Aku dapat rasa badanku seperti digigit kesejukan lantai yang beku. Sendi-sendi juga turut terasa sengal kerana terlalu lama terbaring di atas lantai yang keras. Aku cuba melawan rasa sengal itu, kerana aku tahu, ini bukan realitinya. 

Aku masih ingat yang aku berguling di atas katil yang empuk tilamnya dan bantal yang disumbat dengan kapas lembut mengalas kepalaku. Kenapa tiba-tiba aku terbaring di atas lantai ni? 

Aku buka mata dan aku lihat sekeliling. Aku berada di sebuah tempat seperti sebuah tanah tandus, tapi lantainya tidak bertanah. Ia seperti lantai halimunan. Seperti terapung di angkasa. Kawasan itu tidak berpenghujung. Langit juga seperti sebuah bumbung infiniti. Sekeliling pula berkabus. 

Aku gagahkan diri untuk bangkit. Tempat ini tidak gelap seperti yang  kebanyakan orang fikirkan. Ia lebih kepada biru laut latarnya. Nampak tenang. Hanya memikirkan di mana keberadaanku membuatkan aku jadi tidak menentu. 

Dalam waktu aku mahu menepuk pakaianku yang mungkin dikotori habuk, baru aku perasan akan sesuatu. Pakaian aku... tiada! 

Mana pergi baju aku? Seluar aku? Pakaian dalam aku juga!? 

Apa yang berlaku sebenarnya ni? Aku berbogel di dalam mimpi yang pelik macam ni. Ada sesiapa yang buat magik apa-apa kat aku ke sampai jadi macam ni? Celaka betul. Kalau aku tahu siapa punya angkara, aku tikam dia puas-puas sampai hilang rupa! 

Dengan tangan yang menutup bahagian kemaluan dan buah dada, aku terus melangkah ke arah infiniti yang entah siapa cipta. Aku cuba memanggil Mumu, tapi tiada respon. 

Aku teruskan berjalan. Sehingga aku terdengar suara seperti menjerit memanggil seseorang. 

"Hayun?" Aku pasti itu suara Hayun. Dia memanggil nama setiap seorang daripada kami. Kemudian, aku mendengar suara Badrol menyahut. 

Terus aku berlari ke arah datangnya suara itu. Apabila aku pasti aku berada di kawasan datangnya suara Hayun tadi, aku cuba memanggil mereka. Nasib mereka menyahut. Malangnya, aku tak dapat nak nampak mereka, walaupun dari kuat suaranya, mereka seperti berada di sebelah aku saja. 

"Korang, aku... bogel. Jangan dekat," kata Kayu dengan selamba. 

Hayun ketawa. "Aku pun! Tapi kalau aku dekat dengan kau pun, aku bukan boleh nampak kau pun." 

"Korang semua okey?" tanya Melati. 

Kami menjawab hampir serentak. 

"Kita kat mana sebenarnya ni?" Soalan ini asyik berlegar di dalam kepala otak aku. 

"Aku pun tak pasti la," jawab Badrol. "Dunia magik, mungkin?" 

"Tapi dunia ni hampir tak wujud!" celah Pelita pula. 

"Kalau tak wujud, macam mana kita boleh ada kat sini?" Kayu pula bersuara. 

Dari suara mereka, aku pasti mereka juga sedang bingung dengan apa yang berlaku. Aku tak rasa ini dunia mimpi biasa. Dunia magik? Itu boleh dikategorikan juga, oleh siapa? Itu yang kami perlu cari jawapan. 

Waktu inilah aku teringatkan Lazarus. Dia mampu ke untuk buat seperti ini? 

"Hahahahahahahaha~!" 

Kami semua terdiam. Aku yakin ada suara yang gelak tawa tadi. Dan suara itu sedikit bergema dan aku tak pasti dari mana arah suara itu datang. Ia seperti ada di mana-mana saja.

"Wei, Hayun! Tak lawak la gelak macam tu!" marah Melati. 

"Bukan aku la yang gelak." 

Ah, sudah! Siapa pulak yang gelak mencelah macam tu? 

"Seronok aku tengok korang semua serabut macam ni," kata suara aneh itu. "Kesian betul kat korang. Aku dah buat korang lama menunggu." 

Aku tidak dapat mengecam suara itu. Aku tak rasa itu Lazarus. Suara ini lebih licik bunyinya. Bila dengar, macam ada sesuatu yang tak enak bakal berlaku nanti. 

"Korang dengar tak suara tu?" Kayu terus menggelabah. "Tu bukan suara yang kita kenal, kan?" 

"Ya, ya. Korang semua tak kenal aku," jawab suara itu. "Tapi suara aku bukan masalah buat korang sekarang." 

Hah, yang itu la yang aku malas nak dengar. Selalu sebegitu, konon nak buat kejutan sampaikan buat kami kebingungan macam ni. 

"Apa yang kau nak ni?" tanya Pelita. 

Lambat-lambat, entiti itu bersuara, "Aku bosan. Aku nak hiburan." 

"Kalau kau nak berhibur, jangan la kacau kitorang!" marah Melati. 

Aku pasti kami semua pun berasa bengang dengan jawapan suara itu. 

"Korang adalah subjek hiburan aku untuk hari ini! Jadi dengan itu, aku ada sesuatu untuk korang." 

Hayun mencelah, "Jap, jap! Apa hadiahnya?" 

"Hadiah? Ah~ itu adalah misteri untuk semua." 

Kami semua terus mempertikaikan niat entiti itu untuk menjadikan kami subjek hiburannya tanpa rela sebegini. Suara kami bingit di dalam ruang itu. 

"Korang ni banyak sangat bunyi. Nak aku perangkap korang semua dalam dunia ni selamanya?" ugutnya pula. 

Kami semua senyap. Bukan sebab takut, tetapi geram. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat berbuat apa-apa selain menurut. 

"Baik. Aku akan bagitau apa yang aku nak korang buat. Dan setiap seorang daripada korang, dengar dengan jelas setiap perkataan aku." 

Hah? Setiap seorang daripada kami? Apa kami dapat benda yang lain-lain ke? Dan waktu itulah aku mendapat arahan daripada si entiti yang mahu berhibur dengan kami itu. Aku dengar sejelas yang mungkin, aku hadam isi ayatnya elok-elok. 

Okey, ini bahaya. 

"Semua faham apa yang aku cakap?" 

"Macam mana kalau kami tak berjaya untuk capai objektif tu?" tanya Pelita. Kedengaran ketar suaranya. 

"Itu... nanti kita tengok la." 

Aku pasti entiti itu sedang tersenyum lebar semasa mengatakan ayat itu. 

"Sekarang, aku nak korang semua tutup mata dan kira sehingga sepuluh. Dan korang akan kembali ke tubuh korang." 

Aku menurut kata-katanya walaupun terlalu banyak perkara yang berlegar di fikiran. 

Aku pejamkan mata. 

Satu... 

Dua... 

Apa yang perlu aku lakukan? 

Tiga... 

Empat... 

Lima... 

Mereka dapat arahan yang sama ke? 

Enam... 

Tujuh... 

Wajar ke aku diamkan saja nanti? 

Lapan... 

Sembilan... 

Sepuluh... 

"Semoga berjaya, semua!" 

Ah, celaka lah! 

Ah, celaka lah! 

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Diari Seorang PencuriRead this story for FREE!