EMAK Aliza mngeluh kecewa. Abang dia yang dua orang itu juga mengeluh. Mereka berpandangan antara satu sama lain, lepas tu menggeleng-geleng kepala. Dah tak tahu nak ucap apa dah. Kakak ipar Aliza pun diam tidak berkata. Tak berani menyampuk. Jika suami mereka berdiam diri , takkanlah dia orang hendak terlebih aksi kan. Kakak Aliza yang seorang itu hanya mampu menjeling adiknya. Geram sangat.
"Orangnya baik Ija, kerja pun baik-baik. Bukan senang nak dapat suami orang kerja kerajaan ni. Kita ni orang kampung ceruk ni, manalah orang nak pandang sangat. Ni dah cukup bertuah ada orang elok-elok sudi masuk meminang."
Ujar Mak Nah, emak Aliza dengan bahasa yang lembut. Dengan Aliza , Mak Nah tak berani cakap lepas-lepas. Anaknya yang seorang ni cepat baran jika diungkit bab nikah kahwin. Walaupun Aliza ni anak dia yang paling peritin terhadapnya, tetapi dia faham sangat akan kelemahan sikap Aliza.
"Hish!" Dengus Aliza, tidak suka . Dia menjeling emak dan adik-beradiknya dengan jelingan maha tajam. "Orang kata tak nak...tak nak la. Tak payah nak pujuk-pujuk!" Ujar Aliza kasar. Dia menghempas belakang tubuhnya ke jenang pintu. Tersandar di situ.
Semua ahli keluarganya hanya memerhati. Penyakit tak semenggah Aliza dah datang la tu. Bisik hati masing-masing. Adik mereka yang sebenar , sopan dan baik orangnya. Bukan kasar macam ni. Jika mood tak berapa baiknya datang, dia akan bertukar perwatakan. Mereka semua sudah tahu. Kalau boleh mereka cuba elakkan pasal perkara yang boleh mendatangkan kemarahan Aliza. Sebab bila Aliza marah-marah, berhari-hari dia akan jadi murung dan berkurung dalam bilik. Itu belum masuk bab menjerit-jerit tak sedar diri lagi tu.
Namun hari ini tak dapat dielakkan. Tiba-tiba saudara jauh mereka terjah rumah , membawa hajat untuk pinang Aliza untuk saudara jauh juga. Semua kenal pemuda ni. Orangnya baik dan bertanggungjawab. Sesuai sangat untuk menjaga Aliza . Kalau calonnya gitu-gitu saja, dia orang semua tak terkilan untuk menolak. Yang ni lain, agak istimewa sebab pakej lengkap serba serbi.
"Nak pilih macam mana lagi Ija? Dah banyak sangat dah Ija tolak. Ramai yang suka dengan Ija, nak jadikan isteri, Ija saja yang suka tolak tuah. Kat kampung ni ramai anak dara tua belum kahwin, Rezeki dia orang tak macam Ija. Dia orang tak ada orang pinang, yang ija pula saja nak tolak rezeki."
Nampak gaya Mak Nah tak berputus asa, cuba untuk menasihati satu-satu anak daranya yang masih belum berkahwin. Bimbang sesangat Mak Nah dengan sikap Aliza yang tak suka dengan perkahwinan . Umur dah dua puluh lima, molek benar untuk dijadikan isteri orang. Masalahnya, Aliza ni pantang disebut pasal kahwin, mulalah melenting tak tentu pasal. Turun perangai siapa entah. Kakak dan abang-abangnya taklah macam tu, lagi dia orang menggedik ada dulu, sengih sampai telinga bila disuruh kahwin.
"Tak mahulah! Orang nak jaga mak! Kalau orang kahwin siapa yang nak jaga emak? Abang dengan kak semuanya sibuk dengan anak bini dia orang!" Alasan Aliza. Setiap kali dipinang orang itu juga alasannya.
"Kalau Ija kahwin, pandai-pandailah abang uruskan emak. Abang kan anak lelaki , mesti la bertanggungjawab jaga mak. Ija jangan risaulah pasal emak, pandailah kami nanti . Yang penting, lepaskan diri Ija dulu. Sampai bila nak membujang? Tak laku nanti baru nak terhegeh-hegeh nak kahwin. Masa tu dah terlambat."
Kamal, si abang sulung mengambil giliran bercakap setelah sekian lama mengunci mulut.
"Hiiii...orang tak mau...orang tak mau la...jangan la paksa-paksa! Kenapa tak faham-faham?" Balas Aliza, keras. Tangannya menarik-narik rambut sendiri. Kelihatan kusut benar wajahnya.
"Bukan paksa, Ija jangan salah faham. Abang ni wali Ija, abang nak selesaikan amanah ayah pada abang. Dah jumpa orang yang boleh jaga Ija ni, abang rasa elok benarlah abang serahkan Ija pada orang yang ikhlas nak jaga Ija..."
Pujuk Kamal lagi , dengan nada yang lembut. Dia tidak mahu menambah kepanasan Aliza. Namun sebagai ketua keluarga , dia harus berusaha yang terbaik untuk masa hadapan adiknya.
"Orang boleh jaga diri sendirilah! Tak kahwin pun orang boleh hidup aih! Nak buat apa susah-susah payah nak berlaki!"
Bantah Aliza, pantas bangun dengan gaya kasar menuju ke tangga untuk naik ke tingkat atas rumah. Dia masuk ke bilik , tempat persembunyian kesukaannya.
Mengeluh sekali lagi ahli keluarganya di tempat lepak di tingkat bawah. Sedikit kecewa dengan sikap Aliza. Namun mereka semua sudah maklum akan reaksi Aliza seperti ini. Bukan sekali dua Aliza membantah. Sudah banyak kali. Peliknya orang tetap datang dan datang merisik Aliza.
"Emak dengan abang tak rasa ke yang Ija tu macam ada sesuatu yang tak kena?"
"Maksud Kak Yang ?" Kamal soal adik perempuannya balik. Bukan tak boleh agak, dia sendiri pun tahu sikit-sikit, tetapi mahukan penjelasan yang lebih terang dari orang lain.
"Yalah, adik kita tu bukannya jenis kasar-kasar cakap. Ija kan lemah lembut orangnya. Tapi bila kita sebut pasal kahwin ke, pasal pak we ke, dia terus membengis. Macam bukan diri dia yang sebenar. Macam ada benda lain yang dok jawab bagi pihak dia."
"Hantu, jin?" Najib, abang kedua Aliza menyampuk.
"Isk hang ni Najib... tak berlapik nyebut benda tu." Marah Mak Nah. Minta simpang malaikat empat puluh empat. Tak mahu dia Aliza didampingi hantu atau makhluk yang seangkatan.
"Tapi emak ...Kamal pun rasa macam tu juga. Ija tu kan selalu sakit . Entah –entah benda tu memang dok ada dalam tubuh dia..."
"Emak tak percayalah. Ija tu lemah semangat je. Tu sebab benda-benda tu suka menyinggah. Mak tak percayalah ada benda bertapa dalam badan dia. Memang dia tak suka kita sebut pasal kahwin-kahwin ni, sebab dulu kan dia suka sangat-sangat pada Patah tu. Lepas tu bila Patah dah jadi pelakon terkenal, dia dah tak nak la kat adik kamu lagi. Tu yang Ija kecewa kot, sampai dah malas fikir pasal kahwin."
"Ya ka mak ? Patah Aman , pelakon yang selalu jadi hero drama adaptasi novel tu?"
Teruja sangat gaya Kak Yang bertanya . Kemain luas mulutnya meneringai. Matanya juga membulat. Terkejut dan kurang percaya pun ada Dia memang peminat tegar Patah Aman tu. Jadi ahli fan club lagi. Hensem siot woi Si Patah tu. Tapi logik ka pernah couple dengan adik dia yang ala-ala kampung dan comot tu?
"Haa la... Masa belajar dulu dia orang kawan!"
"Pasal apa Kak Yang tak tahu?" Kak Yang rasa dia rugi besar sebab tak tahu. Jika tak, boleh la canang-canang pada kawan-kawan ahli fan club. Kalau ada gambar lagi bagus. Patah Aman pernah couple dengan adik dia tu. Berita panas!
"Daah...takkan semua benda mak nak cerita ke kamu. Lagipun benda dah tak jadi. Tapi mak rasa sebab ni lah agaknya adik kau orang tak mahu kahwin. Dia patah hati dengan pelakon tu. Dah popular, kekasih dilupakan."
Tergelak adik –beradik Aliza. Antara nak percaya dengan tak percaya. Bila masa la adik mereka pergi berdating dengan Patah Aman tu.
"Tapi kan mak... sesekali cuba mak naik ke tingkat atas tu. Kamal pernah juga dengar Ija ni macam ada cakap dengan orang. Tapi tak ada siapa pun masuk bilik dia..."
"Haa... betul tu, Najib pun ada perasan!"
"Hah...kau orang ni, ada-ada sajalah. Ija tu memang suka berlakon. Cita-cita dia memang nak berlakon drama macam Patah Aman tu... tapi nasib dia kurang baik sikit sebab nak kena jaga mak kat kampung ni. Jadi biarlah dia nak berlakon sorang-sorang kat bilik dia. Bukan kacau orang lain pun . Lagi pun mak mana la larat nak panjat tangga naik atas. Biar sajalah Ija berlakon , biar dia terhibur sikit... Kau orang tahu apa, asyik sibuk memanjang. Emak yang hidup sama dia ni yang faham keadaan dia..."
Panjang bebelan Mak Nah pada anak-anaknya. Sungguh...abang-abang dan kakak Aliza hanya sesekali datang jengok mereka berdua di sini. Susah payah kehidupan dia hari-hari , hanya Aliza yang paling mengambil berat. Bila dia orang kata pasal Aliza yang bukan-bukan, Mak Nah terasa hati juga. Kasihan anak bongsunya itu.
YOU ARE READING
JANGAN GANGGU JODOHKU!
HorrorAliza tak pernah suka pada mana-mana lelaki walaupun tak putus-putus orang datang meminang. Jauh dalam sudut hati, dia juga seperti gadis-gadis lain, ada keinginan untuk punya pasangan dan berumah tangga. Namun, setiap kali hal kahwin disebut, emosi...