Lima tahun dulu...
NAURAH seakan-akan tenggelam dengan dunianya sendiri. Langsung tidak diendahkan dengan bunyi muzik yang kuat bergema ketika itu.
Malah, ada beberapa rakan sekerjanya bergilir-gilir mengambil peluang untuk menunjukkan bakat menyanyi. Semata-mata merebutkan hadiah utama pertandingan menyanyi diadakan sempena majlis akhir tahun Aman Kiara Holding.
Tanpa disedari, anak mata Naurah terpaku pada meja di hadapannya. Memerhati dalam diam aksi rakan sekerja. Ada sedang bergelak ketawa. Ada sedang menjamu selera. Dan ada juga yang asyik memandang ke arah pentas.
Naurah perasan, riak wajah mereka semua berubah rentak bila tiba-tiba saja lelaki berkepala botak menghampiri mereka. Dengan selamba, lelaki itu mengambil tempat di antara staf perempuan.
Sambil ketawa lepas, kedua-dua tangannya jatuh pada bahu staf perempuan di kiri dan di kanannya. Sesekali, dia seakan-akan menarik mereka berdua ke dalam pelukannya.
"Hei! Kau pandang apa tu?" tanya Elly sambil menepuk paha Naurah.
"Kau kenal botak tu?" tanya Naurah sambil mulutnya dimuncungkan ke arah meja dimaksudkan.
"Oh? Itu? Kau tak kenal ke dengan ulat bulu tu?"
"Ulat bulu?" Muka Naurah sudah berkerut seribu di situ.
Nama separuh rakan sekerja dia pun tak sempat nak hafal, inikan pula nak hafal gelaran-gelaran tak senonoh ni.
"Kau tengok tu!"
Spontan, anak mata Naurah melorot arah dimaksudkan Elly. Dilihatnya lelaki botak itu bercakap sambil bermain-main dengan rambut perempuan di sisinya.
Malah, Naurah melihat pula lelaki tadi mula mengusap lembut tangan perempuan itu. Sesekali, terbabas pada paha perempuan itu. Senyuman makin melebar di wajah lelaki botak itu.
"Mereka biarkan saja?"
"Terpaksa!"
"Itu gangguan seksual. Dalam gangguan seksual, tak ada istilah terpaksa atau dipaksa," tepis Naurah. Tidak setuju dengan jawapan Elly.
"Kau cakap senanglah. Dia tu bukan sembarang orang tau. Dia tu Pengurus Kewangan Aman Kiara Holding. Merangkap adik ipar CEO kita!"
"Jadi, dia boleh buat apa saja yang dia nak? Macam tu?"
"Yalah. Orang biasa-biasa macam kita ni, mana boleh lawan dia? Walaupun kita tahu, apa dia buat tu salah."
Itulah silapnya, Elly! Tak! Bukan Elly saja, tapi rata-rata mentaliti masyarakat kita memang macam tu. Belum apa-apa, dah mengaku kalah. Sampaikan tak sanggup untuk menegakkan kebenaran.
Tanpa disedari, anak mata Naurah terarah tepat pada lelaki botak yang masih lagi mengambil kesempatan ke atas pekerja bawahannya.
Lelaki botak itu tiba-tiba saja bangkit dari situ dan beredar ke hujung dewan. Lagaknya seperti sedang menjawab panggilan penting.
Serentak dengan itu, Naurah melihat sekumpulan rakan sekerja yang menjadi mangsa si botak itu menarik nafas lega. Tak lama kemudian, masing-masing bangkit dan terus saja beredar dari situ.
"Itu bukan ulat bulu," hujah Naurah, spontan.
"Dah tu, apa?"
"Sotong."
"Sotong?"
"Kau tak tengok tangan dia tu? Menjalar sana sini. Kan sama macam sotong tu."
"Tengah cakap fasal apa ni? Rancak semacam!" tegur satu suara. Betul-betul di belakang mereka.
ANDA SEDANG MEMBACA
Misi Memikat Cik Hitler
RomanceBACAAN BAB AWAL SAHAJA Tajuk: Misi Memikat Cik Hilter Penulis: Nojie Muka Surat : 784 Penerbit: Penulisan2u Terbitan : November ISBN: 978-967-0992-43-3 Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah/Sarawak)
