"Makan malam dengan keluarga dan beberapa orang klien aje, Sera. Tak ada apa-apa yang istimewa pun." Ben membuka mulut bagi pihak isterinya.

Rosa memandang Ben dengan bingung. Ben kemudiannya menggenggam tangan isterinya itu. Lantas Rosa memandang semula wajah Sera dengan senyuman lebar. "Betul tu! Sama aje dengan makan malam yang aku selalu pergi dengan papa dan mama."

Sera kembali duduk. Ditiliknya perlakuan Rosa yang sesekali membelek kuku. Satu lagi tabiat buruk yang dilakukan Rosa apabila berbohong. "Yang selalu kau pergi sampai akhirnya kau kahwin dengan Ben ke? Itu ke maksud kau?" perlinya. Hampir dia tergelak melihat reaksi terkejut suami-isteri di hadapannya itu. Bukannya dia tidak tahu Ben dan Rosa diperkenalkan sejak kecil lagi kerana ibubapa mereka berminat dengan hubungan perniagaan yang bakal terjalin sekiranya mereka dijodohkan.

"Bukan macam tu. A-aku dan Ben." Rosa gagap. Matanya mencari wajah Ben.

Ben angkat bahu. Mengalah gamaknya hendak memujuk adik ipar yang keras kepala. Maklumlah, dia juga masih mentah dalam hal-hal drama keluarga elit Alroze Empire.

"Tak apa, kali ni aku akan pergi. Kesian tengok korang datang penat-penat pujuk aku." Sera sendiri terkejut dengan keputusannya. Mungkin kerana dia masih punya hati. Sesekali biarlah dia membalas budi Rosa yang sering menolongnya selama ini. Walaupun dengan hanya menurut titah papanya.

"Serius?" Rosa gembira sehingga terloncat-loncat dari tempat duduknya.

Kadangkala Sera menyangka kakaknya itu terencat akal. Namun, sijil kedoktoran falsafah yang dimiliki Rosa sering menyangkal sangkaannya itu. "Sekarang, berambus. Aku nak pergi kelas ni," usirnya. Dia perlu bersiap untuk pergi ke kuliah semester akhir pengajiannya.

Rosa tidak dapat menyelindungi kegembiraannya. Sebelum menghala ke pintu keluar, dia menapak ke arah Sera yang sudah berdiri. Kedua belah tangannya memegang pipi Sera dan dahi Sera dikucup penuh kasih.

"Hish! Buat malu aje." Sera menepis tanda kurang senang.

Rosa kelihatan tidak kisah dengan cemberut Sera. Jelas perlakuannya menunjukkan kasih sayang yang tidak ternilai buat satu-satunya adik yang dimiliki. Dia seperti tidak terkesan dengan perangai air pasang surut adiknya.

"Jom sayang. Kita dah lewat ni," ujar Ben.

"Bye Cik Serai Halia! Jumpa nanti tau? Assalamualaikum!" Rosa memberikan senyuman terakhir kepada Sera sebelum menapak pergi. Ben turut melemparkan senyuman nipis sebelum berpaling.

Sera mengetap rahangnya sebaik tetamu hilang dari pandangan mata. Otaknya terasa penuh sepenuh tong sampah yang terletak di sisi kabinet televisyen. Tidak pernah lagi dia dicari oleh papanya selama enam tahun dia melarikan diri dari rumah agam keluarganya. Kenapa baru hari ini dia dicari? Dia ingin tahu apa motif sebenar papanya di sebalik pelawaan itu walaupun dia sudah dapat mengagak sedikit-sebanyak. Kepalanya digeleng perlahan sebelum dia melangkah ke bilik air. Urusan makan malam ditolak ke tepi, dan fokusnya kembali untuk menghadiri kuliah.

***

Sera memandu laju Mini Cooper miliknya memasuki perkarangan kolej. Tanpa disedari, keretanya terlanggar lopak di tepi jalan sehingga memercik ke sekumpulan pelajar berdekatan. "Oops!" Dia mengekek kelucuan melihat reaksi mereka. Keretanya lalu diparkirkan berdekatan bangunan akademik. Sepanjang perjalanan menuju ke dewan kuliah, berpusuan anak-anak orang kaya turut berjalan di kiri dan kanannya.

Tidak ramai yang tahu nama penuh Sera adalah Seraliyah Noor Alroze. Noor Alroze adalah nama kerabat keluarga yang menerajui empayar perniagaan paling berjaya di Malaysia iaitu Alroze Empire. Hidup Sera jauh berbeza dari kehidupan ahli keluarga Alroze Empire yang dilimpahi kemewahan dan perhatian netizen. Dia selesa hidup di bawah radar. Nasib baik kolej itu juga diusahakan oleh Alroze Empire. Berkat bantuan Rosa, dia boleh mendapatkan pendidikan di situ tanpa mendedahkan identitinya.

Cik Serai Halia | Wattys2017Where stories live. Discover now