Kesilapan Teknikal

1.4K 189 25
                                    

"Sebenarnya seberapa jauh lagi perjalanan kita?" tanyaku kepada Raizhan.

"Dua hari lagi perjalanan mungkin?" balas Raizhan acuh tak acuh. Matanya masih tertutup. Dia menyandarkan tubuh dengan selesa di celah cabang dahan pokok yang tidak jauh dariku. Sesekali dia membetulkan letak lengannya yang menjadi bantal.

Kami berempat sedang berehat. Seperti biasa, untuk menghilangkan rasa letih.
Namun, kali ini tempat berehat kami sedikit unik. Bukan mendarat di atas tanah macam biasa. Tapi bertenggek di atas pokok!

Aku dan Elyssa mulanya tak setuju. Tapi, akhirnya kami terpaksa akur dengan alasan mereka berdua.

Kata mereka, dengan duduk di atas pokok begini, kami berempat selamat daripada serangan musuh atau gangguan haiwan buas.

Aku betulkan dudukku. Tanganku rasa berpeluh dingin sebab tak lepas genggaman pada cabang dahan dari tadi.

Janganlah kau patah wahai dahan pokok. Aku sudah tak takut tinggi lagi. Tapi, dalam keadaan yang mempunyai potensi besar untuk jatuh begini, aku memang rasa gayat!

"Raizhan kenapa pilih berehat atas pokok, tak mendarat atas tanah macam biasa?" Tanyaku perlahan. Takut mengejutkan Nikho. Dia sudah enak tidur dalam posisi paling selesa di antara dahan pokok pilihannya. Elyssa juga sudah melelapkan matanya dalam buaian yang dibuatkan Raizhan.

Raizhan pandang aku sekilas. Dia mendesah sebelum berkata, "Kita dah semakin hampir dengan check point pertama. Semua pemain tak kira dari mana tempat mereka bermula, semua akan menuju ke sini. Sebab peserta permainan kali ni ramai, kita kena kalahkan mereka di tengah jalan. Barulah kurang sikit pesaing kita nanti. Kali ini, kita pula yang buat serang hendap."

"Err... tak bolehkah kalau kita tak perlu menjatuhkan orang lain? Kita bersaing secara sihat?"

Raizhan bingkas bangun lalu merenung aku. "Aku betul-betul tak faham apa yang ada dalam fikiran kau Arash.
Bersaing secara sihat? Kau fikir dalam dunia semua orang macam kau?"

Aku tergamam mendengar kata-katanya.

"Kau jangan terlalu naif, Arash! Jadi terlalu baik semasa semua orang lain jahat, bagi aku itu bodoh!"

"Saya cuma tak mahu mencederakan sesiapa lagi! Apa yang saya mahu cuma selesaikan permainan ini dan pulang!" luahku sama tegas. Nikho nampak tersentak sedikit kerana ketinggian suaraku. Tetapi, dia tak terjaga. Aku terus mengemam mulut. Lega.

"Kalau betul kau tak mahu cederakan sesiapa, kenapa kau masih gigih berlatih pedang?"

"Sa-saya..."

"Ah, sudahlah Arash... berhentilah jadi begini. Aku dah cakap berkali-kali pada kau, ini cuma permainan! Buatlah sesuka hati kau di dunia VR ini. Kalau kau tak membunuh pemain lain,kau yang akan terbunuh. Itu peraturannya! Lepas tu, bila kau terjaga nanti, semua ini akan jadi mimpi!" kata Raizhan dengan nada bosan.

"Tapi, walaupun permainan, bunuh-membunuh begini tak berperikemanusiaan, Raizhan..." keluhku lemah.

"Heh, kemanusiaan tak ada ertinya dalam dunia VR, Arash. Macam aku tak tahu, kau berlatih pedang pun sebab kau tahu, kau akan membunuh juga. Kau pun nak bertahan hidup. Hak kau nak hidup dan survival, apa salahnya kau perjuangkan? Semua orang dalam dunia ni jaga hak masing-masing untuk hidup. Siapa yang lemah tak layak menentukan caranya untuk hidup!"

Aku terdiam mendengar hujahnya. Kenapa ia kedengaran rasional sampai aku tak dapat menyanggah? Jauh di dalam hati, aku menolak sistem hidup begini. Ini tak betul. Ini salah!

"Kalau kau nak tahu, manusia yang terdesak untuk hidup akan bertindak lebih daripada haiwan. Jadi, aku cadangkan lebih baik kau simpan dahulu semua kemanusiaan kau itu."

𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒Where stories live. Discover now