Langkah Sera terhenti apabila dua biji tembikai susu muncul di hadapan matanya. Ya, tembikai susu. Sera mendongak dan pandangannya disajikan dengan wajah barbie doll dan buah dadanya yang mendapat bantuan baju dalam push-up Victoria Secret. Satu keluhan meluncur keluar dari mulut Sera. Kalau tidak berhadapan dengan Chichi, memang tidak sah.

"Apa khabar Serai Halia? Masih berusaha kurangkan hm ... apa kita panggil benda tu, girls?" Chichi perhati Sera atas bawah sambil berfikir. Konco-konconya di belakang turut meniru perlakuannya.

"Er ... entah. Lemak?" jawab Farah dengan nada mengejek.

Sera sudah tuli dengan ejekan mereka. "Cakap pasal diri sendiri ke Farah? Baju kau tu dah macam kerubung nangka aku tengok." Giliran dia pula memandang atas bawah tubuh montok Farah yang sudah mengetap bibir tanda marah. Dia tidak suka mengecam wanita lain. Tetapi mulut Chichi dan konco-konconya memang jenama neraka. Dulu, dia sering terasa apabila diejek gemuk. Tetapi sekarang ejekan itu sudah tidak sah untuk dirinya.

Chichi menahan gelak kerana kata-kata Sera memang ada benarnya. Namun dia masih belum mahu mengalah. "Kita cakap pasal engkaulah Serai Halia. Kau tu sekali gemuk, selama-lamanya gemuk bagi aku walaupun kau dah kurus sekarang. By the way, kau nak aku hadiahkan kau apa untuk birthday kau yang ke berapa? 25 tahun?" Mereka kemudiannya mengekek berjemaah.

"Betul ni? Kau nak bagi aku hadiah? Baiknya hati kau ni," jawab Sera berpura-pura terharu. Apabila modal lemaknya tidak boleh dipakai, modal umurnya pula digunakan. Mentang-mentanglah dia jauh lebih berusia dari mereka.

Chichi mengangguk-anggukkan kepalanya dengan tawa yang masih bersisa.

"Buat susah aje beli hadiah bagai. Tapi kau juga yang nak beli kan? Apa kata kau belikan aku ..." Sera menggendengkan tubuhnya ke arah Chichi. Wajah Chichi diteliti sehingga berkerut dahinya. "Eyebrow pencil, pembaris dan cermin muka. Sebab kening kau senget sebelah. Lain kali pakai pembaris kalau nak lukis kening tu, biar sempurna sikit. Hujung kening kau pun dah terpadamlah." Sera tersenyum manis lalu meninggalkan kumpulan gadis itu.

Chichi menyeringai kejengkelan. "Mana cermin! Bagi aku cermin cepat! OMG, kening aku!"

Sera menggeleng. Wanita mana yang tidak ingin kelihatan cantik setiap masa? Tetapi muka secantik manapun kalau hati busuk tidak ada gunanya juga. Dia mendengus menyampah lalu membaca semula jadual kelasnya. Peristiwa lima bulan lalu menyebabkannya terpaksa mengulang semula semester akhir tanpa dipinta. Lebih teruk lagi semester ini dia terpaksa menjadi rakan satu batch bersama Chichi. Nasib baik mereka berbeza kursus. Selamatlah dia dari menghadap mulut puaka Chichi setiap masa.

Dengan selamba, Sera memasuki dewan kuliah yang terbuka luas. Beberapa pasang anak mata yang tertumpu ke arahnya membuatkannya berasa tidak selesa. Dia kurang gemarkan perhatian. Pelik sangat ke baju aku hari ini? Matanya menilik skirt kulit berwarna hitam separas atas lutut dan crop top merah di sebalik jaket kulitnya yang dizip separuh. Biasa-biasa saja. Lalu dia abaikan saja dan mendaki anak tangga ke belakang dewan. Tempat yang terperosok dan jauh dari sebarang gangguan sering menjadi pilihannya.

Prof Mila memulakan kelas tidak lama kemudian. Selang beberapa minit, pintu dewan kuliah terbuka luas. Tiga orang lelaki dan dua orang wanita melangkah masuk.

"Sorry we're late ma'am," kata seorang lelaki yang lagaknya seperti ketua kumpulan itu.

"What happened to you guys? Mind to explain Hadi?" Prof Mila menilik penampilan Hadi. Baju-T berwarna putih di sebalik jaket kulitnya kini bertukar kecoklatan dan seluarnya juga kelihatan basah. Sama kesnya dengan empat orang di belakangnya.

"Nothing extraordinary ma'am. Just some dumb driver." Suaranya lantang pada awalnya sebelum mengendur di akhir ayat. Mereka menghadiahkan senyum kambing kepada Prof Mila yang terkenal dengan kegarangannya. Tangan memohon ampun dan belas kasihan agar tidak didenda atas kelewatan mereka.

"It's okay, just go and find yourself a seat," arah Prof Mila.

"Thanks ma'am!" Mereka mula mengisi tempat duduk yang masih kosong.

Hadi menapak ke bahagian belakang dewan kuliah dengan rasa marah yang masih bersisa."Boleh saya duduk dekat sini?" soalnya kepada seorang perempuan yang sedang khusyuk membaca. Nerd.

Sera mendongak dari buku. Ditilik lelaki itu dari atas ke bawah. Takkanlah dia yang kena air lopak tadi? Senyum terukir kecil di hujung bibirnya. "Tak boleh, cari tempat lain," balasnya dingin lalu kembali membaca. Dia lebih suka menyendiri daripada bergaul dengan sesiapapun.

"Ini bukan kerusi bapak kau juga, kan? Buat penat aku aje tanya soalan tadi," balas Hadi dengan kasar lalu duduk di sisi Sera.

Sera mendengus kasar. Melihat Hadi yang mula bermain dengan telefonnya, dia beralih ke kerusi kosong di hujung barisan. Tenang sedikit. Tiga buah kerusi memisahkan mereka, tetapi itu tidak menjanjikan mereka akan selamanya duduk berjauhan.

***

Langkah Sera dipercepatkan menuju ke parkir kenderaan pelajar. Dia risau sekiranya terlewat sampai ke tempat kerja sambilan yang menjadi punca pendapatannya selain duit poket daripada Rosa. Terkebil-kebil matanya melihat sekumpulan pelajar sedang duduk di bawah pohon rimbun di hadapan keretanya. Dua orang perempuan dan tiga orang lelaki. Nampak gaya mereka sedang berkelah kerana masing-masing memegang minuman dan snek. Apabila dia menghampiri, mereka mencerlung ke arahnya.

"Aku ada hutang kot dengan diorang," gumam Sera sedikit cuak dan mula teragak-agak hendak meneruskan langkah. Kau bukan pengecut Sera, bisik hatinya. Lalu dia mengutip keberanian yang ada untuk menapak ke keretanya tanpa menghiraukan pandangan mereka. Kunci kereta dikeluarkan dan punat alarm ditekan. Tangan mula mencapai pintu kereta tetapi satu suara maskulin membuatnya terkaku.

"Well, well, well. Ini kereta kau rupanya. Patutlah perangai bawa kereta tu sama aje dengan perangai di kelas tadi. Kelam-kabut nak pergi mana tu? Takkan dah lupa dekat kitorang?"

Sera membuka kaca mata hitamnya lalu menghadap mereka-mereka yang terlebih hormon itu. Sambil mencekak pinggang, dia menilik lelaki yang berlagak bos itu. Kenapa dia tidak perasan akan ketampanan lelaki itu semasa berada di kelas tadi? Rambut lebat berwarna kecoklatan dipotong kemas, hidungnya mancung dan kulitnya sedikit keperangan. Wajah maskulinnya jelas menampakkan bahawa dia berdarah kacukan. Dan anak mata kecoklatan itu ... sangat mencairkan.

Sera mengebilkan matanya lalu menelan rengkung. Mampus aku! Dari penampilan mereka, dia tahu merekalah mangsa air lopak pagi tadi.

***

Cik Serai Halia telah diterbitkan dalam bentuk e-book. Sekiranya berminat untuk mendapatkan e-book, sila komen atau hantarkan mesej kepada penulis di ruangan mesej.

Cik Serai Halia | Wattys2017Where stories live. Discover now