Bab 1

11.6K 138 8

KEADAAN di dalam restoran Tom Yam Kung Kap itu agak lengang. Ainee Marwah menarik tangan kawan baiknya, Airis. Ainee Marwah memilih meja makan betul-betul bersebelahan dengan cermin kaca. Sambil-sambil menunggu, boleh Ainee Marwah dan Airis cuci mata memandang orang yang lalu-lalang di kaki lima.

"Ainee," seru Airis. Wajahnya kelihatan gelisah.

Ainee Marwah tidak menjawab. Dia kalih pandang dan memusatkan pandangan pada wajah Airis yang duduk bertentangan dengannya.

"Oi, Ainee." Kali ini Airis mencuit kekura tangan Ainee Marwah.

"Apa dia? Bisinglah kau ni," rungut Ainee Marwah sambil betulkan juraian rambut yang mencucuk mata.

"Mestilah aku bising. Kau tiba-tiba culik aku sampai ke sini, dah kenapa?" soal Airis bengang.

"Mungkin aku perlukan kekuatan. Ataupun, tak. Aku tak pasti lagi." Ainee Marwah tersengih.

"Apa benda yang kau merepek ni? Aku lapar ni tau tak," bentak Airis sambil membuntangkan biji matanya yang sedia besar itu.

"Dah tu? Kita sekarang ni kat bengkel ke Cik Airis? Oderlah makan, apa yang susahnya?" jeling Ainee Marwah.

Ya tak ya juga. Airis memandang sekeliling. Seorang pelayan mula menghampiri mereka apabila terlihat Airis seperti mahu menggamit.

"Kau nak makan apa?" soal Airis.

"Nasi goreng tom yam spesial dengan jus tembikai." Ainee Marwah kembali memandang ke luar cermin kaca. Lagaknya seperti mencari kelibat seseorang.

Kemudian Airis pula memesan makanan dan minuman untuk dirinya. Setelah pelayan itu pergi, Airis menopang dagu di atas meja sambil buat muka bosan.

Dia masih memerhati gelagat Ainee Marwah yang nampak pelik hari ini. Nak kata gembira, dia lihat kawannya itu sedikit gelisah. Nak kata sedih, dia tak nampak apa yang sedih kecuali mengeluh sendirian.

"Okey, Airis. Dia dah datang! Kau buat-buat selamba aje, okey?" Ainee Marwah membetulkan duduknya.

Airis pula melingas pandangan ke kiri dan kanan sehinggalah dia nampak kelibat Khairul menghampiri meja mereka. Okey, sekarang Airis dah boleh tangkap apa yang sedang berlaku.

Wajah lelaki itu kelihatan serius dan terus menarik kerusi di sebelah Ainee Marwah. Matanya tajam memandang Ainee Marwah yang masih boleh tersenyum.

"Awak tahu kan kenapa saya nak jumpa awak?" soal Khairul tanpa segaris senyuman.

Ainee Marwah menggeleng. Bukan dia tak tahu, tapi pura-pura tak tahu.

Airis memandang tajam ke wajah Ainee Marwah.

"Awak ni dari awal kita kenal sampai hari ni, tak pernah nak tahu apa-apa pasal hubungan kita." Lirih sahaja suara Khairul.

Dia masih merenung dan meminta simpati kekasih hatinya. Dia suka dengan Ainee Marwah. Gadis yang ceria dan selalu mencuit hatinya.

"Sekarang ni cuba awak bagi tahu, apa yang saya tak tahu?" Lembut sahaja Ainee Marwah menyoal.

Dia membalas renungan Khairul. Jari-jemarinya mengetuk-ngetuk meja.

Airis yang mendengar masih lagi diam dan tidak mahu menyampuk apa-apa. Dalam hati memang sudah berbakul-bakul sumpah seranahnya terhadap Ainee Marwah. Boleh pula dia diheret sama dalam masalah percintaan mereka ini. Kurang asam punya kawan!

"Saya dah tak tahan nak jadi orang yang hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong ni Ainee. Saya tak dapat nak teruskan lagi hubungan kita, walaupun saya sayangkan hubungan ni." Khairul sudah beri kata putus.

Duda Pujaan DaraRead this story for FREE!