ZHARIFF yang ditinggalkan sendirian di dalam kereta sabar menunggu Naurah yang sudah menapak keluar sebentar tadi.
Ke mana Naurah pergi, tak pula Zhariff tahu. Ah, macam mana nak tahu kalau sepatah kata langsung tak keluar dari mulut mereka berdua. Masing-masing lebih senang melayani perasaan sendiri. Tenggelam dengan khayalan sendiri.
"Saya tak kira! Saya tak nak kahwin dengan sesiapa pun..."
"Naurah!"
"Kecuali Zhariff! Saya cuma akan berkahwin dengan Zhariff!"
Cepat-cepat Zhariff menggeleng di situ. Serentak, bayangan Naurah dan Nawi yang bermain dalam benaknya sejak dari tadi terus lenyap.
Zhariff tak sangka, jawapan sebegitu pula keluar dari mulut Naurah.
Naurah mungkin dah lupa, mereka berdua tak ada sebarang kaitan di antara satu sama lain. Atau... Perlu ke Zhariff ingatkan Naurah sekali lagi?
Zhariff tersentak. Pintu kereta di bahagian pemandu dibuka dari luar. Tanpa sebarang kata, Naurah melangkah masuk ke dalam kereta. Bungkusan plastik sedari tadi dipegangnya, diletakkan di atas paha.
Keluhan kecil Naurah didengari dengan jelas oleh Zhariff. Dia tidak tahu untuk apa Naurah mengeluh di situ. Setahunya, dia yang sepatutnya mengeluh begitu sebab terheret dalam masalah Naurah dan Nawi.
Dalam Zhariff berteka-teki sendiri, Naurah di sisinya sudah memusingkan badan dan menghadap Zhariff.
"Maaf..." ujar Naurah. Nada suaranya kedengaran perlahan sekali. Entah Zhariff dengar, entah tidak.
Zhariff tersentak. Hilang sudah segala teka-teki yang bermain di dalam kepalanya sebentar tadi. Sekarang, wajah keruh Naurah di hadapannya dipandang lama.
Kening Zhariff sudah terangkat. Tertarik dengan pembuka kata Naurah.
Maaf? Untuk apa? Sebab lamar dia? Sebab buat onar yang kononnya dia sudah rosakkan Naurah? Sebab tampar dia? Ataupun... Sebab tadi?
"Kenapa?" tanya Zhariff.
Sudahnya hanya sepatah keluar dari mulutnya. Walhal di dalam kepala otaknya, bertubi-tubi soalan mahu ditanyakan pada Naurah.
"Sebab heret awak sekali lagi," jelas Naurah.
Saat itu, pandangannya sudah dialihkan. Sudah tidak berani bertentang empat mata dengan Zhariff.
Yalah! Dia sedar akan tindakannya. Yang sudah susahkan Zhariff... Sekali lagi!
"Dah tahu kenapa buat juga?"
"Sebab awak saja terlintas di dalam kepala saya. Dan saya... Tak nak kahwin dengan orang saya tak kenal."
Amboi perempuan ni! Senangnya bagi alasan! Dah tu, kau ingat aku kenal kau dan kau kenal aku? Macam tu?
"Awak pun tak kenal dengan saya." Zhariff mengingatkan kenyataan yang mungkin sudah dilupakan oleh Naurah.
"Tapi saya kenal awak!" jawab Naurah pantas.
Sesaat kemudian, Naurah perasan riak muka Zhariff sudah berubah rentak mendengarkan jawapannya itu.
"Errr... Maksud saya tadi, saya tahu nama awak. Zhariff bin Amri. Kerja di Dapur Deraman," jawab Naurah dengan teragak-agak. Cuba membetulkan kenyataannya sebentar tadi.
Ah! Cuma itu sajalah yang dia tahu perihal Zhariff. Setidaknya, sudah lebih tiga patah perkataan. Kira okeylah tu, kan? Ada lagi ke yang dia lupa nak sebut? Oh, dia lupa nak masukkan sekali perihal teman wanita Zhariff. Wanita yang dilihat bersama Zhariff sebentar tadi.
ANDA SEDANG MEMBACA
Misi Memikat Cik Hitler
RomanceBACAAN BAB AWAL SAHAJA Tajuk: Misi Memikat Cik Hilter Penulis: Nojie Muka Surat : 784 Penerbit: Penulisan2u Terbitan : November ISBN: 978-967-0992-43-3 Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah/Sarawak)
