang minta.
Terlalu ramai, lol.

Sorry guys. I am kinda too busy. Sebabnya ada 3 kerja penulisan yang aku kena jalankan serentak bulan ni.
Tapi, alhamdulilah... enjin dah panas balik sebab aku tengah sertai 1NKFINITY 30KWriCon. Rajin-rajin aku update lagi. Tapi tak janji. Hahaha.

This is Niemza,
Roger and out!

𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒Where stories live. Discover now